Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Alvin Chong Comel Tapi Tegas

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Alvin Chong Comel Tapi Tegas

Hero 'Awak Suka Saya Tak' ingin peminat saling menghormati dan pupuk semangat keluarga
Mar 04, 2018 | 05:30 AM



Dunia hiburan Melayu di seberang Tambak kian diwarnai kehadiran artis Cina yang mampu menarik perhatian ramai dek wajah comel, keramahan atau bakat istimewa mereka. Apakah yang mereka secara peribadi raih dengan menyertai pasaran Melayu selain diikuti lautan peminat yang senang dengan penampilan mereka? HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



WAJAH comel dan awet muda pelakon dan penyanyi dari George Town, Pulau Pinang, Alvin Chong, menjadi kegilaan si gadis remaja mahupun suri rumah pencinta drama.



Beliau malah terkenal dengan julukan 'mak cik magnet' kerana menarik perhatian golongan wanita pertengahan usia yang sejuk hati dengan kesantunan budi bahasanya apabila berbicara.



Sejurus namanya bermain di bibir ramai selepas menjayakan drama 'berhantu' Suri Hati Mr Pilot dan Awak Suka Saya Tak, pengikut Instagram pemuda berusia 27 tahun itu bertambah berkali ganda.



Kini, beliau memiliki 740,000 pengikut Instagram, setanding dengan nama-nama yang meningkat naik dalam industri hiburan Malaysia seperti Farah Nabilah dan Nabila Razali.



Alvin, yang dicungkil bakatnya sebagai penyanyi lagu Cina, lahir daripada program realiti nyanyian Astro Star Quest (ASQ), beberapa tahun lalu.



Beliau kemudian menjayakan filem Cina, 3 Brothers, The Dream Boyz dan Huat The Fish.



Namun tahun lalu, tanpa diduga Alvin sendiri, pasaran Melayu mula menyedari kehadirannya yang amat dialu-alukan dalam dunia hiburan Melayu di seberang Tambak.



Bermula dengan peranan kecil dalam drama Dia Semanis Honeymoon, beliau 'dilamar' pula bagi watak pembantu dalam Suri Hati Mr Pilot.



Ini disusuli dengan peranan utama dalam Awak Suka Saya Tak yang menggandingkannya dengan pelakon comel, Emma Maembong.



Mereka tampak serasi, malah kini merupakan sahabat karib yang saling memberi kata-kata motivasi terhadap satu sama lain.



Dalam pertemuan Gah! bersama Alvin di pejabat label rakaman Universal Music Singapore di AXA Tower sekitar Shenton Way, baru-baru ini, bintang kacak itu menyuarakan rasa terkejutnya dengan sambutan luar biasa masyarakat Melayu terhadap lakonannya.



Selepas menghasilkan single Lagu Mu, beliau muncul pula dengan lagu baru, Mencintaimu, sebagai runut bunyi drama Fattah Amin dan Janna Nick, My Coffee Prince.



Mencintaimu mengisahkan tentang cinta yang tidak mampu dimiliki. Ia mampu dikaitkan dengan kehidupan sesiapa sahaja yang bercinta jarak jauh, mengalami cinta yang ditentang orang tua atau bercinta dengan pasangan berlainan agama.



"Risau juga apabila 'dilamar' menjayakan drama Melayu sebab saya ni tak pandai berbahasa Melayu sebenarnya.



"Tak sangka selepas peranan kecil menyanyi lagu Melayu di hadapan Siti Nordiana, saya dapat pula tawaran berlakon bersama dua nama besar dalam industri Melayu, Fattah Amin dan Neelofa.



"Awalnya, memang saya gagap bertutur bahasa Melayu. Semua dialog berterabur. Fattah sampai ketawa tergolek di atas lantai sebab dia dapati bahasa saya kelakar tetapi comel!



"Mujurlah, saya kemudian mengenali lebih ramai kawan Melayu. Saya lepak bersama mereka dan dapatkan panduan mereka untuk kekal bertahan dalam dunia hiburan Melayu. Mereka tidak lokek dengan tunjuk ajar," kongsinya.



Banyak penyesuaian yang perlu dibuat apabila beralih daripada pasaran hiburan Cina kepada Melayu.



Alvin perlu peka pada sensitiviti agama Islam dan budaya Melayu dalam beberapa babak yang dijayakan seperti mendirikan solat, mengambil wuduk, mengucap dan beristighfar.



"Saya perlu banyak mengkaji perihal agama. Saya tak nak singgung perasaan sesiapa kerana saya hormati agama orang lain.



"Kalau Fattah menjadi guru bahasa Melayu dengan panduan berurusan dengan golongan 'otai' (orang lama) agar dapat belajar banyak ilmu industri, Emma adalah guru saya dalam perihal ajaran asas Islam," dedahnya.



Di sebalik penampilan comel dan wajah kebudak-budakan Alvin, tidak ramai yang tahu bahawa beliau tegas orangnya dan berani meluahkan apa yang terbuku di hatinya.



"Saya akur sebagai selebriti, saya perlu menunjukkan teladan yang baik buat pengikut khususnya adik-adik yang meniti usia remaja.



"Tetapi kelembutan itu ada batasnya. Saya tidak akan izinkan 'netizen' (masyarakat siber) komen sesuka hati mereka.



"Kalau ada perkara yang tidak wajar, saya akan membalas balik secara baik tetapi tegas, bukan kerana saya tidak boleh ditegur tetapi kerana saya enggan 'netizen' ambil kesempatan membuli selebriti di dalam talian.



"Kalau ada peminat yang keluar daripada batasan, saya tidak segan menegur mereka secara berhemah kerana saya ingin mereka hormati hak saya dalam mengetengahkan prinsip dan kerjaya saya sebagai anak seni," katanya lagi dengan nada serius.



Alvin juga senang jika peminat cilik atau remajanya menghadiri sesi pertemuan bersamanya dengan ditemani keluarga, khususnya ibu bapa.



"Saya suka tekankan nilai-nilai kekeluargaan dalam setiap pertemuan saya dengan peminat. Jadikanlah acara itu sebagai kegiatan 'Hari Keluarga'. Sekurang-kurangnya, ibu bapa adik-adik ini tahu mereka ke mana dan siapa yang mereka temui.



"Saya adalah anak seni yang juga senang jika menebal dalam hati peminat saya semangat kekeluargaan dan saling menghormati," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >