Elizabeth Tan, Berita Gaya Hidup - BeritaHarian.sg
Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:10
Isyak
8:19

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Gaya Hidup0

Perkembangan ARTIS dari SEBERANG

Elizabeth Tan

Anggap diri 'selebriti tidak sengaja', kini fokus lakon, niaga
Mar 26, 2019 | 05:30 AM

WALAUPUN sudah lima tahun penyanyi dan pelakon Malaysia berbangsa Cina, Elizabeth Tan, melayari kerjaya dalam dunia hiburan Melayu, masih wujud rasa tidak percaya itulah sumber rezekinya sepenuh masa.

Dalam pertemuan Berita Harian bersamanya di Hotel Novotel Singapore Clarke Quay baru-baru ini, entah berapa kali si manis yang lebih senang dengan panggilan 'Lizzy' itu berkata:

"Aduh... Lizzy macam mimpi!

"Semuanya berlaku tiba-tiba dan di luar dugaan saya. Bagaimana saya menembusi pasaran hiburan Melayu dan dikenali hingga ke hari ini, payah nak jelaskan secara terperinci titik-tolaknya.

"Apabila ada abang, kakak dan adik Melayu nak bergambar dan mereka puji lakonan atau nyanyian Lizzy, terharu benar.

Berita Popular

"Saya tak sengaja jadi selebriti tetapi saya bersyukur kerana hari demi hari, saya lihat peluang bagi saya mencuba cabang seni baru dibuka.

"Awalnya, saya menyanyi dan ditawarkan merakam 'single'. Tahu-tahu, dapat tawaran berlakon pula. Entah bagaimana Skop Productions menilai kebolehan saya tanpa meminta saya hadiri sesi uji lakon, kena tanya Datuk Yusof Haslam.

"Beliau mempunyai keyakinan terhadap bakat saya lantas memberi saya watak dalam drama polis dan komedi cinta My Darling, Inspektor Daniel. Jadi perempuan 'gedik' yang manja pun jadilah!"

Lizzy, 25 tahun, ditemui ketika beliau berada di Singapura bagi sesi bertemu peminat filem Misteri Dilaila arahan Syafiq Yusof.

Watak yang beliau bawa ialah Dilaila, wanita misteri yang tidak diketahui kedudukannya di penghujung filem, sama ada mati atau masih hidup.

Beliau yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik pada Anugerah Planet Muzik (APM) 2015 di Singapura tidak merancang kerjaya nyanyian.

Sepulangnya daripada pengajian universiti di Dallas, Amerika Syarikat, selama dua tahun, beliau hanya mahu menghiburkan hati dengan menghasilkan lagu saduran sambil memetik ukulele.

Lagu Pencuri (lagu asal Mark Adam), Kantoi (Zee Avi) dan Terukir Di Bintang (Yuna) antara lagu yang didendangkan secara berkesan hingga menarik ramai peminat dalam kalangan pelungsur laman perkongsian video YouTube.

Namun, di musim Lebaran pada 2014, nama Lizzy mula bermain di bibir ramai di Nusantara dek klip videonya menyanyikan lagu asal Anuar dan Elina Suasana Di Hari Raya.

Hingga hari ini, video tersebut sudah ditonton sekitar 500,000 kali dalam tempoh lima tahun.

Sejak ditawarkan kontrak sebagai artis rakaman, sudah banyak lagu 'hit' dijana seperti Knock Knock,Setia (bersama Faizal Tahir), Darling, Police Entry, Semua Sudah dan Hidup Semula (runut bunyi Misteri Dilaila).

Lizzy, yang kini berganding bahu bersama wira kegemaran ramai Syafiq Kyle dalam drama Senafas Rindu, menambah:

"Antara menyanyi dengan berlakon, Lizzy sebenarnya lebih selesa berlakon sebab ia membantu Lizzy meneroka bermacam dimensi kehidupan orang lain.

"Orang tak percaya apabila Lizzy katakan diri ini sebenarnya pemalu dan mudah gementar apabila perlu menyanyi dan menari di khalayak ramai.

"Menerusi Misteri Dilaila, Lizzy belajar tentang kawalan emosi dan berpeluang menjayakan filem seram.

"Walhal, Lizzy ni penakut dan selalu elakkan tonton filem hantu. Bukan apa, takut terbayang-bayang di fikiran muka hantu sewaktu tidur!"

Beliau juga bertuah dapat belajar daripada legenda dunia lakonan Datuk Rosyam Nor tentang komitmen kerja dan penghayatan watak.

"Walau bukan babaknya, Abang Rosyam tetap perhatikan dan beri maklum balas membina. Saya tabik kesungguhannya," katanya.

Mengenai gosip yang tersebar tentang kemesraannya bersama wira Misteri Dilaila, Zul Ariffin, Lizzy tertawa besar lantas berkata:

"Memanglah Zul tu lawa tetapi setakat itu sahaja. Kami rakan artis seperjuangan sahaja."

Seperti kebanyakan selebriti di seberang Tambak, tahun ini, Lizzy juga bergelar usahawan produk haruman dan penjagaan diri berjenama Mandi.

"Lizzy tidak gunakan nama sendiri bagi produk ini kerana senang dengan penggunaan perkataan 'Mandi' yang membawa maksud membersihkan diri dan berhak bagi dihargai," katanya.


TRIVIA LIZZY

- Lahir:

18 November 1993

- Sumber inspirasi:

Yuna yang mendorong Lizzy agar mencipta lagu sendiri

- Lagu saduran pertama di YouTube:

'Pencuri', lagu asal Mark Adam, yang curi hati ramai

- Lagu pembawa rezeki: 'Havoc', lagu asal

Joe Flizzow, kenalkan dirinya kepada pengamat YouTube. 'Havoc' pula nama bekas teman lelakinya

- Wira TV idola:

Aaron Aziz. Justeru bagai mimpi apabila dipasangkan bersama pelakon asal Singapura itu dalam drama 'My Darling, Inspektor Daniel'

- Jejaka idaman:

Tinggi, tidak terlalu sasa dan berbau wangi


"Aduh... Lizzy macam mimpi! Semuanya berlaku tiba-tiba dan di luar dugaan saya. Bagaimana saya menembusi pasaran hiburan Melayu dan dikenali hingga ke hari ini, payah nak jelaskan secara terperinci titik-tolaknya. Apabila ada abang, kakak dan adik Melayu nak bergambar dan mereka puji lakonan atau nyanyian Lizzy, terharu benar. Saya tak sengaja jadi selebriti tetapi saya bersyukur kerana hari demi hari, saya lihat peluang bagi saya mencuba cabang seni baru dibuka."
- Elizabeth Tan.

Video Baru

Podcast Baru

Teka Kata

=

Uji pengetahuan anda dalam Bahasa Melayu

Betul!

Salah!

Try the new Halal Food Map