Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Datuk raih diploma aeroangkasa berpeluang ke NUS pula

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Datuk raih diploma aeroangkasa berpeluang ke NUS pula

Baginya, isu kewangan bukan jadi halangan selagi berbekalkan semangat dan tekad waja
Jul 30, 2017 | 05:30 AM



Sedang manfaat dan kepentingan melanjutkan pelajaran demi memperkasa kerjaya disedari ramai pekerja, masalah kewangan membuatkan sesetengahnya mengabaikan peluang kembali ke bilik darjah. Inilah antara dapatan satu Tinjauan Pembelajaran JobsCentral 2017. Sungguhpun begitu, bagi tiga individu berikut, usaha memburu diploma di institusi tempatan tetap diteruskan, menyedari landskap pekerjaan yang pesat berubah dalam keadaan ekonomi tidak menentu. Usia, kelulusan rendah, status kewangan dan komitmen kerja malah bukan hambatan mencapai aspirasi. HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan di halaman ini dan sebelah.



CINTA Encik Ahmad Abu Bakar terhadap inovasi terkini yang dapat memperkasa kemahiran kerjanya berputik sejak bertugas di bahagian percetakan syarikat Singapore Airlines (SIA).



Beliau sering bertanya kepada majikannya jika ada kursus kemahiran percetakan yang boleh disertai bagi meraih Sijil Teknikal Kebangsaan (NTC) daripada Institut Kejuruan Baharudin.



Apabila beralih tugas sebagai teknisyen pesawat dan bekerja selama 30 tahun di SIA Engineering Company, timbul pula keinginan meluap-luap bagi menggenggam segulung Diploma Kejuruteraan (Aeroangkasa).



Bak pucuk dicita ulam mendatang, impiannya menjadi kenyataan selepas mendapatkan butiran terkini mengenai kursus sesuai di Politeknik Temasek (TP).



Dengan memanfaatkan wang simpanan dan dana Program Bantuan Latihan Kesatuan (Utap), Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ahmad melalui kursus diploma sambilan selama dua tahun setengah.



Kelulusannya memang tidak cukup bagi melayakkannya ke kursus diploma itu, tetapi TP membuat penilaian berdasarkan pengalaman kerjanya yang luas serta kebolehannya.



Mei lalu, datuk berusia 57 tahun itu mencapai cita-cita yang sekian lama membara. Kelulusan cemerlang malah membuka ruang buatnya meneruskan pengajian ijazah dalam kejuruteraan mekanikal di Universiti Nasional Singapura (NUS) bulan depan.



Beliau perlu melalui program jalinan TP-NUS selama enam bulan terlebih dahulu sebagai persiapan ke NUS.



Sayangnya, bapa tiga anak antara usia 21 tahun dengan 29 tahun itu terpaksa menunda pengajian tersebut kerana pembedahan gantian lutut yang perlu dijalani.



Beliau terjatuh sewaktu hujan dalam perjalanan pulang dari tempat bertugas hingga kecederaan itu mengeringkan cecair tulang lututnya.



Sewaktu ditemui Gah! di TP Rabu lalu, Encik Ahmad yang sudah dinaikkan pangkat sebagai teknisyen kanan berkata:



"Cita-cita sambung belajar memang lama tertanam di hati. Dulu tidak berkesempatan kerana masalah kewangan, komitmen kerja dan amanah menyekolahkan anak-anak.



"Pada usia senja, saya tertanya- tanya, 'Bolehkah otak karat ni terima ilmu lagi?' Lagipun, saya hanya ada dua kelulusan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' dalam Bahasa Melayu dan Seni Lukis.



"Terdayakah saya ambil kursus diploma yang memerlukan pemahaman lebih mendalam dan penguasaan bahasa dan teknikal yang baik?" katanya.



Membahagikan masa antara kerja syif, keluarga dan amanah menjaga cucu bukan mudah.



"Namun, saya fikirkan tentang masa depan dan daya tahan saya sebagai teknisyen pesawat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.



"Walaupun usia sudah semakin lanjut, saya tetap memerlukan ilmu tambahan tentang enjin terkini dan badan pesawat baru yang tidak lagi diperbuat daripada besi tetapi komposit (pelbagai komponen).



"Saya tidak mampu ketinggalan malah perlu tahu tentang isu keselamatan terkini pesawat. Mentelah pula, dunia penerbangan pesat berubah," katanya.



Beliau juga berharap usaha gigihnya mempertingkat kemahiran akan mendorong tiga anaknya agar menyenangi dan menghargai pembelajaran sepanjang hayat.



"Anak sulung saya miliki Diploma Sains Sukan tetapi kini bekerja dalam industri makanan dan minuman (F&B). Saya turut menggalakkannya agar menimba ilmu lanjutan dalam bidang F&B atau memanfaatkan potensi ilmu sains sukannya di luar negara," kongsinya.



Di akhirnya, beliau bersyukur dapat menjadi teladan buat rakan teknisyen di SIA Engineering yang rata-rata jauh lebih muda daripadanya.



"Alhamdulillah, selepas saya buktikan usia bukan halangan memburu diploma, sekitar 30 rakan lain beranikan diri ambil kursus yang sama.



"Mereka kini kata, 'Kalau Ahmad boleh, mesti yang lain pun boleh!" katanya sambil tertawa.



Menurut Encik Ahmad, perihal kewangan dan kos pengajian yang melambung tinggi tidak seharusnya menjadi halangan memburu ilmu.



"Ada banyak skim bantuan kewangan tawaran syarikat atau kesatuan yang boleh dimanfaatkan bagi meringankan beban kewangan.



"Kita hanya perlukan semangat berusaha, tidak mudah putus asa dan rajin bertanya," tambahnya.




"Membahagikan masa antara kerja syif, keluarga dan amanah menjaga cucu bukan mudah. Namun, saya fikirkan tentang masa depan dan daya tahan saya sebagai teknisyen pesawat dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Walaupun usia sudah semakin lanjut, saya tetap memerlukan ilmu tambahan tentang enjin terkini dan badan pesawat baru yang tidak lagi diperbuat daripada besi tetapi komposit (pelbagai komponen)."
- Encik Ahmad Abu Bakar.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >