Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Dari seni ke bola sepak... Syed Azmir kini lebih yakin diri

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dari seni ke bola sepak... Syed Azmir kini lebih yakin diri

Finalis Anugerah 2005 menyepi diri selama 10 tahun sebab kembali ke dunia bola sepak hingga jadi jurulatih bertauliah
Oct 28, 2018 | 05:30 AM



SELAMA 10 tahun beliau meninggalkan bidang nyanyian.



Syed Azmir Syed Azman meninggalkan dunia glamor seorang penyanyi ketika namanya sedang memuncak, bahkan beliau sempat mengukir nama di Kuala Lumpur selepas lima tahun menjadi finalis Anugerah 2005.



Sepanjang sedekad menyepi diri daripada perhatian media, beliau memberi tumpuan kepada bidang yang cukup diminati sebelum bergelar penyanyi iaitu bola sepak, bukan sebagai pemain, tetapi jurulatih untuk pemain junior.



Beliau melalui detik pahit manis di padang bola secara low profile, tanpa sebarang publisiti.



Kejayaannya memantapkan kerjaya sebagai jurulatih bertauliah yang sudah sering kali membawa pasukan muda bimbingannya menjuari liga-liga di peringkat nasional dan serantau, kini meletakkan nama Syed Azmir, 34 tahun, sebagai jurulatih yang disegani, bahkan kini layak membimbing pasukan nasional lebih dewasa.



TIGA TAHUN DI KUALA LUMPUR



Namun, kesemua itu dilalui dengan dugaan besar menempuh gelora badai, yang menurut Azmir, kekadang membuat beliau berasa lemas, sunyi dan berkorban perasaan yang tidak ramai mengetahuinya.



Dalam kesempatan berbual panjang dengan wartawan baru-baru ini, Azmir merungkai banyak persoalan yang selama ini menjadi tanda tanya peminatnya - daripada persoalan keputusannya meninggalkan kerjaya seni kepada bola sepak dan kisah rumah tangga.



Mungkin ramai masih ingat, Azmir pernah "berhijrah" selama tiga tahun di Malaysia setelah disunting menjadi artis rakaman Wake The Baby kepunyaan komposer Ajai dan kerjaya nyanyiannya diuruskan secara profesional oleh Allahyarham Amin Husen dari Beyond Events.



Berbanding "Anugerah Boys" lain (empat finalis Anugerah 2005) iaitu juara Hairul Anuar; Naib juara kedua Fauzie Laily dan Khairil Yusof, hanya Azmir yang mendapat peluang pengurusan di negara jiran setahun selepas pertandingan yang dilihat cukup hangat ketika itu.



Beliau bahkan memenangi anugerah Millenium Favorit di majlis Anugerah Life 2007 pada 2007.



Di sebalik perancangan besar diatur orang-orang hebat industri muzik negara jiran seperti Ajai dan pengurusnya, Allahyarham Amin, Azmir terpaksa menelan kenyataan bahawa peminat muzik negara jiran ketika itu "belum bersedia menerima artis Singapura" sepertinya.



PERNAH NYANYI DI LONDON



Di KL, beliau berjaya menghasilkan album berjudul Prosa X.



"Saya masuk Malaysia pada waktu yang salah. Masa itu, Imran Ajmain pun belum masuk KL. Aaron Aziz pun belum popular sangat di sana. Hetty Sarlene ada tetapi lebih kepada bidang lakonan.



"Mungkin ketika itu saya masih muda, baru 24 tahun, masih tidak tak tahu arah. Saya rapat dengan Ajai... setiap hari lepak dan tidur di studionya. Saya banyak belajar untuk menjadi penyanyi yang baik tetapi salahnya, saya serahkan semua urusan nyanyi kepada pihak pengurusan. Saya ikut saja.



"Pendapatan saya sebagai penyanyi sebenarnya agak baik sebab undangan banyak terutama daripada korporat. Dengan kerja keras arwah Amin, job nyanyi saya tak putus," ujar Azmir, yang sempat mengadakan persembahan di London untuk pertunjukan fesyen Tom Abang Saufi yang dianjurkan dengan sokongan badan promosi Pelancongan Malaysia.



Kematian Allahyarham Amin, juga asal Singapura, ketika itu berusia 40-an akibat barah kolon, memberi tamparan hebat kepada Azmir kerana selama tiga tahun di KL, Amin menguruskan segala pergerakan seninya.



Beliau kemudian mengambil keputusan kembali ke Singapura kerana tidak mahu sendirian di negeri orang.



Di Singapura, Azmir sempat mengembangkan bakat dalam bidang lakonan dan namanya hangat kembali menerusi siri drama Puteri Omera, Pinggiran Ramadan dan Kopi Bujang.



JURULATIH BOLA SEPAK BERTAULIAH



Namun tuntutan hidup di Singapura juga menyedarkannya bahawa beliau tidak boleh bergantung pendapatan daripada bidang seni sahaja. Apatah lagi setelah beliau berumah tangga dengan gadis pilihannya pada 2012.



Beliau mengetepikan ego dan mencuba banyak jenis pekerjaan termasuk sebagai jurujual. Tetapi akhirnya, atas dorongan keluarga dan orang-orang terapat yang mengenali bakatnya dalam bola sepak, Azmir mengambil keputusan kembali ke sukan tersebut, bukan sebagai pemain tetapi jurulatih memandangkan beliau rasa "tidak lagi mempunyai kecergasan fizikal seperti dulu sebagai pemain."



Beliau memulakan langkah dengan mengikuti kursus kelayakan sebagai jurulatih bola sepak, yang kebetulan ketika itu Liga AFC memerlukan jurulatih bagi pemain bawah 30 tahun.



Daripada jurulatih yang mempunyai lesen kelas C, beliau memperbaiki prestasinya sehingga akhirnya layak memperolehi lesen kelas A yang melayakkan beliau memimpin pasukan profesional.



Beliau juga pernah bekerja sepenuh masa dengan Kelab Bola Sepak Home United selama empat tahun. Pasukan bawah 14 tahun dan 21 tahun di bawah bimbingannya juga beberapa kali menjuarai atau menjadi finalis liga-liga tempatan.



"Sebenarnya tak mudah saya tukar kerjaya dari seni ke bola sepak. Budak-budak bola dan pihak pengurusan tengok saya... apalah mamat ni buat di sini. Selalu saya kena usik dengan panggilan 'Kopi Bujang'. Saya fikir... saya tak boleh kerja selagi pemain tak pandang saya secara serius. Sebab itu, saya kena ambil keputusan terus tinggalkan bidang nyanyian dan lakonan 100 peratus. Saya tak mahu sebarang publisiti glamor seorang artis.



"Semasa pasukan bimbingan saya menang pun, saya tak ke tengah untuk sebarang publisiti. Saya membenarkan diri saya langsung tidak dikenali kecuali untuk menjalankan tugas secara serius sebagai jurulatih," ujarnya.



KEMBALI SOLO



Bagi Azmir, kepuasan melihat pasukannya menjulang piala kemenangan lebih bermakna dan puas daripada ketika beliau menjulang piala Anugerah Planet Muzik (APM).



"Puas sebab bukan mudah untuk menjaga dan membimbing pasukan muda. Kita kena habiskan masa dengan mereka, pantau kelakuan mereka di luar padang, beri semangat bila mereka menghadapi masalah. Ia melibatkan emosi yang luar biasa untuk mempersiapkan pasukan menempuh pertandingan," kata Azmir.



Namun dalam mengharungi cabaran di padang bola, Azmir juga melalui gelombang besar hidup berumah tangga.



Akhirnya mahligai yang dibina selama lapan tahun tidak dapat dipertahankan kerana perbezaan pendirian. Beliau bercerai dengan isterinya, seorang pensyarah di institusi pengajian tinggi tahun lalu. Mereka mempunyai dua orang anak.



Kini, setelah kerjaya dalam bidang sukan bola sepak sudah mantap, Azmir mula menjenguk kembali bidang seni yang masih berbekas di hati.



Beliau sudah mula kembali membuat kemunculan di TV menerusi rancangan The Samson terbitan Suhaimi Yusof.



Beliau juga merancang untuk menghasilkan single, dengan bantuan teman baiknya, Adeeb Nahar (bekas anggota 2D).



Bahkan, paling menarik, sudah ada rancangan untuk mengadakan konsert reunion bagi "Anugerah Boys 2005".



"Usia semakin matang dan saya sudah ada kepercayaan diri tentang apa yang saya lakukan. Saya tahu apa yang boleh saya lakukan dalam bola sepak dan bagaimana saya boleh beri ruang untuk seni.



"Insya-Allah, saya akan buat comeback apabila tiba masanya nanti," kata Azmir.




"Sebenarnya tak mudah saya tukar kerjaya dari seni ke bola sepak. Budak-budak bola dan pihak pengurusan tengok saya... apalah mamat ni buat di sini. Selalu saya kena usik dengan panggilan 'Kopi Bujang'. Saya fikir... saya tak boleh kerja selagi pemain tak pandang saya secara serius. Sebab itu, saya kena ambil keputusan terus tinggalkan bidang nyanyian dan lakonan 100 peratus. Saya tak mahu sebarang publisiti glamor seorang artis. Semasa pasukan bimbingan saya menang pun, saya tak ke tengah untuk sebarang publisiti. Saya membenarkan diri saya langsung tidak dikenali kecuali untuk menjalankan tugas secara serius sebagai jurulatih.''
- Syed Azmir Syed Azman.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >