Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Anak Melayu Singapura teruja reka fesyen 'boyband' Korea

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Anak Melayu Singapura teruja reka fesyen 'boyband' Korea

Oct 08, 2019 | 05:30 AM



SABAN hari, pereka fesyen Singapura, Encik Adam Rashid, bertekad menebarkan sayapnya bagi menghasilkan rekaan inovatif dan eksperimental bagi dunia selebriti di Singapura, Malaysia mahupun di peringkat antarabangsa.



Setelah dilamar bagi menghasilkan fesyen pakaian trendy buat penyanyi hip hop Malaysia, MimiFly, di pentas Anugerah Planet Muzik (APM) tahun lalu, Encik Adam, 38 tahun, menghasilkan jaket berwarna buat penyanyi Malaysia, Sufian Suhaimi dan kumpulan boyband Korea, GTI bagi acara permaidani merah Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), baru-baru ini.



Sufian dan GTI berpadu suara pada acara gilang-gemilang anjuran akhbar Berita Harian Malaysia sebagai meraikan kegilaan terhadap muzik K-Pop yang diselarikan dengan muzik generasi Budak Baru Nak Up (BBNU) di Malaysia.



Peluang keemasan yang diraih Encik Adam, bapa dua anak lelaki berusia sembilan dan tiga tahun itu, adalah satu cara beliau meneroka trend terkini khususnya cita rasa selebriti lelaki yang pesat berubah.



Menurutnya, kian ramai penyanyi lelaki kini lebih cenderung dan berani menggayakan kot atau pakaian lebih ranggi dengan warna terang di luar keselesaan menyarung pakaian berwarna hitam, putih atau biru gelap yang dianggap membosankan bagi tujuan bergambar di acara besar-besaran.



Sebagai seorang peragawan yang pernah mewarnai peraduan peragaan jejaka kacak Manhunt pada zaman bujangnya, Encik Adam akur dirinya teruja dengan perkembangan dunia fesyen masa kini.



Sekali-sekala, beliau masih diundang ke negara jiran bagi menyertai acara peragaan pakaian.



Daripada setakat menghasilkan busana pengantin bagi butik Lamaison Adam Rashid dan mengadakan paparan koleksi fesyen terkini di The Iris Ballroom, City Plaza baru-baru ini, beliau turut menjual busana siap pakai di unit kedai Adam.R di pusat beli-belah Golden Landmark.



Mengulas ciptaan fesyen terkini berupa jaket berwarna dan bercorak buat kumpulan GTI, Encik Adam yang memiliki Diploma Rekaan Fesyen daripada Maktab Seni Lasalle, berkata:



"Kalau saya kaji cita rasa dan kecenderungan jejaka Korea, saya dapati mereka kini tidak lagi mengenakan jaket klasik hitam, putih atau biru gelap mahupun jaket berjalur atau berkotak-kotak yang biasa kelihatan. Almari pakaian mereka mengandungi bermacam-macam fesyen pakaian yang berani dan menyerlah dari segi rekaan dan warna.



"Selebriti lelaki di Asia juga senang dengan motif bunga atau corak berwarna terang yang menampakkan keceriaan dalam acara gilang-gemilang seperti penyampaian anugerah.



"Lantaran itu, saya berbesar hati dapat memberikan idea kreatif saya dalam dunia fesyen buat dunia hiburan apa lagi jaket yang dihasilkan digayakan boyband Korea, GTI."



Minat Encik Adam terhadap dunia fesyen sebenarnya berputik dari kecil lagi apabila membantu ibu bapanya mengendalikan busana siap pakai di butik Huzah di Golden Landmark.



"Saya berusaha mendapatkan unit kedai saya sendiri apabila saya melihat revolusi teknologi baru mengancam dan membawa risiko yang menjejas setiap industri perniagaan khususnya fesyen.



"Trend jualan pakaian dalam talian telah mengurangkan pulangan bagi kedai-kedai busana. Namun, jika pelanggan tahu unsur teknikal menyiapkan sesuatu pakaian, mereka akan amati bahawa mutu rekaan pakaian yang dibeli di kedai jauh berbeza daripada pakaian yang ditempah dalam talian.



"Saya tetap meyakini masa depan yang cerah buat butik busana siap pakai. Ramai yang tidak tahu ada juga usahawan dalam talian yang membeli pakaian daripada kedai dan menjualnya di media sosial tanpa mengetahui ilmu produk tersebut.



"Saya secara peribadi bukan sahaja menjual busana tetapi fesyen kepada pelanggan saya. Saya manfaatkan kemahiran saya, mempunyai visi tersendiri yang saya realisasikan dengan memastikan fabrik atau bahan lain yang digunakan bermutu dan berdaya tahan serta selesa buat pengguna. Sememangnya, industri fesyen berubah pesat seperti teknologi digital," jelasnya.



Dalam menghasilkan rekaan fesyen buat pengantin juga, Encik Adam begitu teliti menggali cita rasa si pemakai. Beliau pastikan konsep rekaannya ada unsur tradisi dan nostalgia yang digabungkan dengan ciri-ciri kemodenan. Fabrik yang digunakan pula adalah yang trendy di pasaran seperti les Guipure dan Charmeuse (fabrik ringan sutera).



Ditanya apakah yang dinanti-nanti bagi rekaan akan datangnya, beliau tersenyum seraya berkata:



"Saya bakal menghasilkan fesyen busana pengantin buat seorang selebriti Malaysia yang akan mendirikan rumah tangga awal tahun depan.



" Saya begitu teruja lebih-lebih lagi apabila selebriti ini memilih saya, anak Melayu Singapura, dalam kalangan pereka fesyen lain yang pernah bekerjasama dengannya. Beliau hargai kreativiti dan kerja seni saya yang dianggap teliti dan terkini."



Rekaan Encik Adam boleh ditinjau menerusi Instagram @adam.r_lamaison




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >