Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Filem P. Ramlee ditayang semula Shaw sebagai usaha kenang jasa tokoh seni Melayu

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Filem P. Ramlee ditayang semula Shaw sebagai usaha kenang jasa tokoh seni Melayu

Oct 15, 2019 | 05:30 AM



DALAM gelak tawa menyaksikan filem arahan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, pastinya menerawang di minda anda cebisan pemerhatian sosial tentang masyarakat dahulukala, baik isu perbezaan kelas atau cinta antara dua darjat.



Pendek kata, Allahyarham yang nama sebenarnya adalah Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh, boleh disifatkan sebagai pengkritik sosial yang peka lagi prihatin terhadap sekelilingnya.



Apa jua yang anda ingin tahu tentang masyarakat era 1950-an dan 1960-an mampu diselami dalam filem-filem yang dihasilkannya di bawah Malay Film Productions (MFP).



MFP yang dirasmikan pada 23 Ogos 1949 merupakan salah satu cabang usaha niaga Shaw Organisation yang diasaskan dua beradik, Runme Shaw dan Run Run Shaw.



Sebagai usaha mengabadikan filem-filem bermutu P. Ramlee dan menyanjung sumbangan Allahyarham kepada perkembangan industri filem Melayu di Singapura pada waktu itu, pihak Shaw bakal menayangkan 10 filem beliau di pawagam terbarunya yang dibuka di PLQ Mall, Paya Lebar Quarter, mulai bulan ini.



Pawagam dengan 12 skrin itu adalah 'cineplex' kesembilan Shaw dengan jumlah bilangan skrin terbanyak di kawasan timur Singapura.



Ibu Mertuaku yang memenangi dua anugerah di Pesta Filem Asia Pasifik Ke-10 (1963) - Fotografi Hitam Putih Terbaik (Abu Bakar Ali) dan Anugerah Khas Bakat Serba Boleh (P. Ramlee) akan membuka tirai tayangan pada 26 Oktober ini.



Ini disusuli dengan beberapa filem lain seperti Madu Tiga, Masam-Masam Manis, Anakku Sazali dan Penarek Beca yang akan ditayangkan di PLQ Mall pada Sabtu terakhir setiap bulan.



Satu tayangan perdana Ibu Mertuaku yang sudah diberi sentuhan digital dan sarikata Inggeris juga akan diadakan esok di PLQ Mall sebagai sebahagian daripada program Kenangan Bersama Filem-Filem Klasik P. Ramlee yang diusahakan Shaw Organisation.



Tayangan perdana itu akan juga dihadiri bintang filem MFP yang pernah menjayakan filem P. Ramlee di Studio Jalan Ampas seperti seniwati Zaiton Abdullah, K. Fatimah, Sri Rahayu Sudarmaji (Ayu 20 Sen), Hashimah Yon, Dayang Sofia dan Habibah Haron.



Ketika ditemui di pusat beli-belah ION baru-baru ini, Eksekutif Jabatan Filem-Filem Melayu, Shaw Organisation, Cik Rosie Othman, menjelaskan program yang diperkenalkan ini adalah satu peluang baik bagi orang ramai menikmati filem P. Ramlee di layar raksasa sebagai mengimbas jalan kenangan.



Katanya lagi, ia juga satu usaha mengenalkan generasi muda dengan karya hebat P.Ramlee yang padat dengan pemerhatian sosial, humor dan juga lagu-lagu klasik menyentuh kalbu yang digubah dengan penuh kesenian.



Menjelaskan lebih lanjut, Cik Rosie berkata:



"Filem P. Ramlee Penarek Beca dan Ibu Mertuaku banyak menceritakan tentang perbezaan darjat atau status sosial dalam masyarakat yang menjejas perhubungan dan perkahwinan dengan takrifan watak si kaya payah menerima menantu yang miskin.



"Allahyarham boleh disifatkan sebagai sutradara yang peka dengan keadaan sekelilingnya - apa yang berlaku pada waktu itu, beliau sampaikan dengan cara santai yang mudah dihadam kerana disisipkan dengan dialog lucu di sebalik segala pasang surut emosi si watak.



"Lantaran itu, P. Ramlee boleh disifatkan sebagai pengkritik sosial yang bijak mengupas isu buat renungan penonton.



"Kerana itu, kami telah memilih filem-filem khusus yang disajikan bukan setakat untuk hiburan dan sanjungan terhadap idea kreatifnya tetapi mambu membawa penonton 'mengembara' dan menyorot isu-isu kemanusiaan dan kemasyarakatan yang dipaparkan."



Cik Rosie akur filem-filem P. Ramlee mempunyai peminat dalam kalangan pengamat filem bukan Melayu yang sukakan jalan cerita dan penghayatan setiap watak.



"P. Ramlee tidak abaikan suasana berbilang kaum di Singapura dengan watak Cina, India dan Serani turut diketengahkan. Beliau juga bekerjasama rapat dengan penulis skrip, kru belakang tabir serta barisan pelakon yang memberikan terbaik dalam penjiwaan watak mereka.



"Sebagai penghargaan, kami gembira dapat mengundang beberapa bintang filem Jalan Ampas yang masih ada ke sesi tayangan perdana esok," katanya.



Tiket $10 seorang bagi tayangan filem Ibu Mertuaku mula dijual mulai lusa. Keterangan lanjut boleh diperolehi menerusi laman www.shaw.sg.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >