Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Berjuang martabat irama tradisional Melayu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Berjuang martabat irama tradisional Melayu

Siti Nurhaliza, bakat S'pura beri penghormatan pada Pak Ngah dalam konsert yang turut pancing minat keluarga Portugal
Jan 03, 2020 | 05:30 AM



BAK pepatah gajah mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.



Pemergian 'Bapa Irama Tradisional Melayu', Pak Ngah Suhaimi (Suhaimi Mohd Zain), menyusuli serangan jantung di Batam pada 25 September 2018, ternyata meninggalkan kesan dalam diri insan seni mahupun pencinta irama tradisional atau pop etnik di Nusantara.



Jerih payah perjuangan beliau diabadikan dalam Konsert Karya Agung Pak Ngah yang dibawa 'terbang' dari Istana Budaya di Kuala Lumpur ke pusat seni Esplanade di Singapura kelmarin.








Peneraju utama konsert ini merupakan anak didik Pak Ngah, penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang mengajak sama empat bakat Singapura - Suryana Norddin, Hyrul Anuar, Yanni Bakri dan Elfee R. Ismail - agar menguar-uarkan kemerduan dan kesyahduan kerja seni Pak Ngah dalam konsert lebih dua jam itu.



Dengan iringan Orkestra Tradisional Malaysia yang menampilkan alat muzik tradisional dari setiap negeri di Malaysia, konsert kelmarin menjadi santapan Tahun Baru paling enak di samping menarik generasi muda Singapura menghayati warna-warni rentak Melayu tradisional yang sewajarnya tidak harus dilupakan.



Dewan Konsert Esplanade yang mempunyai tampungan 1,600 orang penuh terisi dengan hadirinnya terdiri daripada penduduk pelbagai negara termasuk sebuah keluarga bangsa Portugal yang sanggup terbang dari negaranya demi menikmati lagu-lagu tradisional yang disajikan Siti.



Kata Siti: "Si ayah, seorang pencinta muzik, pernah ke Malaysia dan meminta saranan penyanyi Malaysia yang lagunya perlu didengar.



"Apabila ada mengusulkan nama saya, lelaki Portugal ini mendengar lagu-lagu tradisional saya dan ternyata 'melekat' padanya kerana menghargai nilai muzik yang ada pada lagu-lagu ini.



"Saya malah terharu apabila klip video anak kecilnya yang ketika itu berusia lima tahun bermain piano lagu Kurik Kundi, saya perolehi.



"Terharu rasanya apabila mereka sekeluarga sanggup datang jauh dari Portugal ke Singapura bagi menyaksikan konsert yang menjunjung budi Pak Ngah ini."



Saya masih ingat genap sedekad lalu, Siti, dengan tarikan semberaninya memukau penonton dengan suara buluh perindunya di konsert Bagaikan Sakti bersama Datuk M. Nasir.



Penangan beliau ternyata masih wujud, malah lebih memukau dengan tenaganya ibarat bateri telefon yang sudah lama dicas dan bertahan panjang meskipun perlu ligat menari bagi setiap lagu yang disajikan.



Konsert dibuka dengan irama Ala Donde dan Pong-Pong Along yang disajikan Orkestra Tradisional Malaysia bagi memperkenalkan penonton dengan keunikan irama bersejarah yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.



Pujian pula wajar diberi kepada penganjur kerana melibatkan penyanyi muda Singapura serta penari muda daripada kumpulan Sriwana bagi menjayakan konsert ini.



Ia petanda irama tradisional yang biasanya dikaitkan dengan orang lama masih mampu memikat penonton muda yang nampaknya terpaku pada pentas yang penuh warna-warni dan kemeriahan bak pesta desa di seberang Tambak.



Elfee, yang juga anak penyanyi veteran R. Ismail dan anak didik Pak Ngah, tampil dengan lagu Laksamana Raja Dilaut dan Dendang Perindu.



Tepukan gemuruh pula diterima Suryana apabila beliau tampil menyanyikan lagu Sulam 9 disusuli dengan duet lagu popular Dikir Puteri bersama Yanni.



Ternyata, wadah yang diberi aktivis seni ini untuk tampil di Dewan Konsert Esplanade membuka mata ramai terhadap bakatnya yang kian hari kian menyerlah.





Yanni, yang sinonim dengan irama tradisional, pula mendendangkan lagu Datuk Sharifah Aini, Yayadan.



Duet Elfee dan Hyrul dalam lagu Zapin Melayu pula menampakkan sinergi kedua-duanya. Hyrul kemudian menamatkan segmen penghargaan bakat tempatan dengan lagu Samrah Mentari.









Kisah-kisah perjuangan Pak Ngah dibuka satu-persatu oleh Siti yang rasa bertuah kerana dapat menimba ilmu lagu tradisional daripada mentor yang dianggap tegas tetapi suka menegur menerusi gurau senda.



Lebih daripada itu, orang ramai dapat melihat ciri-ciri kesungguhan Pak Ngah yang beberapa kali menjadi pengarah konsert yang memberi usulan kepada Siti agar menampilkan kelainan dalam setiap konsert yang dijayakan agar peminat tidak jemu menontonnya.



"Pak Ngah kerap tanya Siti nak buat apa lagi? Macam-macam dah dibuat... jadi ahli silap mata, main gimnastik walaupun 'somersault' (pusing kuang) Siti nampak terpeleot! Main senapang M16 nak jadi tentera sampai cedera tangan Siti sewaktu berlatih," kongsinya.



Cindai, Balqis. Hati Kama, Ya Maulai, Jelmakan Ayu Mu, Nirmala, Kurik Kundi dan Kudus Sinar Mu disajikan satu-persatu membuat penonton meniti jalan kenangan.



Gurau senda Siti yang selamba dan kadangkala tidak dijangka dengan senyuman terukir di bibir menjadikan konsert ini satu permulaan baik dalam dunia hiburan 2020.



Beliau turut berduet dengan Elfee menerusi lagu Bergending Dang Gong. Paling seronok apabila penonton diperkenalkan dengan alat muzik tradisional daripada seruling, serunai, rebana, gambus, tabla dan sape (dari Sarawak) yang dimainkan pemuzik berbilang kaum.



Sambil berhibur, ada unsur pendidikan yang disematkan agar semangat menghargai warisan tradisional Melayu terus membara.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >