Giat perjuang kuih-muih tradisional walau hijrah ke Australia

JIWANYA dalam memperjuangkan kuih-muih tradisional Melayu cukup tebal.

Justeru biarpun kini berada jauh dari tanahair setelah berhijrah ke Melbourne, Australia pada awal Januari lalu, penggiat seni, Encik Qamar Baba masih tetap berjuang melestarikan kuih-muih tradisional untuk disajikan kepada masyarakat negara kangaru itu.

Bahkan, sempena Ramadan yang pertama kali disambut di negeri orang, Encik Qamar gigih menghasilkan beberapa kuih-muih seperti kuih bakar, kuih talam ubi, koswi, puteri salad dan naga sari.

Beliau membuka "bazar mininya" sendiri di perkarangan rumah, dan pada hujung minggu membuka but kereta sebagai gerai kecil di kawasan terbuka.

Di Singapura, Encik Qamar dikenali sebagai penggiat seni genderang yang disegani dan beliau juga sering diundang untuk mengadakan demonstrasi memasak makanan tradisional seperti wajik, kole-kole, putri salad dan sabagainya dalam festival-festival budaya.

Ketika dihubungi menerusi panggilan jauh, Encik Qamar, 49 tahun, berkata beliau sekeluarga berhijrah ke Melbourne kerana mengikuti isterinya, Cik Hidayu Samian, seorang guru yang mendapat pekerjaan sebagai pendidik di sebuah pusat pengajian Islam di sana.

Mereka berharap dapat bermastautin di sana secara tetap.

Sebelum ini Cik Hidayu, 40 tahun, yang telah 15 tahun menjadi guru, mengajar guru di Sekolah Rendah Northoaks (Sembawang).

Kesemua empat orang anaknya turut ditukarkan sekolah di Melbourne.

"Isteri saya mahu tukar angin cari pengalaman baru. Kebetulan ada lowongan kerja di pusat pengajian Islam di Melbourne. Ada juga mata pelajaran akademik lain. Selepas menjalani ujian, beliau diterima," kata Encik Qamar yang ketika ini memainkan peranan sebagai "suami rumah", sambil meneruskan minat dalam seni masak kuih-muih tradisional.

Setelah dua bulan menyewa rumah seorang saudara mereka, pasangan itu berjaya mendapatkan rumah tetap dan telah membeli sebuah kereta terpakai.

Sejauh ini, kata Encik Qamar, beliau berhubung rapat dengan masyarakat Melayu dari kumpulan yang digelar Kampung Utara Melbourne, yang aktif menjalankan kelas Bahasa Melayu dan pengajian Islam pada hujung minggu.

Dalam satu majlis iftar yang dianjurkan baru-baru ini, sekitar 400 orang Melayu Islam dan bangsa lain hadir dan Encik Qamar menyajikan beberapa kuih-muih masakannya.

"Sebelum ini, masih ada keluarga lain yang kekalkan masakan Melayu. Cuma untuk kuih, mungkin agak terhad. Kalau epok-epok tu, memang banyak," ujarnya sambil menambah masyarakat Islam di sana pada tahun ini berpuasa sekitar 11 jam, berbuka pada 5 petang kerana ketika ini Australia hampir masuk ke musim sejuk.

"Memang semua seronok bila saya sajikan kuih-muih tradisional. Ramai yang minta kuih kukusan seperti naga sari, lepat dan macam-macam lagi," ujarnya

Apabila ditanya cabaran menghasilkan kuih Melayu di Australia, Encik Qamar berkata beberapa bahan penting seperti gula melaka, esen perisa vanila, kelapa parut dan beberapa lagi sukar didapatkan.

"Sebelum bermula Ramadan, saya telah berjalan-jalan di kawasan dalam dan luar perumahan saya, singgah ke banyak pasar raya dan kedai runcit untuk pastikan, di mana ada bekalan yang diperlukan. Saya catatkan kedai di mana yang ada bekalan apa.

"Untuk mencari daun pandan dan daun pisang untuk kuih berbungkus seperti naga sari, tidaklah susah sebab ada daun yang dibekukan. Cuma harganya agak mahal," kata Qamar.

Contohnya, janur beku untuk dibuat ketupat juga dijual, pada harga $18-$15 untuk 50 helai daun.

Selain daripada bahan, alat-alat memasak seperti kuali besar, centong dan periuk kukus juga sukar ditemui.

"Kuali yang dijual di sana tidak cukup besar untuk kacau wajik dan mesin kukus yang dijual di pasar raya semua kecil-kecil, untuk makan sekeluarga saja," ujarnya.

Bagaimanapun, baru-baru ini, periuk kukus yang digunakan di Singapura telah selamat diterbangkan dari Singapura ke rumah barunya dan ini membuat Encik Qamar tersenyum lebar kerana sudah boleh menyingsing lengang untuk hasilkan kuih kukusan dalam jumlah yang lebih banyak.

Ditanya rancangan jangka masa panjangnya, Encik Qamar berkata beliau mahu mempopularkan kuih-kuih Melayu di Melbourne tetapi perlu memahami keadaan pasaran, permintaan, undang-undang di negeri tersebut terlebih dahulu.

Selain itu, beliau juga perlu memastikan beliau mempunyai segala kelengkapan yang perlu dan bahan-bahan masakan yang mencukupi.

"Kalau orang Arab boleh majukan makanan mereka di sini, tentu kita juga boleh kenalkan masakan dan kuih-muih Melayu. Saya akan kaji dulu keadaan dan permintaan dan akan mulakan secara kecil-kecilan dulu," kata Qamar.

Galeri Foto