TIDAK semestinya kehidupan seorang suri rumah yang sibuk dengan amanah menjaga anak dan membersihkan rumah itu membosankan lagi tidak bermaya.
Bagi belia prihatin seperti Cik Sofea Aini Abdul Rahim, 21 tahun, perlu ada ruang khusus yang memperkasa golongan suri rumah seperti ibunya.
Ruang itu boleh dijadikan tempat bergotong-royong di mana kumpulan suri rumah ini boleh menjahit, memasak atau bercucuk tanam bersama-sama sambil menguruskan rumah tangga.
Sekali gus, inisiatif itu dapat menghurai ketidaksamaan yang wujud antara lelaki dengan wanita dalam tugasan menjaga rumah tangga dan anak-anak.
Dalam mengetengahkan keprihatinan dan gagasannya, Cik Sofea, anak bongsu dalam keluarga lima beradik itu, menghasilkan projek rekaan ruang bertajuk Empowerment bagi projek tahun akhirnya di Politeknik Nanyang (NYP).
Model rekaan ruang bersepadu yang kelihatan seperti struktur rumah kampung dengan ambin buat orang ramai bersantai dan berinteraksi itu dipamerkan di pameran UNIT 19: Infuse yang berlangsung di ruang The Plaza, Perpustakaan Negara kini.
Ketika ditemui di NYP, Cik Sofea, pelajar tahun akhir Diploma Reka Bentuk Ruang itu berkata:
"Apabila berbual dengan sesetengah teman ibu yang merupakan suri rumah Melayu, saya mengesan wujudnya ketidaksamaan tugas antara suami dan isteri dalam menjaga rumah tangga dan anak-anak.
"Saya berminat mengambil tahu apakah punca utamanya dan bagaimana keadaan boleh diubah?
"Langsung saya terfikir tentang struktur ala rumah kampung dalam hutan batu di Singapura yang boleh menjadi ruang memperkasa suri rumah yang mengorbankan aspirasi kerjaya demi membina rumah tangga dan menjaga suami serta anak-anak."
Bagi mendapatkan pandangan tentang isu ini sebelum memikirkan konsep rekaannya, beliau menjalankan tinjauan rambang ke atas wanita berusia 40 tahun ke atas.
Cik Sofea ingin tahu apa yang mereka sering lakukan di kawasan bersejarah seperti Kandahar Street sekitar kawasan Kampong Gelam.
"Mereka akan terkenang semula nostalgia kawasan perkampungan di Singapura dengan kemeriahan bergotong-royong bak sebuah keluarga besar. Itulah yang mereka rindukan dalam konteks moden sekarang.
"Justeru, konsep rekaan ruang saya ini menekankan pada kegiatan yang boleh memperkasa dan menggembirakan mereka. Di tingkat dua bangunan ini, terasa kebebasan bergerak ke sana sini tanpa ada sekatan.
"Kalau ditanya tentang cabaran menjalankan projek ini, ia lebih pada mak cik-mak cik ini mengadu terlalu banyak soalan untuk dijawab," kongsinya sambil ketawa.