Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Finalis Juara Mic Junior rakam 'Fasa' baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BAKAT SETEMPAT

Finalis Juara Mic Junior rakam 'Fasa' baru

Sarah cipta kejayaan dalam pesta seni suara Hong Kong, peraduan tarian hip hop dunia Australia
Nov 07, 2019 | 05:30 AM



MESKIPUN baru berusia 14 tahun, bakat remaja Singapura, Sarah Syazlina Mohd Darni, ketahui apa yang diinginkan dalam bidang nyanyian, tarian dan lakonan yang diceburi.



Kalendar harian pelajar Sekolah Menengah Regent ini malah padat dengan kegiatan yang memperkasa dirinya.



Setelah pulang dari Hong Kong dan mendapat tempat ketiga bagi satu pesta seni suara antara pelajar Singapura, Taiwan, Hong Kong dan China, dia meraih tempat keempat pula bagi peraduan tarian hip hop (solo) antarabangsa Upgrade di Brisbane, Australia.



Hujung minggu lalu pula, Sarah, anak sulung tiga beradik, melancarkan single pertamanya, Fasa, di ruang ballroom Restoran Bijan@ Grandlink Square, Guillemard Road.



Lagu tersebut bak pucuk dicita, ulam mendatang buat pemenang ketiga peraduan adu bakat cilik Mediacorp Suria, Juara Mic Junior (JMJ).



Iramanya dicipta Fakir J. Mario dengan lirik pula hasil ilham penyanyi tempatan Nur Isnina Mohamed Isnin.



Bapa Sarah, Encik Mohammed Darni Sanuci, 42 tahun, seorang pemandu peribadi, dan ibunya, Cik Nooraini Yahya, 43 tahun, seorang pegawai jualan dan pentadbiran pula menjadi sumber dorongan terkuat Sarah.



Ketika ditemui pada majlis pelancarannya, Sarah menjelaskan:



"Saya sebenarnya mula menyanyi lagu-lagu Hindustan seawal usia sembilan tahun. Ia didorong ibu bapa saya yang suka menonton filem Hindustan.



"Minat menari pula dikesan apabila saya tiba-tiba naik pentas persembahan kanak-kanak dan tunjukkan aksi saya di Melaka ketika kami bercuti.



"Alhamdulillah, apabila ibu bapa saya melihat kebolehan saya itu, mereka masukkan saya ke sekolah muzik, seni, drama dan tarian MADDspace bagi mendapatkan latihan profesional."



Penyertaannya dalam JMJ merupakan langkah terbesar yang pernah diambil meskipun sebelum itu, Sarah sudah mula berlakon dalam drama Suria, bermula dengan Kawanku Oh Yeah.



"Tempoh dalam JMJ banyak mengubah perspektif pemikiran saya tentang dunia hiburan. Saya juga menjadi lebih selesa di pentas, ditonton ramai dan bersedia menerima kritikan membina pengadil atau orang ramai.



"Jangan kata peraduan buat budak-budak bebas daripada stres. Persaingan begitu dirasakan antara kami sebab semua kanak-kanak nak menang.



"Kadangkala kelakar juga apabila difikirkan tentang wajah saya yang hampa begitu jelas kelihatan tatkala keputusan JMJ diumumkan pada penghujung acara. Maklumlah, belum cukup matang menerima kegagalan pada waktu itu," ujar Sarah terus terang.



Dia, bagaimanapun, bersyukur kerana menerusi JMJ dia belajar tentang susah senang membuat persembahan yang dapat memikat hati penonton. Dia juga belajar agar tidak tersinggung dengan komen orang atau warganet. Bakat menari dan berlakonnya dimanfaatkan dalam setiap persembahan di pentas pertandingan.



Jumlah pengikutnya di Instagram juga meningkat daripada ratusan sahaja kepada 4,808 kini.



Beralih kepada dua peraduan yang disertai di Hong Kong dan Australia, dia menganggapnya sebagai satu tapak melihat sejauh mana dirinya boleh pergi.



"Apabila kita bersaing dengan belia dari luar negara, perasaannya berbeza. Saya ditanya apakah usia saya baru lapan tahun oleh seorang belia Australia sebaya yang besar dan tinggi lampai! Kadangkala kita dicabar rasa tidak yakin pada diri sendiri melihat belia tersebut nampak macam orang dewasa. Dalam hati berkata-kata, mesti dia lebih hebat menari daripada saya!



"Walaupun saya hanya dapat tempat ketiga dan keempat dalam dua peraduan itu, saya tetap teruja dapat bawa pulang pengalaman berharga dan mengingatkan diri saya ini adalah persaingan pada peringkat antarabangsa. Saya harus cekalkan hati saya," tambahnya.



Sarah yang mendapat pujian kerana watak antagonis sebagai remaja busuk hati lagi tidak berhati perut dalam drama sosial Rintihan Hati kini gembira memiliki single sendiri yang menepati cita rasanya.



"Saya nakkan sesuatu yang mempunyai ciri lagu hip hop Mimi Fly dari Malaysia. Ia positif dan menggalak kita ke arah kebaikan. Boleh dikatakan selain Dayang Nurfaizah yang memiliki kawalan suara yang baik, Mimi idola saya.



"Apabila saya amati Instagram beliau, saya lihat dirinya bukan sahaja penyanyi bijak yang menghasilkan lagu positif tetapi juga rapat dengan ibunya. Saya juga menganggap ibu saya segala-galanya.



"Fasa adalah rakaman hati saya dalam meniti usia remaja dan mengharapkan keyakinan diri itu akan datang mengatasi segala rasa resah dalam hati tentang tanggapan orang lain terhadap diri saya," ujarnya.



Isnina pula menyifatkan Sarah sebagai bakat muda yang bersemangat waja dan tahu apa yang diinginkan dalam hidup.



Kata Cik Nooraini:



"Sebagai ibu yang sentiasa ingin melihat anaknya berjaya, saya berharap Sarah akan manfaatkan setiap peluang berseni di dalam dan luar negara sebagai ruang buatnya belajar daripada orang berpengalaman."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >