Enggan seni suara diperlekeh

Dinamisme Datuk Sheila Majid sebagai Ratu Jaz Malaysia, penghibur bertaraf antarabangsa dan ibu empat anak yang pentingkan nilai kekeluargaan jelas terpancar. Di ambang konsert ‘Sheila Majid: The Concert (Singapore)’ di Pusat Seni Pementasan The Star 3 Mac ini, Gah! mencungkil pandangannya tentang industri muzik Melayu, generasi penyanyi muda dan pengalaman membesarkan anak. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.

DALAM meniti onak duri dan mengecapi kemanisan bergelar anak seni selama lebih tiga dekad, Datuk Sheila Majid sering menghargai peluang keemasan menyampaikan lagu yang mampu 'sampai' ke hati peminat.

Baginya, sesebuah karya itu jauh lebih bermakna jika dijana dengan 'bahan cukup rasa', baik daripada segi melodi mempesona mahupun lirik menyentuh sanubari.

USAH PERLEKEH SENI SUARA SEBAGAI KEMAHIRAN KREATIF

Sheila, 53 tahun, yang terkenal dengan julukan Ratu Jaz Malaysia, menyifatkan bidang nyanyian yang menjadi periuk nasinya selama ini sebagai seni atau kraf yang tidak mampu diperlekeh.

Beliau begitu sedih apabila bidang seni suara itu kini terasa seakan-akan direndahkan martabatnya, dengan sesetengah penggiat muzik hanya menganggap nyanyian sebagai hiburan semata.

Sebagaimana kongsi Sheila ketika dihubungi Gah! menerusi panggilan jauh yang diusahakan label rakaman Universal Music Malaysia baru-baru ini:

"Sebagai karyawan muzik, saya amat menitikberatkan kerjaya seni suara sebagai amanah dari Tuhan.

"Keupayaan menyanyi dan menghibur ialah hadiah istimewa pemberian-Nya yang saya jadikan sandaran dalam mencari rezeki buat keluarga.

"Nyanyian sejenis kepakaran yang memerlukan daya kreatif tinggi. Walaupun sudah lebih 30 tahun dalam industri seni, saya ingin terus mengasah suara dengan menghadiri sesi masterclass kendalian guru vokal yang pernah mengajar mendiang Whitney Houston dan Michael Jackson.

"Apa yang menyedihkan saya kini ialah apabila bidang seni suara dipandang remeh dan dianggap sekadar suka-suka atau hiburan.

"Orang dah tak panggil penyanyi berkecimpung dalam industri seni. Mereka gunakan frasa industri hiburan pula. Kalau dah diperlekeh sebegini, tak nak pula ada yang menyanyi sambil lewa. Seni suara sebagai cabang seni atau kemahiran kreatif dan artistik dah tak ada lagi".

KE MANA PERGI LIRIK PUITIS?

Sheila, yang bakal mengadakan konsert jelajahnya ke Singapura berjudul Sheila Majid: The Concert (Singapore) di Pusat Seni Pementasan The Star pada 3 Mac, merindui lirik puitis dalam lagu masa kini.

Beliau menyifatkan dirinya sebagai 'old-school' ('orang lama' dengan perspektif pemikiran serta cara lama). Oleh sebab itu, mendengar lagu yang liriknya sukar dimengertikan membuatnya terkedu pilu.

Tidak ramai yang mungkin tahu Sheila menghasilkan lirik indah bagi beberapa lagunya sendiri seperti Ku Mohon, Rahsia Hati, Ada-Ada Saja, Di Suatu Masa dan Rindu.

Diberitahu betapa lagu kerohanian Ku Mohon menyentuh perasaan ramai, Sheila dengan rendah hati berkata:

"Alhamdulillah, ia 'sampai' ke hati pendengar. Ku Mohon datang daripada ujian hidup saya menangani bermacam dugaan manakala Rindu pula khusus buat arwah ayah.

"Kunci jaya lagu ini adalah ia datang daripada pengalaman peribadi.

"Apabila sesuatu itu dilalui sang penyanyi sendiri, ia lebih bermakna kerana mampu dihayati dengan lebih mendalam.

"Justeru, saya berpesan kepada penyanyi muda, kalau nak lagu mereka betul-betul 'sampai' dengan penjiwaan yang baik, buatlah lirik sendiri. Belajar hasilkan lagu sendiri".

Disebabkan mengagumi keindahan bahasa Melayu dan ingin memperkaya penguasaan bahasa pendengar, Sheila akan bertemankan tesaurus setiap kali mencoret lirik.

"Saya ambil serius kerja menulis lirik. Tesaurus akan saya gunakan bagi mencari kata seerti bagi menggantikan kekata yang kerap digunakan agar tidak diulang hingga menjejas keindahan lagu," ujarnya.

SESALI KETANDUSAN ADAB 'NETIZEN'

Sebagai tokoh yang juga memanfaatkan media sosial bagi mengetengahkan karya terkini, perkembangan terbaru atau kegiatan hariannya, Sheila, yang menghasilkan album pertama Dimensi Baru pada 1985, prihatin dengan budaya mengulas tanpa batas masyarakat siber atau 'netizen'.

"Tentunya ada buruk baiknya media sosial. Sesiapa sahaja bebas mencatat komen mereka pada setiap lampiran gambar yang selebriti muatkan.

"Cuma kerapkali saya kesali tindakan sesetengah 'netizen' yang tidak jaga etika dan adab apabila berkomunikasi di media sosial.

"Sewenang-wenangnya mereka hakimi orang lain seakan-akan diri mereka itu sudah cukup berada di tangga teratas kehidupan.

"Budaya mengecam orang dengan lontaran kata-kata negatif bukanlah sesuatu yang dianjurkan agama Islam.

"Tak kena pun dengan tatasusila orang Melayu. Kemudian, mereka berbalah sesama sendiri, kadangkala hanya kerana perkara kecil yang tiba-tiba jadi besar. Sungguh menyedihkan dan memalukan."

JANJIKAN KELAINAN PERSEMBAHAN

Bagi Sheila, konsert di Singapura yang dipromosikan IME Singapore itu istimewa kerana ini kali pertama beliau berkonsert di dewan segah The Star.

"Ada bezanya dengan konsert di Stadium Negara, Kuala Lumpur, tahun lalu.

"Sebabnya kalau konsert di Malaysia gunakan suami saya Acis sebagai pengarah muzik, konsert Singapura diterajui Mac Chew.

"Saya sukakan kelainan setiap kali berkonsert. Saya juga berharap orang Indonesia dapat datang ke Singapura selepas konsert di sana tertunda hingga tahun depan atas sebab teknikal.

"Apabila sajikan lagu pun begitu. Lagu popular seperti Warna dan Sinaran akan kedengarannya segar setiap kali diberi susunan irama baru tanpa menghilangkan daya tarikannya," kata peminat senaman pilates itu.

Gabungan lagu malar segar dan baru daripada album Boneka akan dihidangkan Sheila pada 3 Mac ini.

  • Berita Harian akhbar rasmi konsert 'Sheila Majid: The Concert (Singapore)'. Tiket berharga $278, $198, $178, $158, $128 dan $98 boleh ditempah menerusi laman www.apactix.com dan talian 3158-8588.