KEAKRABAN antara pelakon Erra Fazira dan aktres Indonesia Laudya Cynthia Bella sering menarik perhatian peminat kedua-dua selebriti terkenal itu.
Erra, yang nama sebenarnya Fazira Wan Chek, 44 tahun, memberitahu laman mStar Online, beliau ikhlas menjalin persahabatan dengan isteri bekas suaminya, Engku Emran, itu.
Beliau malah tidak sedikit pun mempunyai sebarang sebab memusuhi bintang asal Bandung yang mesra dengan panggilan Bella, 29 tahun, itu.
"Saya seikhlasnya menjalin persahabatan dengan Bella malah saya tidak pernah rasa kekok apabila bersamanya.
"Beliau bukan berasal dari Malaysia dan saya letakkan diri saya di tempatnya. Kalau saya tinggal di Indonesia pun, saya juga harapkan orang terima saya dengan baik.
"Saya juga ikhlas menerimanya sebagai ibu Aleesya dan perlu menjaga silaturahim demi matlamat menjaga dan mendidik anak kami," katanya.
Erra dan Engku Emran berkahwin pada 25 Oktober 2007 dan mereka bercerai pada 18 Februari 2014.
Mereka dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Engku Aleesya, sembilan tahun.
Engku Emran kemudian berkahwin dengan Bella dalam satu majlis tertutup di Malaysia pada 8 September tahun lalu.
Sementara itu, Erra juga menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Engku Emran dan sentiasa mendoakan yang terbaik buat bekas suaminya itu.
Malah kata Erra, beliau bersyukur Engku Emran dipertemukan dengan Bella kerana wanita itu turut menerima anak mereka dengan baik.
"Saya tiada masalah dengannya, malah kami berpisah secara baik," kongsinya lagi.