Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Demi masa, hargai masa

Khutbah Jumaat Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang dibaca di masjid-masjid Singapura minggu lalu menyentuh tentang memanfaatkan nikmat masa. Berikut teks penuh khutbah tersebut.
Dec 31, 2019 | 05:30 AM



UMAT Islam diingatkan agar bertakwa kepada Allah swt dengan sebenar-benar takwa.



Laksanakan segala perintah Allah dan tinggalkan segala larangannya.



Marilah kita berusaha menjadi Mukmin yang menerapkan gaya hidup Islam dalam kehidupan kita. Kita ikuti nasihat dan panduan daripada Allah swt dan Rasulullah saw.



MENJAGA MASA



Antara panduan daripada Allah swt bagi kita terapkan dalam kehidupan kita ialah menjaga masa. Sesungguhnya masa adalah sesuatu anugerah Allah swt yang berterusan untuk semua makhluk-Nya, tidak kira jenis, bangsa dan agama.



Semua makhluk dianugerahkan dengan nikmat masa. Apabila seorang hamba memanfaatkan masanya, Allah swt menjanjikan ganjaran buatnya dan begitu juga sebaliknya. Firman Allah swt dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud:



"Wahai anak Adam! Lapangkanlah untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku penuhi hatimu dengan rasa cukup dan Aku penuhi kekuranganmu. Dan jika kamu tidak lakukan, nescaya Aku penuhi tanganmu dengan kesibukan dan tidak Aku penuhi kekuranganmu." (Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibn Majah dan Imam Ahmad)



Hadis ini memberi pengajaran kepada kita akan janji Allah swt kepada hamba-hamba-Nya yang memanfaatkan masanya.



Memang penting baginya memanfaatkan nikmat masa itu bagi semua amalan yang diredai-Nya.



Namun, sekiranya kita mensesiakan anugerah masa ini, kita akan disibukkan dengan urusan kita, sehinggakan kita tidak akan pernah berasa cukup dengan masa yang ada.



Alangkah ruginya! Alangkah malangnya!



Apabila seseorang itu berdiri di hadapan Allah swt pada hari akhirat kelak, tiada bersamanya sebarang bekalan melainkan pahala yang sedikit dan dosa yang menggunung.



Persoalannya sekarang adalah bagaimana kita dapat mengelakkan perkara sedemikian berlaku? Bagaimana kita dapat memanfaatkan masa kita yang terhad di dunia ini agar kita beruntung pada masa akhirat nanti?



Jawapannya sudah tentu kita perlu memanfaatkan masa kita di dunia dengan sebaik mungkin. Seperti firman Allah swt dalam Surah Al-'Asr, ayat 1-3, yang bermaksud:



"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Melainkan orang yang beriman dan beramal soleh, serta berpesan-pesan kepada kebenaran dan kesabaran."



Surah yang sangat ringkas, tetapi sangat padat dengan panduan dan sangat luas dengan makna. Padanya terkandung empat pengajaran utama yang perlu kita beri perhatian agar kita tidak menjadi orang yang rugi di dunia dan akhirat.



IMAN YANG JITU



Yang pertama: Kita perlu menerapkan dalam diri kita keimanan yang jitu. Apakah itu keimanan yang jitu? Ia beriman sepenuhnya dengan qada dan qadar Allah swt. Kita tidak tahu apakah qada dan qadar Allah. Ia rahsia Allah swt.



Maka kita perlu berusaha sepenuhnya dan tidak bermalas-malasan dalam kehidupan kita. Kita perlu merancang kehidupan kita dengan teliti, bukan dengan menghanyutkan kehidupan kita pada arus kehidupan, bak kapal yang tidak dikemudikan dengan baik. Perancangan adalah kunci kejayaan. Orang yang gagal merancang, bermakna dia merancang untuk gagal.



QADA DAN QADAR



Yang kedua: Berkaitan penerimaan. Keimanan kepada qada dan qadar juga menjadikan kita menerima keputusan yang telah ditetapkan oleh Allah swt walaupun kita merancang sebaliknya.



Kita tidak akan rasa dukacita dan putus asa atas kegagalan. Sebaliknya, kita akan menjadikan kegagalan itu pemacu kepada kejayaan. Kita belajar daripada kesilapan.



Begitu juga, kita tidak akan terlalu gembira dengan kejayaan yang Allah berikan. Sebaliknya, kita belajar apakah faktor yang mendorong kejayaan tersebut.



Inilah resepi kegemilangan dalam kehidupan dunia dan akhirat. Natijah daripada keimanan yang jitu.



AMAL SOLEH



Yang ketiga: Penumpuan kepada amal soleh. Selain memperkukuh keimanan kita, kita juga perlu memberikan tumpuan kepada amal soleh kita.



Tiada gunanya kita berjaya dalam kehidupan, dengan harta yang banyak, pangkat kedudukan yang tinggi, dihormati dan disanjungi manusia.



Tetapi apabila berdiri di hadapan Allah swt, kita berdiri dengan amalan yang sedikit, mengundang kemurkaan Allah swt, dipandang hina oleh semua manusia di Padang Mahsyar.



Oleh itu, pentingnya kita isikan masa kita dengan amal soleh. Agar kita tidak rugi pada hari akhirat nanti.



SALING NASIHAT MENASIHATI



Yang keempat: Saling menasihati. Ia merupakan antara amalan soleh yang perlu kita usahakan.



Ini yang dimaksudkan dalam Surah Al-'Asr tadi, iaitu berpesan-pesan kepada kebenaran. Pastikan nasihat dan ajakan kita kepada kebenaran dihiasai dengan penuh hikmah dan akhlak yang mulia.



Usahlah kita memaksakan sesuatu pandangan dan pemahaman kita ke atas orang lain. Sungguhpun niat kita itu untuk membimbing orang kepada jalan yang benar, tetapi sekiranya usaha kita itu dicemari dengan paksaan, ditakuti kita akan menyebabkan seseorang itu akan jauh daripada kebenaran.



Ingatlah akan sabda Nabi saw: Yang bermaksud:



"Sesungguhnya agama itu mudah, janganlah seseorang daripada kamu menyukarkan (menyulitkan urusan agama itu) melainkan kamu akan tewas." (Hadis Riwayat Imam Bukhari)



Selain itu juga, antara amal soleh yang boleh kita laksanakan adalah menasihati orang yang ditimpa musibah, sedang kecewa, atau sedang marah agar bersabar.



Setiap sesuatu yang berlaku pastinya terdapat hikmah dan pengajaran disebaliknya. Kita perlu melaluinya dengan ketenangan dalam usaha mencapai kejayaan pada masa hadapan.



Inilah empat perkara yang perlu kita berikan penumpuan dalam kehidupan ini agar kita dapat memanfaatkan masa kita sebaik yang mungkin.



PENGAJARAN



Surah Al-'Asr yang pendek tetapi mendalam maknanya itu merupakan satu surah yang kerap dibaca sahabat ra sebagai penutup bagi setiap pertemuan.



Kenapa saudaraku? Kerana surah ini mengajar kita menghargai masa dan memanfaatkan masa yang ada. Semoga dengan kita menerapkan empat pengajaran yang saya nyatakan tadi dalam kehidupan ini, kita akan dapat memanfaatkan masa kita yang singkat di dunia ini.



Semoga Allah swt tidak memasukkan kita ke dalam golongan mereka yang rugi. Masa yang dikurniakan Allah swt dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.



Dengan meninggalkan kesan dan bakti serta menyumbang budi buat kesejahteraan ramai.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >