Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Hannah Delisha rasa 'kick' watak aksi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Hannah Delisha rasa 'kick' watak aksi

Sep 29, 2019 | 05:30 AM



Keberanian sering menjadi 'teman' dan dibawa sebagai bekalan bagi dua selebriti wanita generasi milenial ini mengharungi cabaran dunia seni. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan tentang jerih payah mereka mengejar impian di luar zon selesa.



NIAT di hati bintang kacukan Inggeris-Melayu dari Singapura, Hannah Delisha, ingin berlakon dalam filem aksi yang memerlukan pergerakan lasak seperti KL Gangster: Underworld.



Namun, gadis manis berusia 22 tahun ini menyedari penampilannya yang comel dan tampak lembut lagi terlalu keperempuanan mungkin membuatkan penerbit filem aksi tidak yakin beliau mampu menggalas amanah tersebut dengan baik.



Justeru itu, apabila diberi peranan sebagai Sofea, jurulatih di gimnasium seni mempertahankan diri campuran (MMA) dalam drama Singapura, Saga (Musim Kedua), ia bak pucuk dicita ulam mendatang.



"Saya begitu teruja menjayakan watak Sofea yang terlatih dalam sukan tae kwan do. Orangnya berani bersuara apa yang terbuku di minda dan hatinya. Dia tegas meskipun amat menghormati bosnya, watak yang dibawakan Jeff Catz.



"Ada beberapa babak memerlukan saya membuat gerakan tae kwan do yang lasak. Semasa di sekolah, saya tidak pernah terlibat dalam sukan lasak. Saya boleh dianggap 'lembik' dahulu tetapi baru-baru ini sudah mula rajin ke gimnasium, sesuatu yang ingin saya teruskan demi kecergasan. Saya pun nak belajar bertinju.



"Kerana ini kali pertama saya menjayakan drama aksi, saya puas hati apabila mampu memberi tendangan tae kwan do. Ada kick kata orang. Ia berbeza daripada peranan si gadis manis yang lurus bendul dalam drama cinta yang biasa saya jayakan.



"Lagi pun, saya berada dalam set bersama pelakon Singapura yang handal-handal belaka. Jeff, Shah Iskandar, Hasnul Rahmat dan Imam Shah. Karisma mereka memang saya sanjung. Persamaan antara kami adalah kami semua bakat Singapura yang mencari rezeki di seberang Tambak," jelas Hannah yang nama sebenarnya, Hannah Adlina Blackburne Birch.



Bakat kecil molek ini mula dilihat di kaca televisyen setempat menerusi drama Farhana, Kemelut, Kathy Gerenti, Bingit Musim 4: Kurnia, Faculty dan 7 Hari.



Namun, apabila sayapnya ditebarkan ke Malaysia, beliau menjadi tarikan dengan namanya kian disebut-sebut dek penangan drama Mencintaimu Mr Photographer yang menggandingkannya dengan gandingan serasinya, Syafiq Kyle.



Hannah yang merupakan anak penyanyi tahun 1980-an, Noor Ashikin Ahmad, kemudian ditawarkan peranan utama sebagai Suri dalam filem Langsuir. Syafiq menjadi wiranya dalam filem itu.



"Sebenarnya, Hannah senang kembali ke negara sendiri dan berlakon dalam drama Suria atau Channel 5. Ada tawaran tetapi ia tidak dapat dilaksanakan kerana bertembung dengan penggambaran di Malaysia. Nampaknya tak ada rezeki sehinggalah Saga timbul dengan jadualnya dapat disesuaikan dengan tempoh rehat Hannah daripada projek di seberang.



"Lagi pun, baru sahaja selesai drama TV3, 30 Pesanan Suara. Masa Hannah dihabiskan dengan berkunjung ke acara-acara khas. Maka, inilah masa yang sesuai bagi Hannah menjalani penggambaran di Singapura. Selepas Saga, Hannah sudah mula sibuk di Malaysia," ceritanya yang ditemui di Studio Mediacorp bagi penggambaran Saga.



Drama yang menyambung kisah perjuangan penggiat MMA dengan ulitan kisah keluarga dan cinta ini bakal disiarkan sempena ulang tahun ke-20 Mediacorp Suria pada 25 Mac tahun depan. Ia disiarkan setiap Rabu mulai 9.30 malam di Suria dan Toggle.



Saga merupakan kerjasama bersama wadah promosi sukan MMA, Muay Thai dan tinju 'kickboxing', One Championship, dengan kemunculan bintang MMA, Amir Khan dan Agilan Thani sebagai watak undangan.



Menurut Hannah lagi, peranan sebagai Sofea agak mencabar kerana latar belakang watak ini perlu dibayangkan beliau sendiri. Berbanding watak lain yang diketahui sejarah hidupnya (daripada musim pertama Saga), Sofea adalah watak baru yang dicorak sebagai jurulatih yang juga bercinta dengan watak utama Zack (lakonan Imam).



Dalam pada itu, sebagai bakat milenial yang tidak gentar dengan sebarang cabaran dunia seni, beliau juga menanti peluang menjayakan projek filem Malaysia-Korea, hujung tahun ini.



"Kalau tiada halangan, saya akan melakonkan watak wirawati dengan wira dari Korea dalam filem romantik bercirikan unsur cereka sains. Ada kisah teknologi, babak aksi dan dunia penggodam.



"Walau saya bukan peminat setia drama Korea, projek ini tetap menawarkan dimensi baru dalam kerjaya seni saya," jelasnya yang suka siri filem adiwira Avengers.



Hannah juga berharap dalam masa terdekat, beliau juga akan mampu merealisasikan impiannya merakam single selanjutnya. Memandangkan bidang nyanyian juga merupakan bidang seni yang dicintai, beliau enggan mengabaikan sebarang peluang menghasilkan lagu baru.



"Setiap kali wartawan tanya, Hannah akan kata, 'Single baru akan keluar'...tapi tak keluar-keluar kerana kesibukan Hannah dengan dunia lakonan. Bagaimanapun, dalam masa terdekat, memang ia sesuatu yang Hannah ingin usahakan.



"Bahkan ada juga tawaran menjayakan program realiti Big Stage bagi 'Budak Baru Nak Up'. Sayangnya, tiada rezeki sebab jadual Hannah yang padat. Kita pun tak nak asal boleh masuk pertandingan tanpa persiapan dan komitmen," ujarnya.



Menyentuh tentang ciri-ciri pasangan lakonan yang ideal, Hannah hanya berharap dirinya digandingkan dengan pelakon yang suka merancang lebih awal dan berbincang dengannya bagi mendapatkan kata sepakat dalam babak yang perlu dihidupkan.



"Saya suka bekerja dengan Shukri Yahaya sebab senang bekerja dengannya. Orangnya pandai membuat kita selesa di set sebab dia santai dan suka berjenaka. Beliau selalu berbincang bagaimana kita nak tambah keberkesanan watak kita. Kita tak ada nak gaduh di set.



"Impian saya dapat bekerjasama dengan Sharnaaz Ahmad selepas ini. Kami pun berkongsi pengurus yang sama. Beliau juga pelakon berwibawa yang akan berbincang dengan rakan gandingannya bagi mewujudkan keserasian. Kita tak naklah pelakon yang buat hal sendiri dan payah diajak berunding, mengharapkan keajaiban berlaku di set," tambahnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >