Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

'Bukan Hal Aku' dapat hadiah cemerlang Compass

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'Bukan Hal Aku' dapat hadiah cemerlang Compass

Alif Abdullah terima Anugerah Lagu Pop Tempatan Terbaik (Individu)
Sep 27, 2018 | 05:30 AM



BUKAN mudah untuk sering menanggung rindu kerana berjauhan daripada keluarga demi melaksanakan tugas di negeri orang.



Alif Abdullah, penyanyi dan penggubah lagu Singapura telah melalui kesunyian itu sejak beberapa tahun lalu.



Namun pengorbanannya ternyata tidak sia-sia kerana hasil karyanya menjana pendapatan yang memberangsangkan.



Buktinya, Ahad lalu beliau telah menerima Anugerah Lagu Pop Tempatan Terbaik (Individu) menerusi lagu Bukan Hal Aku dalam majlis Penganugerahan Persatuan Penggubah Lagu dan Penulis Lirik Singapura (Compass).



Anugerah itu diberikan kepada lagu yang mengumpul royalti tertinggi bagi kategori yang disediakan.



Acara gah ini berlangsung di Resorts World Convention Centre.



Alif, yang mencipta nama menerusi kumpulan Sleeq, kini lebih banyak menghabiskan masa di Kuala Lumpur selepas kumpulan itu berpecah pada 2014.



Walaupun sibuk dengan jadual yang padat, Alif sempat melancarkan single-nya, Buat Selamanya, tahun lalu.



Lagu ini mendapat perhatian ramai walaupun isu yang diketengahkan adalah mengenai isu sosial dan keganasan rumah tangga.



Alif menjelaskan lagu ini tiada kena-mengena dengan kisah peribadinya atau kenalan rapat tetapi sekadar rekaan.



Suami kepada pelakon TV dan bekas guru, Azzah Fariha Samat, ini memberitahu Gah! walaupun sudah lali bertugas dan perlu terbang ke luar negara, beliau tetap berasa sayu setiap kali perlu meninggalkan isteri dan anaknya, Alana, yang baru berusia dua tahun.



Namun, dek ingin memburu cita-cita dan berkarya secara profesional di seberang Tambak, Alif gagahkan diri.



"Percaya atau tidak, setiap kali saya perlu meninggalkan Singapura dan 'berpisah' seketika dengan keluarga terutama anak kecil saya, hati saya benar-benar sedih.



"Tetapi mereka ini jugalah yang memberikan saya kekuatan dan semangat untuk tekun berkarya kerana saya melakukan ini semua demi untuk keluarga tercinta dan masa depan kami.



"Keluarga saya terutama isteri banyak memberikan saya sokongan dan mereka juga begitu memahami tugasan dan kerjaya muzik saya selama saya.



"Alhamdullilah di atas setiap anugerah yang saya terima. Pada esoknya, saya akan terus bekerja keras, akan berusaha dengan terbaik dan meneruskan perjuangan dalam industri ini," ujarnya.



SIAPKAN LAGU UNTUK ZIANA ZAIN



Alif atau nama sebenarnya, Muhammad Alif Abdullah, 29 tahun, menjelaskan beliau juga bakal melancarkan album gabungan bersama SonaOne dan single pertama ini akan dilancarkan pada 26 Oktober ini.



Bukan itu sahaja, Alif juga sedang menyiapkan lagu untuk penyanyi terkenal, Ziana Zain, dan beliau pernah juga menjadi komposer kepada beberapa artis lain di Malaysia seperti Kaka Azraff, Najwa Latiff dan ramai lagi. Bahkan beliau juga mempunyai produksi muziknya sendiri yang dinamakan Magic Potions.



Alif sudah mula membuat persembahan ketika berusia 14 tahun dan ketika masih menuntut di sekolah menengah lagi.



Bagi anak muda lain yang ingin menjadi penyanyi dan berkarya, seperti dirinya, ini nasihat Alif kepada mereka:



"Carilah diri anda sendiri sebelum mencari kerjaya yang anda inginkan," katanya.



PANDANGAN RAHIMAH RAHIM



Penyanyi tersohor Singapura, Rahimah Rahim berkata kejayaan Alif patut dijadikan contoh dan pembakar semangat bagi artis-artis muda yang lain.



Rahimah menerangkan, Alif bukan hanya mempunyai bakat tapi beliau juga mengetahui genre muzik yang telah menjadi kekuatan bagi dirinya.



Selain itu, Alif juga berani mendedahkan daya kreativitinya bukan hanya di Singapura malah di rantau ini.



"Saya secara peribadi memang meminati suaranya. Walaupun bertubuh kecil, namun Alif mempunyai suara yang tinggi, mantap dan baik sekali. Beliau memang gifted dan layak menerima anugerah ini.



"Ini juga menunjukkan bahawa kota kita ini tidak gersang dengan artis yang berbakat besar.



"Saya percaya industri muzik Melayu kita boleh berjaya lebih maju lagi seperti pada tahun-tahun 1970-an dahulu, di mana ramai artis tempatan kita mencipta nama di persada seni, dan dikenali ramai. Dan mereka semua bermula di Singapura.



"Saya berharap fenomena sedemikian boleh direalisasikan lagi di masa hadapan nanti," jelas penyanyi mapan yang telah dinobatkan ke Dewan Wanita Masyur Singapura tahun lalu.



PANDANGAN YUSNOR EF



Yusnor Ef, penggubah lagu, penulis yang juga merupakan salah seorang anggota Lembaga Pengarah Compass berkata, kejayaan Alif merupakan suatu kejayaan bukan hanya pada Singapura, bahkan di Nusantara juga.



Beliau berpendapat, lagu-lagu Melayu yang dinyanyikan Alif mempunyai mesej yang positif dan tersendiri.



Sementara itu, kategori Anugerah Kecemerlangan Artistik telah disampaikan kepada tiga individu tempatan, Profesor Madya Chan Tze Law, Zul Sultan dan Amir Masoh.



Anugerah Kepujian pula diberikan kepada Dr Peter Low dan Samuel Tan.



Sementara mendiang Encik Chang Kwai Ming telah menerima penghargaan tertinggi Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.



  • Ismawati Ismail adalah penulis sambilan.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >