Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Dayang anggap ibu teman mengadu, 'membawang'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Dayang anggap ibu teman mengadu, 'membawang'

Oct 28, 2018 | 05:30 AM



Peringkat separuh akhir pertandingan Muzik-Muzik ke-33 menampilkan karya bermutu daripada bakat mapan ataupun baru. Seperti tahun lalu, dua nama yang bertakhta dalam medan pertandingan anjuran stesen televisyen TV3 ini ialah 'orang lama' Dayang Nurfaizah dan anak muda Haqiem Rusli. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan perkembangan terkini mereka.



SEMINGGU dua yang lalu, wajah penghibur Malaysia dengan vokal bak buluh perindu, Dayang Nurfaizah Awang Dowty, kerap kelihatan di beberapa acara kemasyarakatan Singapura.



Bermula dengan acara amal President's Star Charity 2018 di Teater MES, beliau kemudian muncul pula dalam acara Anugerah Ibu Teladan 2018 di Hotel Mandarin Orchard.



Dayang, 37 tahun, turut tampil sebagai penyanyi undangan pada acara Lembaga Pelancongan Sarawak di Hotel The Westin Singapore.



Acara-acara sebegini yang di luar kebiasaan persembahan konsert atau konsert mini yang dijayakannya memberi pelantun lagu Di Pintu Syurga itu kesempatan mendekati lebih ramai peminatnya di Singapura.



TEMUI LEBIH RAMAI PEMINAT SINGAPURA



Sebagaimana kongsinya yang ditemui Gah! di Hotel Mandarin Orchard:



"Setiap kali diundang ke Singapura bagi acara kemasyarakatan seperti ini, saya amat alu-alukan peluang bertemu dengan penonton yang berbeza pula.



"Maklumlah, jarang ada kesempatan terbang ke Singapura dan menyanyi dalam acara kemasyarakatan. Sedikit sebanyak saya boleh melepaskan rindu. Tak semua orang Singapura yang dapat saya temui sewaktu konsert pada 1 Januari lalu.



"Alhamdulillah, konsert di Esplanade awal tahun ini adalah sesuatu yang dinanti-nantikan peminat setelah sekian lama. Dayang sendiri ambil peluang berborak dengan mereka agar suasana tidak tegang. Kalau diam sahaja, kita pula yang stres di atas pentas!"



Dayang dibawa ke Anugerah Ibu Teladan anjuran Jamiyah minggu lalu oleh syarikat pengurusan artis, Impact Music & Entertainment.



MAK TEMAN MENGADU DAN 'MEMBAWANG'



Baginya, acara yang mengiktiraf jasa dan jerih payah kaum ibu mengenangkannya kepada ibunya sendiri, Nona Nahrawi, 67 tahun, yang dipanggil 'mak'.



Dayang yang bermula sebagai juara beberapa pertandingan menyanyi buat remaja termasuk Bintang Asli Remaja 1996, Bintang Remaja Sarawak 1997 dan Golden Teen Search bahkan akur ibunya adalah 'teman membawang' (bergosip) paling akrab dengannya.



"Kami sama-sama 'geng gosip'! Walau dalam sesetengah hal, ada yang pesan kepada Dayang jangan beritahu mak, pastinya Dayang sendiri nak kongsi dengannya.



"Dulu, kami tinggal berjauhan. Mak dan ayah di Sarawak, Dayang di Kuala Lumpur. Selepas ayah pencen, Dayang ajak mereka tinggal bersama di Kuala Lumpur. Sekurang-kurangnya kami saling menemani.



"Dayang lebih rapat dengan mak. Dengan ayah, kami rapat juga. Bezanya, ayah ni teman bergaduh-gaduh sayang! Mesti ada sahaja yang kami anak-beranak kecohkan.



"Biasanya, Dayang susah nak luahkan rasa sayang secara lisan kepada mak. Mak pun sama. Kita tahu sama tahu. Cuma apa yang buatkan Dayang terkesan dan tahu betapa sayangnya mak kepada kami empat beradik adalah apabila suatu hari, mak menonton filem perang zaman Jepun.



"Tahu-tahu beliau berkata, 'Kalau engkau empat orang lahir zaman Jepun dengan banyak kesusahannya, mak akan 'masukkan semua anak mak dalam perut balik'!' Sampai begitulah kasih mak pada kami," cerita Dayang lagi.



Baik ibu mahupun bapanya, Awang Dowty Awang Fauzi, 70 tahun, tidak pernah melarang minatnya dalam bidang seni suara.



"Mereka tidak pernah kata tidak boleh sebab mereka tahu menyanyi adalah minat Dayang.



"Namun, apa yang buat Dayang terharu adalah jaminan kata-kata mereka pada awal Dayang menyanyi di Kuala Lumpur.



"Mereka kata, 'Tak apa... kalau tak berjaya dalam bidang nyanyian dan tak mampu lagi mengharungi badai dunia hiburan, baliklah ke Sarawak. Sebab ayah dan mak akan sentiasa ada buat Dayang.



"Kata-kata itulah yang meneguhkan semangat Dayang dalam setiap langkah yang diambil," tambahnya.



Ditanya tentang tiga kegiatan yang akan dilakukan bersama ibunya, Dayang tertawa seraya berkata:



"Kami suka tengok-tengok barang di kedai. Seronoknya apabila dapat mak yang suka apa sahaja barangan yang Dayang beli buatnya.



"Mak pun memang minat membaca novel. Dayang tak berapa minat tetapi rajin belikan mak novel terbaru yang ingin dibacanya pada waktu lapang.



"Detik-detik di dapur bersama mak pun amat Dayang hargai. Mak memang tak suka memasak. Jadi, apabila Dayang masak, mak biasanya akan mengarahkan apa yang perlu dibuat dengan bahan-bahan masakan ini. Tempoh 'kelentang kelentung' di dapur bersama itulah yang manis buat Dayang."



KAGUMI 'BUDAK BARU NAK UP'



Dalam pada itu, nama beliau, yang turut digelar 'Ratu Runut Bunyi Drama dan Filem', memang sinonim dengan pertandingan MuzikMuzik anjuran stesen televisyen TV3.



Tahun ini, Dayang yang pernah membolot Anugerah Vokal Terbaik, Anugerah Juara Lagu (AJL) selama tiga tahun berturut-turut, berjaya ke peringkat separuh akhir peraduan bulan depan menerusi lagu Layarlah Kembali dan Haram (berduet bersama Hael Husaini).



Beliau menyifatkan Hael sebagai anak muda yang berbakat dalam bidang gubahan lagu 'catchy' yang memikat hati.



"Dayang mulanya macam terkejut apabila Hael tawarkan lagu duet Haram. Dayang tanya, 'Apa yang haram?' Hael jelaskan, baru faham. Memang beliau orang yang senang diajak bekerjasama dan tidak lokek ilmu.



Katanya:



"Budak-budak 'baru nak up' (BBNU) memang kreatif dan memberi warna pada industri hiburan kita. Cuma pesan saya, usahlah terlalu ghairah dan tahu apa niat kita tatkala sertai bidang seni.



"Dayang anggap mereka golongan yang berani mencuba di luar zon selesa. Mereka tahu apa yang mereka inginkan dalam kerjaya atau lagu yang ingin dijadikan identiti diri. Keyakinan diri mereka buatkan Dayang tertanya-tanya kadangkala, mengapa Dayang tak seberani mereka dalam menampilkan sesetengah bentuk persembahan atau konsep lagu?"




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >