Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Celine Dion pukau ribuan di konsert S'pura

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Celine Dion pukau ribuan di konsert S'pura

Jul 05, 2018 | 05:30 AM



PENANTIAN sememangnya suatu penyeksaan.



Ramai akur dengan kata-kata itu, apatah lagi bagi peminat yang resah menanti bintang pujaan bertaraf antarabangsa sehebat Celine Dion singgah ke Kota Singa.



Namun, seksa penantian itu terasa berbaloi bagi ribuan peminat di sini apabila Ratu Runut Bunyi Filem Hollywood itu tampil di Pusat Persidangan dan Ekspo Marina Bay Sands kelmarin dan semalam bagi persembahan gilang-gemilang.



Konsert sulung di Singapura itu sebahagian konsert jelajah Celine Dion Live 2018 Tour di tujuh kota rantau Asia-Pasifik.



Konsert itu dibawakan secara bersama oleh penerbit konsert AEG Presents dan lokasi konsert Marina Bay Sands.



Acara itu juga sebahagian siri konsert Sands Live, yang sebelum ini menampilkan kumpulan The Rolling Stones, legenda Hongkong Aaron Kwok dan penyanyi kacukan Italy-Canada Michael Buble.



Sebagaimana kata penonton Cik Salimah Mohd Amin, 50 tahun, seorang pengurus pemasaran, yang datang bersama teman sekerja:



"Apabila penyanyi kegemaran saya datang ke sini, bak pucuk dicita ulam mendatang. Tak rugi beli tiket $400 sebab satu-persatu lagu 'hit' disampaikan dengan penuh bertenaga."



Pada usia 50 tahun, Dion memukau pandangan dan pendengaran ramai sejurus memasuki ruang pentas lalu menyanyikan lagu asal Jennifer Rush The Power of Love.



Mutu suaranya begitu jelas bak dalam cakera padat. Jenaka selambanya mencuit hati. Semangat kentalnya pencetus inspirasi.



"Saya sendiri tidak tahu mengapa saya ambil masa begitu lama untuk sampai ke Singapura. Tapi saya memberi jaminan anda akan terhibur malam ini.



"Saya suka berceloteh tanpa henti sebagaimana saya suka menyanyi tetapi saya akan hadkan sembang santai. Kasihan dengan teman pemuzik saya yang lebih teruja membuat persembahan buat anda," ujarnya.



Dion, bintang kelahiran Charlemagne, Quebec, Canada, bermula sebagai penyanyi remaja yang mendendangkan lagu Perancis.



Pengiktirafan antarabangsa diraih pada 1980-an selepas memenangi dua peraduan sedunia Pesta Lagu Popular Sedunia Yamaha 1982 dan Peraduan Lagu Eurovision 1988.



Satu demi satu lagu runut bunyi filem didendangkan membuat ramai berbunga-bunga cinta dengan kenangan lalu membesar dengan muziknya yang menyentuh jiwa.



Because You Loved Me, lagu daripada filem tentang kewartawanan Up Close and Personal, didendangkan penuh penjiwaan dan penghargaan terhadap insan yang sentiasa menjadi tulang belakangnya.



Beauty and the Beast daripada filem animasi Beauty and the Beast pula berkumandang dengan suasana pentas bertukar romantis dek lampu hiasan tergantung yang indah dipandang mata.



Dion turut menyanyikan lagu terkininya Ashes daripada filem adiwira Deadpool 2.



Masa yang berlalu begitu pantas selama dua jam tidak disedari.



Tumpuan ramai bukan sahaja padanya, malah pada pemuzik seperti penggesek biola yang menguasai pentas dalam lagu To Love You More.



Keistimewaan ibu tiga anak itu bukan sahaja terletak pada kewibawaannya di pentas, bahkan caranya memberi dorongan kepada wanita lain yang kematian suami atau melalui badai rumah tangga.



Suami Dion, mendiang René Angélil, meninggal dunia akibat barah.



Dalam dihimpit emosi mengenang cinta hati yang pergi dua tahun lalu, Dion, yang membawa ke mana-mana tiga anaknya, berkata beliau terharu mempunyai rangkaian kenalan seperti penyanyi Pink yang memberinya kekuatan.



Pink mencipta lagu Recovering buatnya supaya cekal beralih ke fasa selanjutnya.



Pada saat ramai masih enggan pulang dan ingin terus dibuai suara lunak Dion, tirai konsert dilabuhkan dengan lagu ikonik My Heart Will Go On daripada filem epik Titanic.



Pastinya, kenangan tentang keindahan setiap lagu bintang antarabangsa dengan berbilang kemenangan di Anugerah Grammy itu akan berlarutan, mendodoi ramai agar tidur nyenyak sepulangnya ke rumah dan mimpi indah-indah belaka.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >