PENYANYI dan gitaris Singapura Zul Sutan, yang juga anggota kumpulan rok Tania, meninggal dunia di Hospital Universiti Nasional (NUH) hari ini (5 Dis) pada usia 61 tahun.
Allahyarham, yang menyerikan industri hiburan setempat selama lebih empat dekad, meninggal dunia dua bulan selepas menerima Anugerah Kecemerlangan Artistik di Anugerah Persatuan Penggubah dan Penulis Lirik Singapura (Compass).
Keluarga Allahyarham mengesahkan kematiannya kepada The Straits Times namun enggan memberi butiran lanjut.
Menurut mereka, Allahyarham meninggal dunia disebabkan komplikasi kesihatan.
Beliau meninggalkan balu Cik Sharifah Zaiton, 60 tahun, anak lelaki Encik Carleel, 32 tahun, dan Encik Imran Careem, 22 tahun, dan anak perempuan Cik Cardejah, 30 tahun, dan Cik Sarah Carmariah, 28 tahun.