JIKA anda merancang untuk melancong ke Eropah tahun depan, Madrid di Sepanyol, Biarritz di Perancis dan Cornwall di Britain, mungkin destinasi yang mesti dilawati.
Demikian antara enam destinasi utama Eropah 'mesti pergi' saranan British Airways tahun depan.
Dipilih pakar-pakar pelancongan syarikat itu, destinasi-destinasi itu antara lain mempunyai tarikan budaya, kerancakan sebuah bandar dan pantai yang indah.
Tiga lagi destinasi yang dipilih dalam enam senarai British Airways itu ialah Lisbon di Portugal, Reykjavik di Iceland dan Palermo di Itali.
"Eropah kekal destinasi popular bagi pelancong dari Singapura.
"Untuk membantu pelancong memilih ke mana mereka ingin melawat di UK dan Eropah, kami telah memilih destinasi kegemaran kami bagi 2016, semuanya mudah dikunjungi dengan menaiki British Airways melalui London Heathrow," kata Encik Robert Williams, ketua penjualan Asia Pasifik British Airways, dalam satu kenyataan.
- Madrid: Ibu kota Sepanyol dan bandar terbesar di Eropah. Ia menawarkan tarikan budaya dengan muzium-muziumnya yang bersejarah dan pusat seni Golden Triangle of Art.
- Biarritz: Hanya dua jam penerbangan dari London. Bandar persisiran pantai di Basque, Perancis, ini digelar sebagai bandar melungsur di benua Eropah.
- Cornwall: Terkenal mempunyai pantai tercantik di Britain dan mungkin juga di dunia.
- Lisbon: Ibu kota Portugal ini memiliki kededua tarikan sebuah bandar yang bergaya dan pantai yang santai.
- Reykjavik: Destinasi popular Iceland ini memiliki landskap gunung berapi, pancutan air panas, glasier, air terjun dan pantai pasir berwarna hitan menakjubkan.
- Palermo: Ibu kota Sicily ini memiliki kecantikan menawan dan kaya dengan budaya serta sejarah.