Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Bakat muzik pelajar ITE terserlah dalam 'Vocal Xchange'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Bakat muzik pelajar ITE terserlah dalam 'Vocal Xchange'

Jul 17, 2019 | 05:30 AM



Menyediakan ruang bagi pelajar dengan bakat menyanyi dan bermain muzik agar tampil profesional di pentas gah Institut Pendidikan Teknikal (ITE) menjadi matlamat acara tahunan Vocal Xchange. Turut terlibat sebagai tenaga belakang tabir dalam acara yang memberi pelajar kebebasan mencorak persembahan dan memberi takrifan pada lagu malar segar adalah gitaris tempatan Addy Cradle sebagai mentor. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



DI kala Encik Muhammad Hady Addams ingin membenamkan sahaja cinta terhadap muzik kerana dibelenggu putus asa, lulusan Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur itu kembali menyulam kasih pada hobi lamanya itu.



Kebetulan, beliau diundang sebagai jurulatih dan pencipta lagu bagi kumpulan kegiatan kokurikulum (CCA) East V.I.P yang membuat persiapan bagi persembahan gah, Vocal Xchange 2019.



Vocal Xchange 2019 yang menggabungkan bakat seni suara dan muzik daripada pelbagai CCA di ITE atau dalam kalangan bekas pelajar disajikan di Auditorium ITE, Pusat Persidangan Tay Eng Soon, Khamis dan Jumaat lalu.



Encik Muhammad Hady, 22 tahun, yang pernah mengambil kursus perakaunan di ITE Kolej Timur, diamanahkan mencipta lagu syahdu Remember Us (Milestones) bersama seorang lagi pelajar perakaunan, Dumaquit Danzel Lu Enriquez, 16 tahun.



Lagu ini antara lain dihasilkan sebagai tanda ingatan terhadap guru nyanyian dan muziknya, Allahyarhamha Safiah Rasman.



Cik Safiah, 53 tahun, pegawai sokongan pengurusan di Pusat Muzik dan Kesenian (CEMTA) di ITE Kolej Central, meninggal dunia awal tahun ini selepas satu serangan angin ahmar.



Selebihnya, ia merupakan lagu yang diharap dapat menjadi kenangan sampai bila-bila bagi pelajar yang menganggotai kumpulan nyanyian East V.I.P itu.



Ketika ditemui di ITE Kolej Central baru-baru ini, Encik Muhammad Hady berkata:



"Sebenarnya, saya memang hilang minat terhadap muzik kerana pelbagai pengalaman perit dalam hidup yang biar menjadi rahsia saya. Rasanya macam nak pencen daripada dunia seni.



"Namun, apabila pihak CEMTA mempelawa saya membimbing East V.I.P, saya berat hati untuk menyatakan 'Tidak'.



"Awalnya, tiada rancangan menghasilkan lagu baru bagi Vocal Xchange. Hanya lagu saduran yang bakal dipersembahkan.



"Masa yang diberi pengarah muzik, Encik Julian Wong, bagi saya mencipta lagu baru juga terbatas.



"Dalam masa seminggu, saya mencari pelajar yang mahir dalam ciptaan lagu. Saya diberitahu Danzel memang boleh melakukannya walaupun baru satu lagu sahaja yang dicipta.



"Terus terang saya katakan membaca lirik tulisannya, saya langsung lupakan kebosanan dan kekecewaan saya terhadap muzik. Saya terus ingin kembali berseni secara serius. Banyak inspirasi yang diraih daripada penulisan Danzel.



"Kami hasilkan lagu itu berdua. Saya perhalusi liriknya dan dengan nasihat Encik Wong, kami rakamkan Remember Us (Milestones), dengan mengingati jasa Cik Safiah dan dinamisme kumpulan CCA kami."



Melihat anggota East V.I.P berikan persembahan terbaik adalah nikmat terbesar buatnya sebagai jurulatih.



Menurut Encik Muhammad Hady, Cik Safiah rapat dengannya di samping sering memberinya dorongan agar menanam minat serius dalam bidang muzik.



"Ada kalanya beliau leterkan kami tetapi amat penyayang. Pesanannya kepada saya, 'Jangan terlalu rasa diri kita ini terjalin utuh dengan sesuatu di muka bumi sebab dunia ini sementara. Tiada yang kekal'.



"Bila-bila masa kita akan kehilangan sesuatu yang dicintai itu. Kita harus tangkas dan reda melepaskannya," ujarnya dengan nada sedih.



Sedang Encik Muhammad Hady mendapat semangat baru daripada mencipta lagu Remember Us yang didendangkan penuh harmoni oleh 10 pelajar, Danzel pula meraih keyakinan mencipta lebih banyak lagu.



"Kali pertama saya mencipta lagu adalah selepas putus cinta tahun lalu. Saya menggunakan diari di mana saya coret luahan hati saya sebagai tema lagu tersebut.



"Apabila lagu kedua Remember Us (Milestones) ini berjaya direalisasikan dengan teman-teman menyanyikannya di pentas, tentunya saya rasa puas hati.



"Ada pesanan tentang mengenang mereka yang sudah tiada dan memori bersama teman-teman dalam East V.I.P," katanya.



Pengarah artistik Vocal Xchange 2019, Encik Zaini Tahir pula mengulas:



"Ini adalah tahun keenam Vocal Xchange diadakan dengan sejarah dan kenangan secukupnya dicorak sebagai batu penanda kita sendiri di ITE.



"Dengan keyakinan diri kumpulan-kumpulan CCA kami ini, mereka tampil menjayakan konsert ini yang memberi penghormatan kepada artis yang membangun sebuah generasi.



"Misalnya, Benny Goodman, Stevie Wonder, Shakatak, Michael Jackson dan Beyonce...nama mereka ini diabadikan dengan muzik mereka menyentuh perasaan kita, mempengaruhi mood dan memberi kita tenaga baru atau mencetus inspirasi buat kita.



"Menyiapkan lagu saduran itu mudah seperti ABC tetapi kami ingin melakukan lebih daripada setakat menyanyikan semula lagu-lagu ikon ini.



"Sedang konsert ini berusaha mengetengahkan bakat muzik kami yang terbaik serta daya kreativiti mereka, ia juga tempoh bagi kami mengenal pasti pengaruh muzik kami."



Beliau, justeru itu, gembira pelajarnya dapat meninjau jalan kenangan ikon muzik ini dengan mengkaji kehidupan, cita rasa, fesyen, rujukan dan keutamaan mereka dalam seni.



Sebanyak 18 lagu disajikan. Antara yang menarik perhatian penulis adalah persembahan akapela ITE That Acapella Group yang menyanyikan lagu Earth, Wind & Fire, Fantasy dan saduran lagu itu yang dipopularkan Black Dog Bone, Khayalan.



Lengkap dengan rambut Afro, seluar bell-bottom dan baju berkerdipan, mereka menyanyi dan menari dengan penuh bersahaja persis berada dalam tahun 1970-an.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >