Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Empat dara raih kematangan menerusi tarian Melayu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Empat dara raih kematangan menerusi tarian Melayu

Sep 27, 2018 | 05:30 AM



Dari isu keterasingan manusia kepada perihal adat menanam uri mahupun penerapan teknologi dalam kehidupan seharian. Inilah antara isu yang dikupas dalam beberapa karya tarian yang dijayakan beberapa bakat muda dari Institut Pendidikan Teknikal (ITE). Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



MESKIPUN mereka masih lagi menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE), pengalaman terlibat dalam kumpulan tarian Melayu profesional sudah pun diraih.



Ini membuatkan Cik Nur Amalia Rosman, Cik Nur Qurratu 'Aini Md Japri dan Cik Farahizyani Asilah Hairoddin, lebih mampu memimpin teman lain yang baru berjinak-jinak dalam seni tari Melayu.



Tiga gadis manis ini bersama seorang lagi pelajar, Cik Nurul Syahindah Mohamed Sharin, adalah antara pelajar ITE yang akan menjayakan persembahan Dance Emblazon 2018, mulai 8 malam, esok dan lusa.



Acara tahunan yang diadakan buat kali keenam itu bakal berlangsung di Auditorium Pusat Persidangan Tay Eng Soon di ITE Kolej Central.



Ketika ditemui Gah! baru-baru ini, Cik Nur Qurratu 'Aini, 18 tahun, yang mengambil kursus kecantikan dan kesejahteraan di ITE Kolej Timur, berkata:



"Saya mula menari pada usia enam tahun di tadika. Ibu saya merasakan tarian Melayu akan membuatkan saya teratur dalam setiap gerak langkah. Saya 'melekat' dengan kegiatan ini kerana ia membawa saya mengenali identiti saya sebagai anak Melayu. Saya juga anggota kumpulan Azpirasi.



"Menerusi tarian, saya belajar tentang budaya dan sejarah secara tidak langsung apabila terlibat dalam persembahan yang bukan sahaja menekankan lenggok tari tetapi mempunyai kisah di sebaliknya. Bagi saya, tarian boleh dijadikan wadah menyampaikan isu sosial."



Di ITE, gadis kecil molek ini menganggotai kumpulan Andayu Seni yang pernah menerima Anugerah Kepujian bagi Kumpulan Terbaik dan jatuh tempat keempat dalam peraduan Persada Juara Tari 2018.



Bagi Dance Emblazon 2018, kumpulan ini menggunakan tudung saji sebagai prop yang menggambarkan kesederhanaan kehidupan di masa silam.



Katanya lagi: "Kami kembali kepada asal-usul tarian Melayu yang dipanggil tarian asli. Memang ia tampak mudah untuk ditarikan tetapi biasanya, sukar nak dapatkan 'jiwa' bagi tarian asli ini. Ia memerlukan fokus dan penghayatan mendalam."



Teman sekumpulan, Cik Nur Amalia, juga 18 tahun, yang mengambil kursus perkhidmatan kewangan pula menjelaskan:



"Saya tertarik pada seni tari Melayu sejak usia 12 tahun. Di luar ITE, saya menganggotai kumpulan Attrika. Namun, bagi Dance Emblazon 2018, saya terdorong melihat evolusi penggunaan tudung saji itu sendiri dari dulu sampai sekarang.



"Orang dulu tutup makanan dengan tudung saji dan juga menggunakannya bagi melindungi wajah mereka apabila berjalan di luar. Tapi ia kini digunakan sebagai prop menari."



Cik Farahizyani Asilah, 18 tahun, yang mengikuti kursus Perkhidmatan Perniagaan dan mewakili kumpulan tarian Artistari Gentari daripada ITE Kolej Barat pula aktif dalam kumpulan Sri Warisan.



"Emak lihat saya macam tak boleh diam dan kasar. Ini memandangkan saya terbiasa bermain dengan tiga abang saya. Saya seorang sahaja anak perempuan.



"Alhamdulillah sejak menyertai Sri Warisan, saya berpeluang membuat persembahan di Melbourne dan Taiwan. Saya masih lagi dalam darjah lima ketika mengembara ke Melbourne pada musim Hari Raya.



"Pastinya ia peluang keemasan buat saya saya kerana dapat melihat budaya di luar Singapura malah memperkenalkan keindahan tarian Melayu kepada orang asing di negara mereka," ceritanya.



Karya tarian bertajuk Hawa yang mengisahkan tentang pemerkasaan wanita menerusi tokoh legenda seperti Tun Fatimah, Tun Teja dan Radin Mas, menjadi sajian bagi acara esok dan lusa.



Kata seorang lagi anggota Artistari Gentari, Cik Nurul Syahindah, 18 tahun, juga pelajar Perkhidmatan Perniagaan:



"Persembahan bertajuk Hawa ini amat bermakna buat gadis seperti kami sebab ia mengisahkan tentang wirawati Melayu yang juga setangkas lelaki.



"Ia memberi orang ramai gambaran bagaimana tokoh wanita legenda ini mampu meneruskan kehidupan di kala sekitaran tradisional mereka menuntut diri mereka agar menjadi wanita yang lembut, mudah rapuh dan hanya mendengar suruhan lelaki."



Pengarah Artistik Dance Emblazon 2018, Encik Zaini Tahir, berkata:



"Konsert ini yang bertujuan memaparkan bakat tarian terbaik daripada ITE menjadi bukan sahaja ruang hiburan bagi penari dan penonton tetapi membentangkan ruang khusus yang membina jambatan antara mereka dan kerja seni yang dihasilkan. Kita mampu berkongsi kisah, emosi dan keceriaan yang cuba dipaparkan dalam setiap kerja seni."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >