Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Cuba bola sepak 'berjalan'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Cuba bola sepak 'berjalan'

Feb 02, 2019 | 05:30 AM



PAKAR fisiologi senaman dan pemakanan Dee Dee Mahmood bersama cef setempat Amri Abdul Azim akan menganjurkan Pertandingan Selebriti Bola Sepak Berjalan Demi Kesihatan pada Ahad 10 Februari ini di Arena@Our Tampines Hub (OTH).



Acara itu bertujuan menyuntik kesedaran dalam diri anggota masyarakat Melayu/Islam tentang peri pentingnya bersenam dan makanan sihat.



Sehubungan itu, Cik Dee Dee melakar sukan yang boleh dimanfaatkan setiap warga di sini.



Sukan itu boleh dilakukan sesiapa tidak kira usia, jantina, dan tahap kesihatan - daripada mereka yang sihat kepada mereka yang berusia dan berpenyakit.



Dinamakan 'Walking Football' atau bola sepak sambil berjalan, usaha tersebut hasil kajian yang dimulakan pada 2017 di bawah naungan Universiti Edith Cowan Australia dan disokong Akademi Sukan Antarabangsa (ISA).



Sukan tersebut menggabungkan aspek permainan bola sepak dengan program pengurusan kesihatan yang berstruktur.



Menurut Cik Dee Dee, yang juga pensyarah kanan adjung Universiti Edith Cowan Australia, sebelum memperkenal sukan itu kepada umum, beliau sendiri telah melakukan pelbagai ujian terhadap peserta.



Antaranya, beliau menggunakan peralatan yang digunakan pada tubuh bagi mencatat penanda aras.



Katanya, dapatan memberangsangkan.



Peserta yang dikaji rata-rata berjaya meraih kecergasan kardiovaskular (CV), yang diukur melalui peratusan kadar denyut jantung, lebih tinggi berbanding kadar yang biasa disyorkan.



Kadar yang disyorkan bagi mempertingkat CV ialah 65 peratus, namun bagi peserta yang dikaji, CV mereka ialah 77 peratus atau lebih, justeru lebih baik daripada kadar yang disyorkan.



"Kita semua tahu masyarakat secara amnya amat liat mahu bersenam dan menjaga kecergasan diri dan pemakanan.



"Bagi masyarakat Melayu kita pula, mereka lebih gemar bersosial dan meluangkan masa bersama sanak-saudara dan rakan, serta mempererat silaturahim.



"Oleh sebab itu, Dee rasa sukan bola sepak berjalan ini amat sesuai bagi mereka yang suka bersama dengan sanak-saudara dan ingin bersenam bersama orang yang mereka kenali.



"Sukan ini sesuai bagi sesiapa sahaja dan mempunyai faktor pergerakan yang baik bagi otot dan kecergasan kardiovaskular.



"Inisiatif ini Dee Dee lakar kerana keluarga Dee sendiri mempunyai sejarah penyakit kronik seperti strok, barah dan serangan jantung.



"Dee Dee harap senaman ini dapat membantu mereka yang ingin memulakan senaman atau sesiapa sahaja yang mahu meningkatkan kualiti kehidupan dan kecergasan.



"Senaman ini juga terbukti boleh menurunkan berat badan, jika diamalkan dengan pemakanan seimbang.



"Itulah yang Dee inginkan buat peserta sukan ini agar kita dapat menghindari penyakit kronik," ujarnya.



Menurutnya, pasukan bola sepak berjalan itu kini mempunyai lebih 100 peserta; malah, menyertai perlawanan persahabatan di Perth, Australia dan Seremban, Malaysia baru-baru ini.



Jalan dua jam tanpa henti



Antara selebriti yang akan mengambil bahagian dalan acara ialah Cef Amri dan seniman tempatan Moliano Rasmadi.



Cef Amri, 41 tahun, pernah mengalami serangan angin ahmar serta barah tiroid tahap empat.



Beliau juga mengalami kemurungan teruk selama enam bulan, namun itu tidak pernah mematahkan semangatnya.



Beliau terus bangkit dan kini menjadikan senaman dan kecergasan sebahagian rutin kehidupannya.



Selain menjaga pemakanan, Cef Amri bersenam hingga empat kali seminggu dengan berjalan kaki perlahan-lahan selama dua jam di persekitaran estet perumahannya.



Aktiviti sihat itu diamalkannya sejak setahun lalu.



Menurutnya, sejak menjalani pembedahan bagi barah tiroid, beliau berazam ingin menjalani kehidupan yang lebih bermutu.



Cef Amri berkata beliau pun diserang Palsi Bell pada 2016, yang menjejas saraf wajah dan menyebabkan otot lemah. Mukanya menjadi senget pada satu bahagian.



"Sebelum jatuh sakit, saya memang tidak pernah fikirkan tentang kesihatan. Semuanya hanya kerja, kerja dan kerja.



"Kini, saya akur bahawa kesihatan perkara terpenting dalam kehidupan. Saya pernah kemurungan dan tidak keluar rumah hingga enam bulan!



"Atas sokongan keluarga, terutama ibu saya Sutinah Amat, saya secara perlahan-lahan bangkit dan mengamalkan gaya hidup lebih sihat.



"Saya reda, namun saya yakin seseorang tidak akan dapat menjalankan kerja harian dengan tenang tanpa kesihatan yang baik.



"Justeru, saya amat bersetuju dengan menyokong inisiatif kesihatan seperti Walking Football 4 Health ini," ujar pemilik restoran Steak Me itu.



Amalkan puasa, kerap senam di gimnasium



Seniman berbakat Moliano mengakui pernah menjalani kehidupan kurang sihat dan dikelililingi asap rokok.



Namun, kehidupannya kini sudah berubah dan menjadi lebih bermakna.



Moliano, 60 tahun, menjalani kehidupan lebih cergas.



Misalnya, beliau gemar bermain bola sepak dan pergi ke gimnasium setiap minggu.



Beliau juga sudah berhenti merokok dan hanya makan sehari pada waktu malam.



Beliau pun banyak minum air putih demi menjaga kesihatan.



"Sekitar 1980- dan 1990-an, kehidupan saya memang tidak sihat. Ini juga hampir menyebabkan saya maut kerana paru-paru saya pernah tidak perfungsi dengan baik.



"Kini, sudah lebih 20 tahun saya berhenti merokok dan memulakan rutin senaman dan menjalani kehidupan lebih sihat serta menjaga pemakanan.



"Senaman bagi saya memang penting, lebih-lebih lagi bagi mereka yang seusia saya.



"Bagi saya, bersukan atau mengamalkan aktiviti sihat amalan terbaik buat diri kita sendiri," ujarnya, yang juga presiden perkumpulan seni Malay Youth Performing Art (MyPart).




MAKLUMAT LANJUT 



Bagi anda yang berminat mencuba 'Walking Football', datang terus ke Arena@OTH pada 10 Februari ini, dari 9 pagi hingga 1 tengah hari. Masuk percuma.



Layari laman Facebook 'WalkingFootball4Health' untuk mendapatkan perincian lanjut.



Acara kesihatan itu antara lain disokong Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (Perkamus) dan restoran Steak Me.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >