Subuh
5:58
Syuruk
7:16
Zuhur
1:19
Asar
4:33
Maghrib
7:21
Isyak
8:30
Gaya Hidup0

Gabungan 'Ikhlas' Taufik Batisah, Siti Nurhaliza

Turut terlibat dalam projek Apple Music itu ialah bakat baru Indonesia Nissa Sabyan
Jun 11, 2019 | 05:30 AM

DI kala Idola Singapura Taufik Batisah ingin fokus saja pada perniagaan ayam goreng pedas yang baru diusahakan pertengahan tahun lalu, timbul pula projek peringkat Nusantara yang tidak mampu ditolak.

Projek eksklusif label rakaman Universal Music berupa lagu Hari Raya, Ikhlas, buat wadah penstriman muzik dan video Apple Music itu turut melibatkan penyanyi tersohor Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza, dan penyanyi lagu kerohanian popular Indonesia, Nissa Sabyan.

Lagu Ikhlas ciptaan Omar K dan Ikhwan Fatanna itu bertemakan persoalan muhibah dan kebersamaan yang sesuai dialunkan pada musim Lebaran.

Dengan konsep klip video ala filem fantasi The Lord of The Rings, penonton seakan-akan dibawa ke zaman Rasulullah saw yang menampilkan keindahan alam, di samping meraikan keharmonian antara manusia dengan Sang Pencipta.

Klip video itu dirakam di kawasan bukit-bukau dan padang ragut Universiti Putra Malaysia (UPM) di Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Berita Popular

Beberapa kuda putih menemani Taufik, Siti dan Nissa, sepanjang penggambaran yang turut mengetengahkan kegiatan memanah.

Ketika dihubungi Berita Harian baru-baru ini, Taufik, 37 tahun, berkata:

"Seperti yang ramai sedia maklum, memang tumpuan saya buat masa ini adalah membangunkan restoran Chix Hot Chicken di Jalan Pisang. Saya usahakannya bersama rakan Ismail Rawi Bober.

"Namun, apabila ditawarkan projek lagu Hari Raya ini, saya menganggapnya sebagai peluang keemasan dan pembakar semangat agar tidak putuskan aliran seni dalam kehidupan saya.

"Pertama, saya suka dengan lagu ciptaan Omar K. Beliaulah insan hebat di sebalik kejayaan lagu penyanyi popular seperti Hafiz Suip.

"Kedua, Datuk Siti, yang memang tidak dapat dinafikan tarikan semberaninya, serta Nissa, bakat muda yang menggoncangkan dunia hiburan Indonesia, ialah rakan gandingan dalam Ikhlas.

"Akhir sekali, saya sukakan tema lagu ini tentang keikhlasan dan perjuangan sebelum mencapai kejayaan, yang menjadi iktibar atau teras pesanan dalam kita menyambut kemuliaan Syawal."

TEKAL BERUSAHA

Setelah 15 tahun berada di persada seni sejak dinobat juara rancangan realiti Singapore Idol pada 2004, Taufik sudah merasakan asam garam hidup sebagai anak seni.

Beliau menghargai kerjasama dengan mana-mana pihak, lebih-lebih lagi jika karya yang dijana boleh dikongsi ke pasaran lebih luas dalam rumpun Melayu.

"Apabila kami menjalani penggambaran klip video di UPM, terasa kelainannya.

"Saya diberitahu itulah juga lokasi penggambaran bagi filem Farid Kamil dan Lisa Surihani, Lagenda Budak Setan.

"Dengan cuaca terik dan seragam tebal yang buat saya terasa macam wira Star Wars atau watak The Lord of The Rings, kami harungi segala jerih payah. Basah kuyup pakaian saya.

"Namun, seronok juga saya bermain dengan kuda putih yang cukup cantik. Suasana penggambaran memang macam di alam fantasi," katanya.

Lagu Ikhlas, bagi Taufik, membawa banyak iktibar kerana karya itu menekankan perihal kesyukuran dan perjuangan yang tidak mengenal erti penat lelah walau kehidupan ada pasang surut.

"Mengendalikan perniagaan merupakan pengalaman baru buat saya.

"Sepanjang Ramadan, saya menemui pelanggan di restoran Chix Hot Chicken dan buat mereka gembira. Ini nikmat besar buat saya.

"Dalam setiap fasa kehidupan, kita perlu usahakan pembaharuan. Zaman saya bujang dan kini berumah tangga juga berbeza. Tumpuan saya kini lebih pada memastikan perniagaan maju dan memenuhi cita rasa pelanggan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa Hari Raya juga masa buatnya mengenang nostalgia berlebaran.

"Kalau dulu, kami boleh ramai-ramai naik lori pindah dan berkunjung ke rumah sanak-saudara sampai dinihari. Sekarang suasananya berbeza.

"Rutin Raya saya ialah setelah berlebaran dengan ibu di rumah, saya ke rumah mentua sebelum berkonvoi dengan abang ke Johor untuk menemui bapa kami dan sanak-saudara di sana," ujarnya.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map