BERULANG-ALIK dari Kuala Terengganu ke Singapura dengan menunggang skuter sudah menjadi perkara biasa buat penyanyi Pop Yeh-Yeh Adnan Othman di awal penglibatannya dalam industri muzik.
Beliau yang awalnya lebih terpengaruh pada lagu Inggeris dendangan Elvis Presley, The Beatles dan Cliff Richard mula tertarik pada muzik Melayu genre Pop Yeh-Yeh setelah mendengar lagu popular M. Osman, Suzana di corong radio.
Adnan, kini 74 tahun, ingin mencipta kelainan dan menjana lagu yang dapat membezakannya daripada ikon Pop Yeh-Yeh yang popular pada waktu itu, Jeffrydin dan A. Ramlie.
Corak muzik ala Barat diterapkan dalam beberapa lagunya. Antara yang popular termasuk Bersyukur, Berlenggang dan Jangan Bersedih.
Namun, sebagai artis yang menghargai band pengiringnya, Adnan amat bertuah dirinya dipadankan dengan kugiran Singapura, The Rythmn Boys.
Beliau yang kini menetap di Kuala Lumpur ditemui Gah! sewaktu sesi latihan persembahan di Esplanade, Oh Fatimah - The Rythmn Boys Celebration, yang berlangsung di Studio TAMG di Yu Li Industrial Building, baru-baru ini.
Adnan yang masih menggayakan rambut 'groovy' persis penyanyi Inggeris, Engelbert Humperdinck, berkata:
"Saya sudah lama tidak ketemu The Rythmn Boys yang menjadi kugiran pengiring sewaktu rakaman album. Terubat rindu dapat buat persembahan dengan mereka di Esplanade.
"Kebetulan pada lewat tahun 1960-an, A. Ramlie sudah keluar daripada kumpulan itu. Mereka memerlukan penyanyi yang boleh ditampilkan bersama mereka. Kebetulan, band asal yang sepatutnya bersama saya tak jadi nak 'jamming' bersama. Saya terharu diberi kesempatan merakam lagu bersama The Rythmn Boys yang ikonik. Memandangkan terdapat tiga beradik dalam kugiran tersebut, saya sering berlatih di rumah mereka.
"Salah seorang anggota The Rythmn Boys, arwah M Ayob Taib memang 'genius' dan cepat tangkap apa jua irama yang baru diperkenalkan kepadanya. Ia memudahkan sesi rakaman.
"Saya pula ulang-alik dari Kuala Terengganu ke Singapura dengan skuter setiap minggu. Mujurlah ada saudara-mara yang tinggal di kawasan Stesen Kereta Api di Tanjong Pagar pada waktu itu. Bolehlah saya tinggal di rumah mereka daripada berhabisan wang menetap di hotel! Tak mampu."
Kenangan suka duka menghiburkan peminat yang disifatkan sebagai 'menggila' dan rajin menghantar surat kepadanya masih terpahat di ingatan.
"Adalah juga beberapa lembaran surat cinta yang tidak terbalas. Pengalaman 'kena kapur' penganjur acara atau syarikat rakaman sudah menjadi perkara biasa. Saya dah puas kecewa tapi itulah lumrah dunia seni.
"Kebiasaannya, banyak lagu Pop Yeh-Yeh mempunyai nama wanita. Kalau ada yang tanya siapa Normah dalam lagu saya, itulah gadis dari Geylang Serai yang disukai dalam diam oleh penulis lirik, Ahmad Ibrahim. Malah, lagu Berlenggang juga terilham daripada Normah ini," kongsi Adnan.
Dalam pada itu, Adnan yang pernah bertugas sebagai pereka kasut jenama Bata dan mengembara ke serata dunia juga terharu lagu-lagunya menarik perhatian deejay dari Amerika Syarikat, Encik Carl Hamm.
"Kalau orang Barat ini boleh menaruh minat mendalam terhadap Pop Yeh-Yeh, saya kira ia irama yang cukup istimewa. Malah, ada yang kata, saya bertuah sebab bergiat dalam muzik 1960-an yang kekal malar segar dan kembali diminati pada alaf baru berbanding era lain selepas itu," katanya lagi.