Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Arif seterusnya Syarif

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Arif seterusnya Syarif

Personaliti muzik setempat kembali dengan persembahan sejam di Esplanade 28 Jun
Jun 13, 2019 | 05:30 AM



KALAU muzik sudah dianggap cinta pertama, bakat tempatan Syarif tidak pernah mengabaikannya meskipun mengambil masa lama untuk menghasilkan karya baru.



Sejak Syarif, yang nama sebenarnya ialah Ahmad Syarifullah Ahmad Soribah, 29 tahun, membawa haluan sendiri dengan pembubaran duo hip hop SleeQ pada 2015, tumpuannya lebih pada bidang lakonan dan perniagaan pencuci mulut Sepanyol 'churros'.



Tempoh empat tahun itu juga diambil bagi menjenamakan dirinya semula sebagai artis solo dengan bunyian dan identiti serba baru.



Maka, tahun ini dirasakan tempoh tepat buatnya kembali ke persada muzik dengan lagu berentak R&B dan 'soul'.



Lagu tersebut bakal disajikan dalam persembahan sejam Syarif - Dan Seterusnya pada 28 Jun ini.



Acara di Studio Annexe Esplanade itu sebahagian daripada santapan halwa telinga sempena Pesta Raya! anjuran pusat seni tersebut.



Pesta Raya! ditaja Singapore Press Holdings (SPH) dan siri SPH Gift of Music.



Ketika ditemui di Esplanade baru-baru ini, bapa muda dua anak berusia empat dan dua tahun itu berkata:



"Muzik memang mendarah daging dalam hidup saya. Setelah SleeQ dibubarkan, saya belum lagi bersedia bergerak sebagai artis solo kerana anak masih kecil.



"Saya juga baru mengusahakan perniagaan 'churros' Chulop! ketika itu. Lagipun, saya enggan terburu-buru dengan langkah menghasilkan lagu baru.



"Terus terang saya mengambil masa yang lama bagi mencari irama yang ingin saya sampaikan.



"Sekitar dua tahun lalu, saya menjalin kerjasama dengan rakan pemuzik Trisno Ishak, yang memang memiliki ketulusan dalam berkarya. Jiwa seninya menyerlah.



"Saya menyedari kerana muzik sudah sebati dalam diri, saya tidak boleh membiarkan cinta terhadapnya layu begitu sahaja.



"Sebagai mengubati rasa rindu terhadap nyanyian, saya manfaatkan ruang media sosial bagi menghiburkan pengikut sekali-sekala. Justeru, mereka tahu saya masih menyanyi."



Diminta menjelaskan tentang bunyian baru yang ingin ditampilkan, Syarif menjelaskan bahawa ia kedengaran lebih matang.



Beliau juga bakal diiringi band yang bermain muzik secara langsung.



"Mudah-mudahan muzik baru saya yang persis lagu penghibur Indonesia seperti Marcell dan Glenn Fredly dapat diterima ramai.



"Saya mulakan dengan 'single' Satu yang mendorong kita agar yakin pada ketentuan dan jalanan yang dibentangkan Allah.



" Lagu motivasi ini pembakar semangat agar tidak mudah berputus asa dengan apa jua rintangan dalam kerjaya atau perniagaan," ujarnya.



Idea bagi Satu juga didorong pemerhatiannya terhadap unsur negatif yang sewenang-wenangnya tersebar di media sosial.



Dengan 285,000 pengikut Instagram, beliau boleh disifatkan sebagai personaliti berpengaruh atau ikon media sosial dengan kerja pemasaran perniagaan atau panduan mudah sebagai ayah muda sering dikongsi.



"Saya lihat terlalu banyak perkara negatif yang sering dilontarkan di ruang siber. Kemarahan meluap-luap dilahirkan di Facebook dan Instagram.



"Ada yang saling mengaibkan di media sosial kerana pertengkaran yang tidak dihurai secara empat mata. Fitnah tersebar. Takut juga kalau difikirkan tentang kesan buruk media sosial ini.



"Sebagai penggiat media sosial, saya anggap setiap pos yang dibuat itu amanah dan tanggungjawab agar berkongsi perkara baik-baik dan bermanfaat buat masyarakat," ujarnya.



TERUS BERGIAT



Dalam pada itu, dunia seni Syarif berwarna-warni dek peluang berlakon dalam pelbagai drama tempatan sepanjang 12 tahun lamanya.



Baginya, tawaran pergi ke Amerika Syarikat bagi drama Kultus tidak akan dilupakan sepanjang hayat.



"Kami bertugas dalam kedinginan suhu paras -35 darjah Selsius! Sejuk dan mencabar nak lakonkan watak dalam suasana dingin itu.



"Namun, saya gembira pengarah Mahfuz Mazlan yakin dengan kebolehan saya, malah memberitahu bahawa beliau menyenangi apa yang saya tampilkan dalam drama tersebut.



"Saya tidak pernah memenangi anugerah Pesta Perdana bagi kategori lakonan, tetapi menerima pencalonan beberapa kali termasuk seiringan dengan nama besar seperti Beto Kusyairy sudah menjadi galakan buat saya," katanya.



Lumrahnya, pengorbanan diperlukan dalam setiap aspek kehidupan.



Dalam kesibukan membesarkan anak dan membangunkan perniagaan, beliau terpaksa menolak tawaran membina kerjaya di negara seberang.



"Mungkin apabila anak sudah besar, saya akan memikirkan kemungkinan menjayakan projek di Malaysia tetapi saya tidak akan berhijrah ke sana kerana keluarga dan perniagaan di Singapura," ujarnya.



Apakah yang membuatnya cukup bertenaga meskipun menggalas pelbagai amanah?



Jawabnya:



"Saya akui penat tetapi apabila pulang ke rumah, buka pintu dan nampak anak, Selma Malika dan Umar Nael, berlari ke arah saya, itu sudah cukup hilangkan penat.



"Dulu pak cik pernah mengulas 'Jual nasilah sebab hari-hari orang makan nasi. Buat apa niaga 'churros'? Tapi, saya nak Chulop! jadi jenama terkenal 'churros' sama macam Auntie Anne bagi 'pretzels' dan Krispy Kreme buat donat.



"Apabila ada pelanggan yang sanggup terbang ke Singapura dari Kuala Lumpur dan Brunei buat sehari demi 'churros', itulah detik paling menyentuh perasaan bagi saya," katanya.



Beliau turut menghargai isterinya Malaque Mahdaly kerana berada di sampingnya dalam setiap aspek kehidupan, termasuk menjadi penulis lirik buat karya terbarunya.



Tiket berharga $27 dan $21 (warga emas, pelajar dan anggota Perkhidmatan Negara) bagi persembahan Syarif - Dan Seterusnya boleh ditempah menerusi laman, talian dan kaunter Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >