Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Akeem Jahat hidang muzik rap kehidupan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Akeem Jahat hidang muzik rap kehidupan

Jun 22, 2019 | 05:30 AM



KOMPILASI muzik penyanyi rap tempatan, Akeem Jahat, yang diberi nama SeluDOPE, menarik perhatian ramai di ruang siber.



Apabila lagu seperti Nora Danish, Duit Rokok dan Ribena mempunyai tarikan semberani bagi pengamat muzik di luar dunia irama 'underground', nama Akeem kian disebut-sebut mereka yang sukakan karya dwibahasa Melayu-Inggeris.



Akeem, 30 tahun, tidak lagi diselubungi rasa bimbang jika penggunaan nama pentas 'Jahat' itu merosakkan nama baiknya di persada seni.



Respons positif orang ramai bahkan memberinya keyakinan agar terus berkarya dan menghasilkan lagu yang menggambarkan kehidupan nyata.



Akeem, yang nama sebenarnya, Muhammad Nur Hakim Jumahil, kini teruja menanti persembahan sejam setengahnya di Studio Annexe Esplanade pada 29 Jun ini.



Sajian hiburan Akeem Jahat & The Mobbin Hoodies pada 10 malam itu dihidangkan sempena Pesta Raya! 2019 anjuran Esplanade.



Pesta Raya! merupakan acara tajaan Singapore Press Holdings (SPH) dan siri SPH Gift of Music.



Ketika ditemui di Esplanade baru-baru ini, Akeem menjelaskan:



"Saya teruja dengan peluang yang terbuka bagi mengadakan persembahan di Esplanade. Ruang pusat seni ini bukan calang-calang. Sukar mendapat tempat menyajikan hiburan di sini.



"Namun, saya bersyukur kian lama, orang mudah menerima saya selepas salah tanggapan yang sering timbul kerana nama pentas 'Jahat' yang saya gunakan."



Dalam satu wawancara awal bersama akhbar ini pada 2016, beliau pernah memberitahu bahawa nama itu disisipkan kerana beliau nakal dan kaki mengusik kawan.



"Kerana itu, mereka selalu panggil 'Akeem Jahat! Akeem Jahat!'. Sebenarnya, saya tidak sejahat mana."



Namun, 'Jahat' itu juga singkatan bagi cogan kata yang menjadi sandaran hidupnya, 'Jalan ada, haluan ada dituju'.



"Ia membawa maksud, kalau ada kemahuan membawa diri ke arah kemajuan, pasti ada jalan melakukannya. Kalau orang dengar pengertian singkatan 'Jahat' ini, semakin fahamlah mereka tentang misi saya dalam muzik.



"Kehidupan saya dahulu memang susah dan perit tetapi kerana muzik, saya mampu selamatkan diri daripada gejala tidak sihat, membangun kerjaya dan kekuatan saya.



"Saya juga berharap belia di luar sana dapat menjadikan muzik wadah memperkasa diri. Daripada terjebak dengan dadah atau ditangkap kerana jenayah, lebih baik mahirkan diri dalam muzik.



"Bagi yang sudah terjebak dan ingin kembali ke pangkuan masyarakat, muzik juga satu cara yang baik," tambahnya.



Bagi Akeem yang akan membuat persembahan bersama dua deejay sebagai satu pembaharuan kelak, setiap lagu yang dihasilkannya adalah cerminan pada pertumbuhan dirinya sebagai insan.



"Saya lebih sukakan sesuatu yang spontan. Maka, kita perlu lihat nanti bagaimana situasi pada malam persembahan. Saya akan ikut 'mood' pada malam itu," katanya.



Beliau menyifatkan persembahan di Esplanade itu kelak sebagai merakam perjalanan seninya.



"Kalau ditanya resipi jaya, saya akan katakan, anda perlu fokus dan pilih teman-teman yang boleh membangun semangat anda. Pilih juga nasihat mana untuk dipakai dalam kehidupan. Tak semua kata-kata orang boleh dijadikan sandaran.



"Kalau nak difikirkan, jadi artis tidak mudah. Orang selalu sangka, asal artis sahaja, kaya atau berjaya dalam kehidupan.



"Saya sendiri pernah jadi pelayan dan dalam dilema sebab ada yang kata, 'Kau dah jadi artis...mengapa masih nak jadi pelayan?



"Itulah tanggapan orang sedangkan artis juga menjalani kehidupan yang penuh pasang surutnya," ujar Akeem lagi.



Beliau kini ingin terus menyebar muzik positif daripada kisah perjalanan hidup sebenar seperti yang terakam dalam lagu-lagu seperti Woodlands, Level 22s dan Gua Love Minahs.



Tiket $27 dan $21 (pelajar, warga emas dan anggota Perkhidmatan Negara ) bagi persembahan Akeem boleh ditempah menerusi talian, kaunter dan laman Sistic.




"Saya teruja dengan peluang yang terbuka bagi mengadakan persembahan di Esplanade. Ruang pusat seni ini bukan calang-calang. Sukar mendapat tempat menyajikan hiburan di sini. Namun, saya bersyukur kian lama, orang mudah menerima saya selepas salah tanggapan yang sering timbul kerana nama pentas 'Jahat' yang saya gunakan."
- Akeem Jahat.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >