Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Filem pendek papar kebimbangan ibu bapa anak kurang upaya apabila mereka tiada nanti

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

FESTIVAL FILEM MINDS

Filem pendek papar kebimbangan ibu bapa anak kurang upaya apabila mereka tiada nanti

Sep 27, 2018 | 05:30 AM



APAKAH yang akan terjadi kepada anak-anak kurang upaya apabila ibu bapa atau penjaga mereka sudah tiada? Siapakah yang akan menjaga mereka? Apakah nasib mereka kelak?



"Takut jugalah. Cuma kita tidak mahu nampak-nampakkan. Sebenarnya itulah yang kita risau. Sekarang kita lagi sihat jadi kita boleh jaga mereka. Kita pun satu hari akan mati kan? Pada waktu itu saya risau untuk dia," luah Cik Jaliah Haji Mohd tentang anaknya, Muhammad Nur Arif Muzani, 21 tahun, yang didiagnosis dengan kekurangan keupayaan intelektual disebabkan oleh "Primary Perinatal" sejak usia muda.



Kini Arif bekerja di bengkel perlindungan Persatuan Golongan Kurang Daya Intelek Singapura (Minds), Pusat Pembangunan Pekerjaan Idea atau MINDS IEDC.



Yang lebih menyentuh hatinya ialah apabila anaknya sendiri membintangi sebuah filem pendek yang mengetengahkan isu tentang kerisauannya itu.



Filem pendek yang bertajuk Layang-Layang Terbang Melayang itu diarahkan oleh Encik Ghazi Alqudcy yang telah ditayangkan sempena Festival Filem Minds yang ketiga.



Arif telah berlakon bersama pegawai latihannya di MINDS IEDC, Encik Cliford Carbonel Sittaraman, 26 tahun.



Mereka berlakon sebagai adik-beradik, Rashid dan Razak, yang perlu menguruskan jenazah ibu mereka yang pergi secara tiba-tiba dan dalam masa yang sama menerima realiti yang menyedihkan itu.



Razak juga menyedari bahawa dia perlu mengumpulkan keberanian untuk menjelaskan kepada adiknya mengenai pemergian ibu mereka.



Di luar jangkaan Razak, Rashid menerimanya dengan baik dan cuba meniru tindakan abangnya dan mengingati perkara-perkara yang perlu diuruskan.



Akhirnya, bolehkah Rashid menjawab pertanyaan Razak - apa yang akan berlaku sekiranya satu hari Razak pula yang tiada?



"Filem pendek ini diilhamkan dari interaksi saya dengan para pelanggan di MINDS. Perkara yang universal dan menyedihkan seperti pemergian seseorang yang tersayang boleh mencetuskan banyak emosi dan reaksi dari sesiapa sahaja.



"Bagaimanapun, selepas bekerja dengan Arif tentang topik yang sensitif dan halus seperti ini, reaksi tulennya membuatkan saya sedar bahawa tidak kira betapa buruknya keadaan, kita harus sentiasa fokus pada masa kini dan berharap untuk masa depan.



"Keikhlasannya menyentuh saya dan mempengaruhi watak abangnya. Ia adalah gambaran tulus dari hati yang paling tulus kerana dia bertindak dengan cara yang paling semula jadi seperti bagaimana dia akan bertindak dalam keadaan seperti ini," terang Encik Ghazi yang telah menghabiskan masa bersama Arif serta rakan-rakan untuk mengenali mereka dan mendapatkan kepercayaan mereka sebelum penggambaran bermula.



Walaupun kurang upaya, menurut Encik Clifford, yang berlakon sebagai Razak, Arif merupakan seorang yang bijak.



"Katanya, beritahu dia sekali saja, dia boleh faham."



Ini turut diakui oleh Encik Ghazi yang berkongsi bahawa ada kalanya Arif yang membantu Encik Clifford dengan dialognya jika terlupa.



Walaupun beliau dan suami serta anak-anaknya yang lain berasa tersentuh setelah menonton tayangan filem pendek ini, Cik Jaliah juga berasa bangga dengan kebolehan dan usaha anaknya, Arif.



Tetapi sebagai ibu beliau masih risau akan apa akan jadi kelak.



"Dia ada adik beradik. Saya harap mereka boleh ambil alih dan jaga Arif. Tetapi, saya juga mahu dia berdikari sebelum saya pergi."



Setelah menonton filem ini, Encik S Iswaran, Menteri Perhubungan dan Penerangan, tetamu terhormat pada acara tayangan ini, dalam ucapannya sambil menahan sebak berkata, dialog dari filem Layang-Layang Terbang Melayang, ''Rashid tidak berbeza daripada orang lain'' adalah refleksi sokongan kuat penjaga dalam filem ini.



Beliau berpendapat: "Festival ini bukan sekadar perayaan bakat dan kebolehan, ia juga merupakan perayaan semangat manusia, cinta, dedikasi dan bagaimana kita boleh mengatasi cabaran apabila bersama.''



Festival Film MINDS ini juga manayangkan filem muzikal pendek Rehearsal arahan He Shuming yang meraikan keghairahan dan dedikasi kumpulan persembahan di bawah MINDS. Ia turut menampilkan tenaga pengajar mereka yang telah bekerja keras untuk kumpulan ini sejak mula lagi.



Salah seorang yang terlibat ialah Farhan Mohamed Noor, 32 tahun, penyanyi utama MINDS Perform, yang mempunyai gangguan spektrum autism (ASD).



Gangguan ini membuatkan beliau sukar berhadapan dengan orang lain. Namun, di sebalik rasa malunya, ada bakat yang terpendam. Sejak zaman remaja, anggota keluarga dan guru menyaksikan betapa beliau gembira apabila menyanyi.



Pegawai latihannya, Encik Ramlan Rasidi, yang turut membintangi filem muzikal pendek ini, berkongsi bahawa Farhan sangat suka menyanyi.



"Saya melatih dia menyanyikan lagu Melayu, Cina, Inggeris, Latin dan Hindustan. Dia hafal dengan menonton YouTube," ceritanya lagi.



Encik He, sebagai pengarah pula, teruja dapat bekerjasama dengan setiap penghibur kerana tenaga dan dedikasi mereka terhadap apa yang mereka lakukan di atas pentas.



Beliau rasa sangat gembira dapat berkongsi kegembiraan murni mereka membuat persembahan dan yang paling penting, dapat meraikan mereka.



Festival filem ini, yang berlangsung dari 16 September hingga 7 Oktober 2018, akan menampilkan enam filem antarabangsa yang akan ditayangkan di Pawagam Golden Village yang terpilih di seluruh negara.



Enam filem ini akan mengetengahkan cabaran dan kemenangan yang dialami oleh mereka yang kurang keupayaan intelektual dan ASD, serta keluarga dan ekosistem penjagaan mereka.



Filem pendek MINDS pula akan ditayangkan secara percuma sebelum permulaan setiap filem antarabangsa ini.



Kedua-dua filem pendek MINDS diterbitkan oleh Encik Royston Tan dari Chuan Pictures.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >