Seorang merupakan bekas pemenang pingat Sukan SEA dalam sukan lungsur layar. Seorang lagi bekas pemain bola sepak yang pernah menyarung jersi nasional dalam banyak pertandingan antarabangsa. Selepas bersara, kededuanya menceburi bidang makanan dan minuman (F&B). Apakah yang mendorong mereka berbuat demikian? FARID HAMZAH (farid@sph.com.sg) dan FAKHRURADZI ISMAIL (mfismail@sph.com.sg) melaporkan.
SETIAP kali Juma'at Jantan menjejakkan kakinya ke dalam padang, semangat dan tenaga beliau yang bagaikan tidak luntur sering menyebabkan masalah bagi pasukan lawan.
Selama 90 minit, beliau merupakan antara pemain bola sepak yang tidak akan berhenti berlari 'turun naik' padang.
Disebabkan tenaganya yang tiada batasan, Juma'at pernah mendapat gelaran 'Crazy Horse' (Kuda Gila).
Memandangkan usianya terus meningkat, pemain bek kanan yang tampil lebih 200 kali buat kelab dan negara itu kini pantas memikirkan masa depannya selepas bersara daripada bola sepak kelak.
Seperti ramai dalam kalangan rakan rapatnya di dalam bola sepak seperti Baihakki Khaizan dan Shahril Ishak, kini Juma'at, 33 tahun, juga berjinak-jinak menceburi bidang perniagaan.
Namun, tidak seperti kededua pemain kelab Warriors itu yang mempunyai jenama fesyen dan pakaian tersendiri, Juma'at lebih cenderung kepada perniagaan makanan dan minuman (F&B).
"Memang dari dulu saya pernah ada cita-cita nak buka perniagaan keluarga secara kecil-kecilan.
"Arwah kakak saya pernah ada menjalankan gerai makan dekat kawasan Yishun sebelum saya berkahwin pada 2008, tapi disebabkan kadar sewa yang semakin meningkat, kami sekeluarga mengambil keputusan tidak meneruskannya.
"Jadi dari situ memang saya dah mula berjinak-jinak dalam bidang itu, tengok cara arwah kakak saya jalankan perniagaannya... saya tolong bakar sate," kata pemain kelab Home United itu.
Namun atas penglibatannya dalam dunia bola sepak dan masih perlu memperuntukkan masa bagi latihan dan perlawanan buat kelab dan skuad negara, Juma'at tidak dapat banyak membantu dalam perniagaan itu, hanya sekadar membantu pada waktu lapang.
"Memang keutamaan saya terletak pada kerjaya saya sebagai pemain bola sepak.
"Ia telah menjadi sumber rezeki saya buat waktu lama, jadi tumpuan saya memang lebih kepada bola sepak," katanya.
Tanpa diduga, peluang membuka sebuah gerai makan akhirnya dapat dilaksanakan setelah mendapat tender perniagaan di pusat penjaja Yishun Park yang baru dibuka tahun ini - hampir tiga tahun selepas kakaknya, Normala Jantan, meninggal dunia.
"Satu hari tu saya dapat panggilan daripada anak saudara saya, anak perempuan kepada arwah kakak, yang ajak saya mendengar penyampaian tentang sebuah tempat makan baru di Yishun.
"Tanpa berlengah kami terus mengisi borang permohonan selepas mendapat restu dan sokongan daripada ahli keluarga terdekat, termasuk isteri saya.
"Memandangkan saya suka makan nasi padang dan dulu arwah kakak pun jual nasi padang, kami ambil keputusan mahu 'menghidupkan' perniagaan itu semula," jelas bapa tiga anak yang turut menunggu kelahiran cahaya matanya yang keempat tidak lama lagi.
Tanpa pengetahuan asas tentang perniagaan, Juma'at akur bukanlah semudah seperti yang dijangkakannya.
Banyak perkara yang perlu beliau pelajari namun dengan bantuan seorang rakan rapat, mereka menubuhkan gerai makan '4 Hands Cooking'.
Gerai yang dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 10 malam itu menjual beraneka juadah pada waktu pagi, petang dan malam.
"Pagi kami jual makanan sarapan macam nasi lemak, mi rebus, lontong dan mi siam. Petang baru kami jual nasi padang.
"Baru-baru ini, kami cuba jual makanan malam macam roti john dan kuih-muih, pisang goreng dan sebagainya.
"Alhamdulillah sambutan sejak kami buka gerai ini dua bulan lalu amat baik sekali, terutama daripada rakan-rakan bola sepak," kata beliau yang sempat menjelaskan bahawa angka '4' melambangkan nombor jersi yang dipakainya.
Juma'at yang masih mempunyai kontrak setahun bersama Home United turut bersyukur kerana mendapat bantuan daripada kaum keluarga untuk menguruskan gerainya itu dan berkongsi bahawa di situlah tempat mereka sering berkumpul bersama terutama pada hujung minggu.
Impian beliau tidak berhenti di situ. Juma'at mempunyai harapan suatu hari nanti beliau mampu memiliki sebuah restoran makanan menjual nasi padang dan juadah Melayu lain.
"Memang dari dulu saya pernah ada cita-cita nak buka perniagaan keluarga secara kecil-kecilan. Arwah kakak saya pernah ada menjalankan gerai makan dekat kawasan Yishun sebelum saya berkahwin pada 2008, tapi disebabkan kadar sewa yang semakin meningkat, kami sekeluarga mengambil keputusan tidak meneruskannya."
- Juma'at Jantan.