Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

HADY MIRZA syukur dapat bangkit semula

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

HADY MIRZA syukur dapat bangkit semula

Peristiwa hitam lalu sudah dilupakan, beliau kini duta syarikat penyedia khidmat jual beli dan sewa kereta sambil giat menyanyi kembali
Jan 23, 2019 | 05:30 AM



Bak pepatah Melayu 'barang lepas jangan dikenang', Idola Asia, Hady Mirza, enggan mengingati segala episod hitam dalam hidup - baik perniagaan atau kerjaya nyanyian yang pernah dilalui. Mengambil semua kenangan pahit dan kegagalan sebagai titik tolak belajar daripada kesilapan, beliau teruja membuka lembaran baru dengan pelbagai projek yang menggabungkan minat terhadap dunia hiburan dan kereta. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



PASANG surut kehidupan, jatuh bangun perniagaan serta ujian dan cabaran kerjaya menjadi asam garam kehidupan yang mematangkan Idola Asia, Hady Mirza.



Ia tampak klise, tetapi itulah kebenaran yang tidak mampu disangkal dalam dirinya meniti perjalanan sebagai anak seni yang sentiasa menjadi tumpuan masyarakat.



Pada usia yang mencecah 39 tahun pada 28 Januari ini, Hady bersyukur beliau mempunyai kecekalan untuk bangkit semula dengan segera, malah kembali pada bidang nyanyian yang sudah lama ditinggalkan.



Beliau, yang kini pengarah operasi Kassimbaba Autohub, sejak November tahun lalu memberi jaminan kepada peminat bahawa dirinya enggan mengecewakan mereka lagi.



Kalendar kegiatannya malah dijangka padat dengan persembahan bagi kembali lagi dalam industri seni.



Hady merupakan duta syarikat Kassimbaba Autohub, penyedia khidmat jual beli dan sewa kereta yang juga menawarkan panduan membeli, khidmat penjagaan dan penyenggaraan kereta.



Beliau juga ditugaskan menjaga ehwal persembahan bagi acara langsung anjuran Kassimbaba meliputi kelengkapan audio, video, pencahayaan dan keperluan pentas.



Penghargaan diberi buat pengasas Kassimbaba International, Encik Mohammad Fauzi Abdul Razak; pemilik bersama Kassimbaba International, yang juga pengurusnya kini, Cik Haryani Othman; dan peminat yang sentiasa berada di belakangnya kerana memberinya peluang keemasan membaiki dan mencipta dirinya semula.



Dalam pertemuan bersama Berita Harian di pejabat akhbar ini kelmarin, matanya berkerdipan, menceritakan tentang bermacam projek baru yang menantinya.



"Saya begitu teruja dengan bermacam kegiatan yang bakal diusahakan serta peluang kembali menyanyi.



"Malah, setiap kali bangun pagi terasa banyak perkara ingin dilakukan tetapi masa terlalu mencemburui saya! Ia pasti berbeza dengan dulu.



"Tak sempat pun nak santai-santai tonton aplikasi Netflix. Banyak ilmu baru untuk dipelajari dan dihadam," dedahnya lagi.



Kebetulan, ibu Encik Mohammad Fauzi merupakan rakan sekolah ibu Hady. Mereka malah sealiran fikiran dalam menentukan khidmat yang baik buat masyarakat pengguna.



Meskipun belum ada single baru untuk dirakamkan, Hady terbuka pada menyanyikan lagu-lagu lamanya mahupun yang dipopularkan bakat lain sebagai penawar buat peminat yang sudah lama merindui vokal emasnya.



"Peminat bagaikan keluarga besar saya juga. Mereka menyokong lagu, usaha niaga dan projek saya. Sejak dari zaman Singapore Idol lagi, mereka selalu ada dan bertanyakan tentang khabar ibu saya atau anak saudara saya, Imran.



"Tak dinafikan ada juga yang 'kepo' nak tahu tentang perkara lain tetapi ia sudah menjadi lumrah. Apabila saya memandu kereta Grab sebagai mencari rezeki halal secara sambilan, ia menjadi pertanyaan orang.



"Mereka tidak tahu kenderaan yang saya gunakan adalah bagi mengangkut barangan jualan. Saya hanya memandu Grab secara sambil-sambil sahaja.



"Orang kata, sebagai artis saya menjadi tumpuan ramai. Bagi saya biasa-biasa sahaja. Saya hanya mencari sesuap nasi dan tidak begitu ambil pusing tentang tanggapan orang atau desas-desus yang tersebar mengenai diri saya.



"Peminat setia saya tahu saya sayangkan mereka. Sokongan yang mereka berikan adalah nikmat terbesar yang Allah berikan. Saya akan berikan yang terbaik atas kepercayaan yang diberi," tambahnya lagi.



Dengan kembalinya beliau dalam persada seni kelak, Hady juga tidak mengharapkan kelab peminat, Happy Hadi, yang pernah wujud dahulu akan kembali aktif dengan acara pertemuan khusus di tempat mewah.



"Saya hanya mengharapkan doa peminat agar segalanya baik-baik sahaja. Ada banyak perkara lain yang boleh mereka lakukan buat kehidupan mereka dan orang yang memerlukan," katanya lagi.



Sepanjang perbualan hampir setengah jam itu, Hady banyak mengimbas pengajaran yang diraih sebagai peniaga yang pernah terjerat dengan rakan niaga yang tidak ikhlas mahupun yang menipu.



Antara perkara yang dititikberatkan dalam amanah di Kassimbaba Autohub adalah memberi panduan berguna buat pelanggan yang memerlukan khidmat pembelian dan penyenggaraan kereta menyeluruh.



"Apabila ditipu memang perit. Saya pernah melalui kegagalan perniagaan yang tidak perlu saya ungkit kembali.



"Persiapan bagi perniagaan itu perlu. Ada rakan niaga yang mungkin pandai berbual tetapi tiada langkah susulan selepas itu.



"Saya lebih berhati-hati kini apabila berurusan dengan mereka yang ingin bekerjasama tetapi hanya pandai berjanji sahaja. Penat lelah kita kemudian tidak membawa hasil pulangan apa-apa," ujarnya lagi.



Menyedari sebilangan pembeli kereta tidak begitu peka atau arif tentang proses pembelian, pemilihan jenama mahupun khidmat sampingan yang diperlukan, beliau berharap amanah barunya di Kassimbaba Autohub akan meringankan beban pelanggan sebegitu.



"Harapan saya adalah agar saya dapat membantu lebih ramai orang dalam apa jua cara yang termampu.



"Saya teringat arwah datuk saya, seniman Osman Zailani, yang baik hati. Beliau disayangi ramai orang kerana budi yang ditaburnya, keramahan dan ingatannya kepada ramai orang.



"Buat masa ini, sudah ada dalam perancangan saya bekerjasama dengan belia yang memerlukan menerusi muzik. Harapan saya ini akan membantu mereka agar menjauhi pengaruh tidak sihat.



"Kalau nak ceburi bidang seni mudah sahaja. Nikmati keseronokan berseni. Jangan peduli apa orang kata dan rajinlah menimba ilmu muzik, sesuatu yang akan saya teroka bagi mahirkan diri saya lagi dalam bidang seni," katanya lagi.



"Saya begitu teruja dengan bermacam kegiatan yang bakal diusahakan serta peluang kembali menyanyi. Malah, setiap kali bangun pagi terasa banyak perkara ingin dilakukan tetapi masa terlalu mencemburui saya! Ia pasti berbeza dengan dulu. Tak sempat pun nak santai-santai tonton aplikasi Netflix. Banyak ilmu baru untuk dipelajari dan dihadam."
- Hady Mirza, mengenai pelbagai projek baru yang bakal diceburinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >