Daki Gunung Fuji untuk amal

MENYOKONG kanak-kanak yang mengalami tekanan emosi dan fizikal di Singapura dan Britain.

Caranya: Mendaki gunung.

Itulah yang akan dilakukan dua kanak-kanak berusia sembilan tahun bersama beberapa pendaki dewasa.

Zoe Panayiotou, sembilan tahun, dan Anya Birch, lapan tahun, dua peserta termuda dalam projek pendakian amal Sole to Soul #climbfuji.

Rakan sedarjah di Sekolah Tanglin Trust itu akan mendaki Gunung Fuji di Jepun dari 7 Julai hingga 11 Julai.

Sasaran mereka ialah mengumpul £3,000 ($5,261) yang akan disalur kepada beberapa pertubuhan, seperti Persatuan Kanak-Kanak Singapura, Bullies Out UK dan Children with Cancer UK.

Sejauh ini £1,900 telah dikumpul bagi tujuan tersebut, kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan TrekkersAsia, Cik Hazleen Panayiotou, 45 tahun, yang menganjurkan pendakian tersebut.

Cik Hazleen ibu Zoe. Beliau anak Melayu kelahiran Singapura yang berkahwin dengan seorang rakyat Britain asal Cyprus.

Ibu tiga anak itu menjelaskan idea bagi pendakian tersebut tercetus memandangkan beliau sendiri pendaki yang aktif menawan gunung di beberapa negara sejak tiga tahun lalu.

"Dalam beberapa pengembaraan, saya membawa Zoe bersama. Dan semasa salah satu pengembaraan, kami berbincang tentang kemungkinan mengadakan satu projek mengumpul dana.

"Saya dan beberapa rakan lain kemudian berjumpa dan kami pun mengambil keputusan melakukan pendakian itu," kata Cik Hazleen.

Mereka kemudian mengambil keputusan menjadikan pendakian itu sebagai usaha kesedaran mengenai barah dan gejala buli dalam kalangan kanak-kanak Singapura dan Britain.

Sebelum ini, keluarga Cik Hazleen telah merantau dan menetap di banyak negara. misalnya Amiriah Arab Bersatu, Bahrain dan Britain), kerana mengikut suami yang bekerja di sebuah bank.

Cik Hazleen pernah bekerja di bank yang sama.

Kali terakhir keluarga mereka menetap di England selama lima tahun, sebelum mereka berpindah ke Singapura.

Semasa dihubungi, Zoe berkata dia dan rakannya itu telah menjalani beberapa latihan intensif, seperti mendaki Bukit Timah, selain berlari turun naik tangga sejak tiga bulan lalu.

"Saya akan terus berlatih sebagai persiapan untuk pendakian itu.

"Tak sabar rasanya. Saya harap lebih ramai lagi sedar akan isu seperti buli dan penyakit barah di kalangan kanak-kanak," kata anak kecil itu lagi.

Anya pula berkata dia sudah bersedia melakukan pendakian itu selepas menjalani banyak latihan.

Mereka akan ditemani Cik Hazleen sendiri serta ibu Anya, Cik Catherine Lobley, 40 tahun, dua pemandu pengembaraan, selain 11 pendaki dewasa lain. Matlamat mereka ialah sampai ke puncak gunung Fuji sebelum matahari terbit pada hari kedua pendakian.

Ini bermakna mereka perlu memulakan pendakian pada 2 pagi.

Mereka akan mendaki dengan lampu suluh untuk sampai ke puncak Gunung Fuji.

Dianggarkan perjalanan mereka keseluruhannya sejauh 15 kilometer - mendaki 7.5 kilometer dan menuruninya 7.5 kilometer.

Tempoh yang dijangka diambil untuk mendaki ialah sekitar tujuh jam dan empat jam bagi menuruni gunung itu.