Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:14
Maghrib
7:15
Isyak
8:22

Hady, Jatt 'gegarkan' pentas peraduan realiti

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Hady, Jatt 'gegarkan' pentas peraduan realiti

Sep 26, 2019 | 05:30 AM



Pertandingan realiti 'Gegar Vaganza' yang menaikkan semula nama bintang malar segar seperti Ayai Ilusi, Siti Nordiana, Azharina, Aishah dan Noryn Aziz, kembali lagi buat musim keenam. Antara peserta yang bakal bertanding termasuk dua penyanyi Singapura - Idola Asia, Hady Mirza serta vokalis legenda Black Dog Bone (BDB), Jatt Ali. Turut kembali menggegarkan pentas persembahan ialah penyanyi asal Perak yang sudah bermastautin di Singapura selepas berumah tangga dengan warga Singapura, Wann. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



SETELAH beberapa tahun menggantung mikrofon atas sebab peribadi yang enggan diingati lagi, juara peraduan serantau Asian Idol, Hady Mirza, ingin menjadikan 2019 sebagai tahun beliau kembali penuh tenaga ke persada nyanyian Nusantara.



Lantaran itu, apabila diundang saluran seberang Tambak, Astro, bagi melalui sesi uji bakat peraduan realiti Gegar Vaganza 6 (GV6) dan kemudian terpilih, beliau amat bersyukur.



Hady, yang nama sebenarnya Muhammad Mirzahady Amir, 39 tahun, adalah antara 13 peserta GV6 yang didedahkan pihak Astro dalam satu sidang akhbar di The Gardens Theatre, Mid Valley, Kuala Lumpur, kelmarin.



Sidang akhbar tersebut disiarkan secara langsung di laman Facebook kelmarin.



Bahang GV6 akan terasa di auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila rancangan itu mula bersiaran di saluran Astro Ria pada 13 Oktober ini.



Ketika dihubungi semalam, Hady yang popular dengan lagu Angkasa dan merupakan juara Singapore Idol (Musim Kedua), berkata:



"Saya sangat bersyukur apabila disenaraipendekkan bagi GV6. Saya juga tidak sangka kerjaya saya akan bangkit semula bak satu putaran dan akhirnya ada rezeki di pentas GV yang menjadi idaman ramai penggiat seni khususnya yang sudah lama tidak menyanyi."



Hady menjangkakan saingan bagi pertandingan kali ini sangat sengit melihatkan pada kebolehan dan kewibawaan peserta lain yang bukan calang-calang.



"Saya anggap GV6 sebagai wadah bagi saya mempertingkatkan diri dari segi persembahan. Ia merupakan satu peluang keemasan bagi saya berkongsi pentas bersama legenda dunia hiburan Nusantara.



"Seberapa boleh, saya ingin merebut peluang belajar sedikit sebanyak daripada semua orang, baik pengadil, pemuzik atau peserta lain," dedahnya.



Meskipun pernah diselubungi bahang pertandingan Singapore Idol dan Asian Idol suatu ketika dahulu, debaran tetap terasa mengisi ruang hatinya.



"Saya jangkakan cabaran setiap pertandingan itu pasti ada walaupun seseorang pernah berada di pentas persaingan.



"Saya hanya perlukan fokus dan tumpuan lebih mendalam sepanjang pertandingan. Sungguhpun begitu, saya akur GV6 juga ruang bagi saya menikmati sajian hiburan yang saya ingin berikan kepada penonton khususnya peminat saya.



"GV6 juga adalah rancangan berprestij. Antara langkah persiapan saya adalah melakukan senaman serta menjaga makan minum serta waktu tidur saya. Sebab, kalau jatuh sakit memang sukar rasanya. Saya tidak mampu sakit sebab saya akan berulang-alik dari rumah saya di Johor Bahru ke Shah Alam," jelasnya.



Seperti yang dilaporkan akhbar ini sebelum ini, Hady berundur dari dunia seni suara seketika sekitar 2013. Tatkala itu, beliau terlibat dalam kegiatan motivasi belia.



Namun, awal tahun ini, beliau mengubati rindu ramai peminatnya apabila dirinya kembali ke persada seni dengan menjayakan pelbagai acara.



"Saya kembali menyanyi awal tahun ini dan jatuh cinta semula dengan dunia persembahan diiringi 'live band'. Diharapkan GV6 akan lebih mengembalikan dan memperkasa cinta saya yang dahulunya hilang.



"Atas sebab-sebab yang saya lebih selesa rahsiakan, saya memang terasa tidak mahu menyanyi sesudah kemenangan Asian Idol.



"Alhamdulillah, saya kini kembali bersama band saya sendiri dan melakukan apa yang saya cintai.



"Terima kasih kepada keluarga khususnya isteri dan ibu saya serta pihak pengurusan Makbesar, peminat, media dan rakan artis yang menyokong perjuangan seni saya ini," tambahnya.



Dalam pada itu, turut menggagahkan semangat bertanding dalam GV6 adalah vokalis band legenda Black Dog Bone (BDB), Jatt Ali, 63 tahun, yang merupakan peserta paling mapan musim kali ini.



Jatt yang nama sebenarnya Tahir Ali, serta terkenal kerana suara nyaringnya tatkala mendendangkan lagu malar segar seperti Cahaya Aidilfitri dan Gadis Ayu, berkata:



"Saya sebenarnya sudah mengikuti GV sejak sekian lama sepanjang lima musim ia disiarkan di Astro. Melihat teman-teman artis seperti Ayai, Rahmat Mega, Datuk Nassier Wahab, Ameng dan Aishah menyerlah, kepingin juga saya masuk bertanding.



"Lagipun, saya tak sabar nak dengar komen rakan lama saya, Datuk Ramli MS yang merupakan ketua pengadil GV memberi ulasan pedasnya pada persembahan saya. Tak kisahlah, sebab saya ni 'sporting'."



Beliau juga tidak menjangkakan dirinya akan mudah menyaingi dan menumpaskan peserta lain meskipun jauh berpengalaman.



"Ada pelbagai genre muzik yang perlu saya kuasai saban minggu. Sebagai artis veteran, saya selalu mengikuti trend terkini muzik Malaysia dan Singapura. Saya pastikan saya kenal pasti artis muda atau band baru di pasaran yang memiliki potensi.



"GV adalah persaingan sihat buat artis mapan tanpa mengira usia. Ia bak 'universiti' buat kami semua belajar daripada satu sama lain. Saya mungkin mahir dalam muzik pop dan rok tetapi saya pun nak cuba menyanyi dangdut, hip-hop, irama asli dan lagu kerohanian," katanya.



Sebelum Hady dan Jatt, peserta asal Singapura yang ditampilkan dalam musim-musim lalu ialah Ferhad dan Hetty Sarlene.




  • GV6 akan disiarkan mulai 9 malam, 13 Oktober ini di Astro Ria, (Saluran 608, Singtel TV).




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >