Subuh
5:53
Syuruk
7:09
Zuhur
1:14
Asar
4:15
Maghrib
7:17
Isyak
8:25

Cef Mastura kongsi ilmu buat kuih, galak wanita jana pendapatan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Cef Mastura kongsi ilmu buat kuih, galak wanita jana pendapatan

Beri tip untuk hasilkan biskut rangup dan kek lembut
May 26, 2019 | 05:30 AM



SEDANG ramai penggemar membuat kuih dan kek sibuk di dapur untuk tujuan bisnes terutama dalam Ramadan, Cef Siti Mastura Alwi sejak akhir-akhir ini lebih sibuk menggunakan kepakarannya untuk membantu orang lain 'buat duit'.



Kalau tidak pun, beliau mahu segala perkongsian ilmunya menerusi kelas yang dikendalikan, dapat membantu meringankan beban pelajarnya menghasilkan kuih dan kek sendiri pada masa yang menjimatkan.



Menurut personaliti yang sebelum ini sering ditampil dalam rancangan memasak di televisyen ini, antara projek perkongsiannya termasuk mengajar sekumpulan ibu daripada Persatuan Ain untuk menghasilkan biskut dan brownie menggunakan doh yang telah siap diadun.



Menghasilkan doh siap adun yang kemudian dibekukan merupakan antara tumpuan Cef Mastura hari ini.



"Tidak semua orang mampu membeli mesin pengadun kek dan kuih. Tujuan saya ialah mengurangkan beban mereka menghasilkan doh yang banyak tanpa perlu membeli mesin pengadun yang mahal.



"Saya juga mengajar mereka membuat kuih Putri Salat dengan menggunakan serikaya yang telah siap dibancuh. Serikaya yang sama boleh digunakan untuk mengisi kuih tart atau kek gulung," kongsi Cef Mastura.



Menurutnya, doh siap adun yang dihasilkannya telah membantu ramai pelajarnya menjana pendapatan dengan menjadikannya sebagai biskut untuk berkat pengantin atau manisan dalam majlis perkahwinan.



"Dengan doh siap adun beku, mereka dapat menjualnya pada harga tiga kali lipat daripada harga doh yang dibeli," ujarnya. Doh siap adun itu juga sudah digunakan di kafe-kafe Brunei dan Dubai, tambah beliau.



Menyedari ramai ibu kini sibuk menyiapkan kuih-muih dan kek Hari Raya, Berita Minggu telah meminta Cef Siti Mastura berkongsi tip menghasilkan biskut yang rangup dan kek yang lembut dan gebu.



Berikut panduan yang beliau berikan.



TIP BUAT BISKUT



1) Gunakan mentega yang agak sejuk kerana jika menteganya terlalu lembut, ia akan cepat cair - akibatnya biskut menjadi leper dan gelap.



2) Jangan gunakan telur saiz besar sebab kerana kandungan putih telur yang lebih. Putih telur pula mengandungi air. Itu yang membuat biskut terlalu kembang dan susah nak garing walaupun dibakar lama.



3) Jangan pukul telur terlalu lama bila membuat biskut kerana ia akan menambah angin ke dalam doh - mengakibatkan biskut gelembung ketika dibakar.



4) Jika menggunakan mesin pengadun, jangan pukul terlalu lama ketika masukkan tepung, jika tidak 'gluten' daripada tepung itu akan membuat biskut menjadi keras.



5) Selalu 'rehatkan' doh sebentar sesudah diadun. Jangan terus mencanai atau membakarnya. Jika membuat chocolate chip, selalu 'rehatkan' doh di peti sejuk selama lima hingga 10 minit dahulu sebelum membakarnya.



6) Apabila doh sudah siap diadun, bahagikan ia kepada beberapa bahagian untuk disejukkan dan 'direhatkan'. Jangan 'rehatkan' kesemua doh itu dalam satu mangkuk. Ambil satu persatu doh yang mahu digunakan. Sebab jika kita gunakan semua dohnya sekali arus, doh itu akan mula keluar minyak - menjadikan biskut cepat gelap walaupun baru sahaja dibakar.



7) Jika membakar biskut chocolate chips, tidak boleh oles loyang dengan mentega. Harus gunakan baking paper atau parchment paper. Jika tidak, biskut chocolate chips itu akan kembang, leper dan cepat hangus.



8) Untuk biskut seperti makmur, sugi dan yang lain yang kita inginkan hasilnya garing, harus gunakan loyang yang dioles dengan mentega.



9) Pastikan ketuhar sudah dipanaskan sekurang-kurangnya 15 minit sebelum mula membakar biskut atau kek.



10) Jika membakar biskut beberapa loyang sekali gus, lebih baik gunakan fungsi kipas di ketuhar. Jika ketuhar tidak ada fungsi kipas, tukar posisi loyang itu sesudah 10 minit dibakar - yang di atas ditukarkan ke bawah dan yang bawah dinaikkan ke atas dan sebagainya.



11) Jangan tinggalkan biskut di atas loyang terlalu lama sesudah keluarkan dari ketuhar. Biarkan ia di atas loyang itu selama 3-5 minit sahaja dan kemudian pindahkan ke atas 'cooling rack'. Setiap biskut akan ada wapnya (condensation) bila sudah dibakar dan apabila diletakkan di atas 'cooling rack', wap itu akan kering. Itu yang membuat biskut itu lebih garing dan tahan lama.



12) Pastikan biskut benar benar sejuk sebelum dimasukkan ke botol.



13) Untuk biskut yang mengandungi 'peanut butter', lebih baik jika ianya disimpan di peti sejuk kerana 'peanut butter' itu mungkin akan membuat biskut menjadi cepat tengik.



TIP BUAT KEK



1) Selalu gunakan telur yang agak besar supaya kek itu lebih gebu dan lembut.



2) Gunakan mentega yang agak sejuk sedikit juga supaya ianya tidak cepat cair bila dipukul.



3) Jangan pukul mentega terlalu lama. Selalunya mentega dipukul selama antara lima dengan tujuh minit sahaja.



4) Apabila sudah dicampurkan dengan tepung, jangan dipukul adunan terlalu lama. Jika tidak kek itu akan menjadi keras dan bantat.



5) Jika membuat kek 'marble', bahagian putihnya harus lebih supaya mendapat desain yang lebih cantik.



6) Kek yang mengandungi terlalu banyak buah-buahan atau mentega tidak boleh dihentak sebelum dibakar. Tetapi untuk kek ringan seperti kek gulung, kek 'sponge', harus dihentak sebelum dibakar.



7) Jika kek terlalu gelap apabila baru sahaja dibakar, jangan turunkan kepanasan ketuhar, sebaliknya tutup kek itu dengan 'baking paper' 15 minit sebelum tamat masa pembakaran supaya ia tidak terlalu gelap. Jangan gunakan 'aluminium foil' untuk tutup kek itu sebab ia akan menggelapkan lagi kek tersebut.



8) Jika membuat kek lapis, lapisan atasnya pula boleh ditutup dengan 'aluminium foil' dan dibakar selama lima minit untuk memastikan ia masak dengan rata. Untuk membakar kek lapis, lapisan pertama dibakar dengan menggunakan fungsi api atas bawah di ketuhar.



Sesudah itu semua lapisan yang lainnya harus di bakar dengan fungsi 'grill' sehinggalah lapisan terakhir. Jangan gunakan fungsi 'top heat' kerana suhu berbeza dengan fungsi 'grill'. 'Top Heat' boleh mengeringkan kek lapis itu.



9) Kesemua kek harus dibakar pada suhu 180 darjah dengan menggunakan fungsi api atas bawah melainkan kek gulung dan kek tapak kuda.



Kek gulung dan kek tapak kuda, lebih baik jika menggunakan kepanasan 200 darjah dan di bakar 10-15 minit sahaja.



10) Gunakan telur pada suhu bilik untuk kesemua kek kecuali kek yang ada menggunakan bahan pemantap 'ovalett'. Jika resipi itu ada menggunakan 'ovalett', kita harus gunakan telur yang sejuk supaya mendapat hasil yang terbaik.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >