Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Didicazli, isteri rai bayi sulung selepas lima tahun berumah tangga

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Didicazli, isteri rai bayi sulung selepas lima tahun berumah tangga

Jun 02, 2019 | 05:30 AM



HARI Raya tahun ini menjadi lebih bermakna bagi penyanyi dan penggubah lagu Didicazli Ismail dan isterinya, Nur Eliyana Norzlan dengan kehadiran bayi sulung mereka, selepas lima tahun berumah tangga.



Anak mereka, Nur Erina Daania, lahir pada 18 Januari, sudah pun berusia empat bulan.



Menurut Didicazli, 36 tahun, isterinya seorang guru berusia 27 tahun, telah melalui proses persemadian benih (IVF) tahun lalu, sebagai ikhtiar terakhir selepas melalui cara alternatif lain untuk mendapatkan anak.



"Kami dari dulu memang mahukan anak secepat mungkin. Menurut doktor kami tidak ada masalah kesihatan atau kesuburan. Macam-macam ikhtiar... tapi belum rezeki.



"Mulanya tak terfikir sangat pasal IVF. Tetapi seorang kawan saya, seorang ustaz... dia yang sarankan agar saya dan isteri mencubanya sebab dia dah lakukan dan isterinya berjaya melahirkan sepasang kembar.



"Kawan saya berkongsi dengan saya banyak panduan tentang cara-cara mendapatkan bantuan, subsidi, rujukan doktor pakar dan macam-macam lagi. Itu yang menguatkan keyakinan saya dan isteri," kongsi Didicazli, yang kini bertugas sebagai pengurus Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA).



Proses IVF, kata beliau, berjalan lancar sehingga isterinya disahkan hamil pada pertengahan tahun lalu.



"Alhamdulillah, tempoh kehamilan sangat mudah sehingga cukup tempoh. Proses bersalin pun mudah... dalam tempoh enam jam selepas masuk bilik bersalin, isteri saya selamat melahirkan anak kami," ujar penyanyi yang popular dengan lagu ciptaannya, Dambaan Cinta dan Sejujurnya.



Kos IVF yang dilalui, kata Didi adalah sekitar $20,000 tetapi beliau mendapat geran $7,500 daripada pemerintah.



Dengan kehadiran sang puteri yang menurut Didicazli mudah tersenyum, Hari Raya dirasakan bertambah bersinar.



Segala persiapan Hari Raya, keutamaan diberikan kepada anak dan isteri.



"Saya dah beli pakaian mahal-mahal lagi seperti tahun lalu yang makan ratusan dolar sepasang. Kali ini beli murah-murah... yang penting tidak mudah ronyok, selesa, bahannya selesa kerana saya perlu gendong bayi ke mana-mana. Tak apalah tak bergaya lagi kali ini, yang penting anak dan isteri," kata penyanyi bersuara romantis ini.



Melahirkan kesyukurannya dengan kehadiran si kecil, Didicazli berkata beliau berharap kisahnya akan mendorong pasangan lain yang belum dikurniakan anak agar tidak berputus asa berusaha.



"Jangan risau dan rasa tertekan. Rezeki dari Allah tetapi kita kena teruskan ikhtiar. Lebih-lebih lagi di Singapura, banyak kemudahan dan bantuan kewangan pun ada," ujarnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >