Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Ezad Lazim gagah ceburi nyanyian walau diuji penyakit

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ezad Lazim gagah ceburi nyanyian walau diuji penyakit

Sep 07, 2017 | 05:30 AM



KESIHATAN lebih diutamakan penyanyi kelahiran Alor Setar, Kedah, Ezad Lazim, sejak disahkan menghidap sejenis penyakit usus yang dipanggil 'gastroesophageal reflux disease (Gerd)'.



Malah, demi menakat dalam bidang nyanyian yang menjadi sumber pencarian, Ezad, atau nama sebenarnya Mohd Rohaizad Mohd Lazim, 37 tahun, tidak mampu mengabaikan perihal pemakanan.



Mentelah pula, beliau pernah terpaksa membatalkan penampilannya dalam rancangan kerjasama Mediacorp Suria dan RTM Muzika Ekstravaganza setelah dinasihati doktor di Hospital Tan Tock Seng.



Pemenang tempat ketiga dalam peraduan Gegar Vaganza 2 pada 2015 itu dirawat di situ selepas muntah darah menyusuli dua hari latihan Muzika Ekstravaganza di Singapura.



Keprihatinan Ezad, juga mantan vokalis Exists itu, dikongsi bersama Gah! ketika beliau di Singapura bagi Konsert Sejuta Harapan anjuran Jamiyah di Town Square@Our Tampines Hub baru-baru ini.



Konsert tersebut turut dijayakan legenda pop Datuk Jamal Abdillah dan bakat setempat yang sudah membina nama di seberang Tambak Sufi Rashid.



Ezad, yang ditemui di Hotel Capri By Fraser di Changi Business Park, berkata:



"Saya sebenarnya terkilan tak dapat buat persembahan di Singapura. Dah puas berlatih tetapi apakan daya, benda nak jadi. Kesihatan saya terjejas. Saya menanti lama di hospital bagi mendapatkan rawatan dan pengesahan doktor. Akhirnya, doktor minta saya berehat dan tidak meneruskan persembahan.



"Perihal kesihatan yang amat saya ambil berat sekarang ini kerana menyanyi sumber pencarian rezeki saya. Kalau tak sihat, bagaimana nak terus bekerja? Jadi, saya selalu berdoa agar nikmat kesihatan ingin saya perolehi demi mencari rezeki buat keluarga."



Dalam laporan dulu, kesihatan Ezad dikatakan terganggu sebelum Ramadan lagi. Dalam satu persembahan di Singapura sebelum Muzika Ekstravaganza, beliau pernah juga muntah dan kemudian dirawat di Hospital Putrajaya.



Ditanya tidakkah beliau ingin berlakon seperti dulu atau berjinak-jinak dalam dunia mengacara seperti sahabat karibnya Siti Nordiana dan beberapa rakan alumni Gegar Vaganza, Ezad tertawa seraya berkata:



"Saya antara lain pernah berlakon dalam filem Mami Jarum dan Kuliah Cinta, tetapi buat masa ini, tumpuan saya ialah bidang nyanyian. Minat saya menjurus ke arah menyanyi. Rasanya itulah kekuatan dan kecenderungan saya."



Buat masa ini, Ezad dalam rangka promosi single terbarunya Kuasa Cinta ciptaan Room None dan hasil tulisan lirik Iman Imran.



"Lagu ini ada kesinambungan dengan lagu terdulu saya Demi Cinta. Kalau lagu dulu mengisahkan seseorang yang memohon kemaafan daripada yang tercinta, lagu sekarang ini mengisahkan suasana yang kembali pulih dan cintanya pula mekar ke arah sesuatu yang positif," kongsinya.



Ezad akur Gegar Vaganza banyak membantu artis lama mencari jenama baru dalam memasarkan karya terkini.



"Ada artis lama yang seakan-akan tersembunyi kewujudannya dalam kalangan ramai artis masa kini, khususnya yang baru.



"Dalam zaman media sosial, orang yang buat benda pelik tetapi menghiburkan pun boleh menjadi tular!



"Ada yang menjual produk tetapi bijak merancang strategi seperti Datuk Seri Vida pun mampu mewarnai dunia hiburan.



"Cuma, janganlah abaikan luahan hati artis lama yang ingin mencari ruang dan peluang membuat persembahan.



"Diharapkan karya mereka masih lagi diterima pihak radio dan televisyen. Selepas Gegar Vaganza, harap rezeki kami semua terus ada," katanya.




"Ada artis lama yang seakan-akan tersembunyi kewujudannya dalam kalangan ramai artis masa kini, khususnya yang baru... Cuma, janganlah abaikan luahan hati artis lama yang ingin mencari ruang dan peluang membuat persembahan.  Diharapkan karya mereka masih lagi diterima pihak radio dan televisyen."
- Ezad Lazim.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >