Subuh
5:46
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:31
Maghrib
7:15
Isyak
8:27

Penyanyi lagu Mandarin berjiwa Melayu

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Penyanyi lagu Mandarin berjiwa Melayu

Sep 09, 2017 | 05:30 AM

BANYAK lagu cover dalam bahasa Inggeris dan Mandarin telah dinyanyikan penyanyi muda Aldrich Atcoustic.

Namun, lagu yang mendapat tontonan paling tinggi buat dirinya di YouTube ialah cover lagu Cintaku yang dirakam pada 2011.

Dalam kalangan pengikutnya di media sosial, sekitar separuh ialah pengguna bahasa Melayu atau Indonesia. Bakinya ialah pengikut berbahasa Inggeris dan Mandarin.

Disebabkan itu, apabila Aldrich, atau nama sebenarnya Aldrich Tjahjadi Christopher, merancang melahirkan album sulung, beliau mahu memuatkan lagu bahasa Melayu.

Beliau bukan sahaja menyanyikan lagu berjudul Cinta Ajaib, malah Aldrich, 30 tahun, menulis liriknya.

Warga Indonesia berbangsa Cina itu tidak canggung berbahasa Melayu. Semasa menuntut di sekolah menengah di sini, Penduduk Tetap Singapura itu mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu Lanjutan dan mendapat markah agak baik dalam peperiksaan.

Aldrich dilahirkan di sini, namun membesar di Indonesia. Pada 1998, beliau kembali ke Singapura untuk belajar dan kini berpangkalan di negara ini. Ibu bapanya berada di Indonesia.

"Saya berbangsa Cina, tapi mulut saya masih mulut Melayu. Saya suka makanan pedas dan menyanyikan lagu Melayu dan Indonesia, berbanding lagu Cina yang biasanya agak sentimental. Sebaliknya, lagu Melayu dan Indonesia lebih banyak unsur pop dan funk, menjadikannya lebih menarik.

"Jadi, sewaktu mahu menghasilkan album ini, saya merancang menyertakan lagu Melayu kerana saya mahukan lagu yang 'ringan' dan gembira.

"Cinta Ajaib ialah lagu yang membuat pendengar rasa gembira dan ceria. Ia mengenai lelaki 'nerd' atau selenga yang jatuh cinta dengan wanita cantik dan berusaha menawan hatinya," kata Aldrich, ketika dihubungi kelmarin melalui panggilan jauh ke Indonesia.

Akhirnya, album berjudul Rich dilancar November lalu dan mengandungi lima lagu yang ditulis Aldrich sendiri.

Cinta Ajaib, yang berentak 'pop funk' dan dipromosikan Kraton Music Publishing and Arts, kini dimainkan di corong radio setempat.

Menurut Aldrich, video muzik lagu itu boleh dijangka selewatnya awal tahun depan.

Selain bergelar pemuzik, Aldrich, pemegang ijazah sarjana muda jurusan perhubungan dan media baru Universiti Nasional Singapura (NUS), mengendalikan syarikatnya Atcoustic.

Atcoustic menawarkan muzik secara langsung buat majlis perkahwinan atau acara korporat. Beliau juga melakukan pemasaran digital bagi syarikat dan mengajar menyanyi serta memetik gitar.

Pemuzik berbakat yang juga boleh bermain piano, organ elektronik, dram dan ukulele itu mahu menolong golongan memerlukan di Singapura melalui muzik yang dihasilkannya.

Aldrich merancang menggunakan 20 peratus hasil penjualan albumnya untuk membeli hadiah buat warga emas dan keluarga miskin.

Pada musim Hari Natal, beliau akan mengunjungi rumah keluarga tersebut bagi menyampaikan hadiah dan mendendangkan beberapa lagu.

"Kalau dibandingkan bantuan yang dihulur pertubuhan besar, bantuan saya ini amat kecil. Tapi saya mempunyai muzik yang boleh saya kongsi dengan golongan ini. Saya berharap muzik saya dapat membawa sedikit keceriaan dalam kehidupan mereka," ujarnya, yang juga bekas pekerja sosial itu.

Beliau menambah bahawa judul album Rich ialah singkatan Reach Into Community Homes (Mendekati Rumah dalam Masyarakat).

"Ini yang saya mahu lakukan melalui album saya. Saya mahu paparkan muzik dan meraih sedikit keuntungan. Namun, lebih daripada itu, saya mahu muzik saya mengandungi makna. Saya mahu menyumbang kembali kepada masyarakat dan mengajak orang lain turut serta," kata Aldrich.

Ikuti perkembangan Aldrich di laman aldrichatcoustic.com dan Facebook, Instagram dan YouTube 'Aldrich Atcoustic'.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3