TINJAUAN PERSIAPAN HARI RAYA
Bazar berkonsep baru cerminan masyarakat progresif, bersemangat
BOSAN dengan konsep lama, EnNiche Events, pengendali utama bazar Ramadan Geylang Serai tahun ini mengambil keputusan mengajukan konsep baru.
Beberapa kontena sepanjang 20 kaki setiap satu yang berhawa dingin dan ruang makan dua tingkat antara unsur baru yang akan menyerikan bazar tahun ini, EIDCITY.
Satu unit kontena yang harga sewanya $10,000 itu menawarkan rupa dan pengalaman lebih segar.
"Kami diberi peluang menjadi kontraktor utama bazar Ramadan Geylang tahun ini dan kami ingin menjadikan tahun ini tahun pembaharuan" ujar Encik Mohamed Mustaffa Shah, pengasas EnNiche Events yang mempunyai pengalaman tujuh tahun mengendalikan bazar Ramadan Geylang Serai.
Di Facebook EnNiche Events, ia mempromosikan ruang baru ini sebagai satu cara mengimbas kembali dan mengalami suasana kampung dahulu tetapi dengan unsur moden.
"Dengan konsep baru ini, kami ingin menunjukkan kita masyarakat progresif lagi bersemangat.
"Kami juga ingin membuktikan bahawa masyarakat Melayu/ Islam di Singapura merupakan masyarakat berwawasan," kata Encik Mohamed Mubarak Shah, pengurus logistik EnNiche Events.
Ruang bazar di hadapan bangunan Darul Arqam, yang dahulu penuh dengan gerai makanan kini dipenuhi kontena pelbagai warna dan hiasan lampu yang pasti menambat hati orang ramai.
Kontena itu bakal diisi peniaga barangan gaya hidup Ramadan yang kian menjelang. Pembaharuan ini juga dapat memastikan mereka dapat berniaga dalam keadaan selesa.
"Apabila dibandingkan dengan pasar malam yang hanya menyediakan ruang, kami menyediakan pelbagai kemudahan seperti lampu kafe bistro, hamparan permaidani , pegawai keselamatan pada waktu malam dan bermacam-macam lagi,"kata Encik Mubarak.
Beliau berharap usaha mereka mahu mencipta pengalaman unik di bazar Ramadan tahun ini dapat meningkatkan lagi jumlah pengunjung.
Bazar Ramadan Geylang Serai bermula 3 Mei ini.