Doktor gigi miliki 24 klinik, mahu kembang sayap

BERMULA dengan hanya sebuah klinik pergigian yang diambil alihnya pada April 2011, Dr Nurul Aizat Zainudin kini mempunyai 24 klinik pergigian - semuanya di bawah Kumpulan Pergigian FDC yang diasaskannya.

Beliau tidak akan berhenti di situ.

Doktor gigi yang masih bujang itu bercita-cita mempunyai hingga 30 klinik pergigian di bawah FDC menjelang akhir tahun ini dan 30 klinik pergigian di rantau Asean menjelang akhir tahun depan.

Sesuatu yang mustahil?

"Tidak. Saya yakin pada cita-cita saya itu, bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan," ujar Dr Aizat, 32 tahun, anak sulung tiga beradik itu lagi.

Sekarang, beliau menggajikan 35 doktor gigi dan 120 kakitangan lain di bawah kumpulan klinik pergigian itu.

PELABURAN $10.4 JUTA

Sejauh ini, jumlah pelaburannya bagi semua klinik itu sekitar AS$7.5 juta ($10.4 juta).

Rata-rata klinik yang diambil alihnya berusia antara empat dengan 30 tahun. Yang terbaru ialah sebuah klinik pergigian di Bedok Central.

"Saya mengambil alih semua klinik pergigian itu menerusi satu perjanjian di mana saya mengambil alih pengurusan klinik tersebut, termasuk dalam soal pentadbiran dan operasinya.

"Sebagai pampasan, kami menawarkan yuran kepada pemilik asalnya sepanjang tiga tahun.

"Selepas tiga tahun, terpulang pada doktor gigi itu apakah ingin terus bekerja di klinik tersebut. Jika tidak, kami akan mendapatkan khidmat doktor gigi yang lain," kata Dr Aizat.

Dalam usaha meluaskan rangkaian klinik pergigiannya, beliau mendapat sokongan pelaburan daripada sebuah syarikat kewangan yang berpangkalan di London.

Syarikat tersebut juga memiliki beberapa perniagaan lain dalam bidang seperti pendidikan, penjagaan kesihatan haiwan, perfileman dan tenaga kitar semula.

Menceritakan perjalanannya itu, Dr Aizat, lulusan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) pada 2010, berkata pada awalnya beliau bekerja dengan salah sebuah agensi pemerintah bagi memenuhi ikatan bon.

"Saya rasa tidak puas. Saya rasa saya ingin terus menceburi sendiri dunia pergigian dengan lebih luas.

"Sebab itu saya sanggup melepaskan diri daripada ikatan bon itu dengan membayar balik jumlah baki bon tersebut," katanya lagi yang mendapatkan pinjaman bank lebih $150,000 untuk tujuan tersebut.

Beliau kemudian mengambil alih pengurusan sebuah klinik pergigian di Harbour Front dengan menggajikan seorang jururawat.

Di situlah bermulanya perjalanan rangkaian FDC.

Tidak berpuas hati dengan hanya sebuah klinik, Dr Aizat, yang juga bekas penuntut Maktab Rendah Anderson (AJC), kemudian mengambil keputusan meluaskan khidmatnya itu dengan mengambil alih beberapa klinik lain.

Beliau mengambil alih sebuah lagi klinik pergigian di Tanjong Pagar pada 2012 dan sehingga enam buah klinik hingga 2015.

"Pada masa yang sama, saya juga tebalkan muka untuk menarik pelaburan bagi projek peluasan perniagaan saya itu. Saya menghantar permohonan pelaburan saya hingga sejauh London," katanya.

Beliau bernasib baik.

Permintaannya itu menarik perhatian syarikat kewangan di London itu, yang kemudian berminat melabur dalam perniagaannya.

"Saya tidak akan mengambil alih klinik pergigian itu tanpa mengenal pasti kekuatan setiap klinik. Ini termasuk pangkalan data pelanggan dan lokasinya," jelas beliau, yang selesa berpakaian kemeja-T semasa tidak bekerja.

Dr Aizat juga tidak menetapkan sebarang piawaian pakaian bagi pekerjanya.

Pelanggan beliau berusia antara 20-an tahun dengan 40-an tahun.

DOKTOR ATAU PENIAGA

Timbul persoalan mengapa Dr Aizat sanggup menghabiskan masa sebagai peniaga dan kurang sebagai doktor gigi.

Beliau, yang masih mengamalkan khidmat pergigian kepada pesakit dua hari seminggu, berkata menjadi seorang peniaga memang cita-citanya sejak kecil.

Namun pada masa sama, beliau ingin memenuhi keinginan orang tuanya melihat beliau menjadi doktor.

"Sekurang-kurangnya sekarang saya dapat juga memenuhi cita-cita saya itu," kata anak pasangan pegawai polis yang sudah bersara itu.

Pada jangka panjang, Dr Aizat, yang sudah mempunyai temanita, ingin menjadi anak Melayu pertama mempunyai kumpulan klinik pergigian terbesar di Singapura dan meluaskan rangkaian kliniknya kepada bidang kesihatan lain.