Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Seni bina corak seni persembahan penyanyi Nabila Razali

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Seni bina corak seni persembahan penyanyi Nabila Razali

Feb 11, 2018 | 05:30 AM



Mereka miliki segalanya - pelajaran tinggi, kecantikan dan bakat menyanyi atau berlakon yang luar biasa. Kian ramai bakat muda Malaysia yang mencetus fenomena dalam industri hiburan Malaysia memiliki kelulusan dalam bidang bukan kesenian, media atau komunikasi. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan.



TIDAK semua bakat nyanyian 'meletup' sejurus dikenalkan ke pasaran menyusuli peraduan realiti yang disertai.



Bagi finalis Akademi Fantasia (AF) 2013, Nabila Razali, kepopularannya mungkin memakan masa dan hanya dikecapi empat tahun selepas peraduan itu.



Namun, tiada yang harus dikesali kerana beliau mengikut pepatah Melayu biar lambat asal selamat.



Sepanjang tempoh dirinya 'menghilang', Nabila, yang nama sebenarnya Nur Nabila Mohd Razali, gigih memburu ijazah sarjana muda bidang seni bina (kejuruteraan) di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang.



Beliau sempat menghasilkan 'single' Katakan Saja (2013) dan Cemburu (2016).



Rezekinya bagaimanapun terletak pada kehebatan lagu Pematah Hati yang dihasilkan tahun lalu.



Lagu tersebut menjadi siulan pelbagai lapisan masyarakat, bahkan 'memancing' perhatian kanak-kanak kerana lirik 'cumi cumi' yang diulang. Malah, sudah ada lagu parodinya di YouTube.



Dalam kesempatan Gah! bertemu Nabila, 25 tahun, dalam sesi bertemu peminat Singapura di Charisma D'Venue Ahad lalu, beliau mendedahkan rancangan masa depannya.



Acara tersebut turut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada peminat Nabila di Brunei dan Johor walaupun dianjurkan pada saat-saat akhir oleh ADPutera Event Management dengan sokongan Seventeen Eleven Music.



Buat masa ini, beliau menundakan pengajian ijazah sarjana bidang seni bina di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kerana ingin memberi tumpuan pada promosi Pematah Hati.



"Sebenarnya, saya pilih bidang seni bina kerana saya gemar melukis sejak dulu.



"Sewaktu menyertai AF, memang saya terkejar-kejar dek jadual yang padat. Kadangkala terpaksa ponteng kelas.



"Tapi saya ingat pesan ibu bapa yang ingin saya tamat pengajian walau kecenderungan saya lebih pada menjadi penyanyi.



"Saya perlu fokus pada satu cabang terlebih dulu dan memilih menyanyi selagi orang suka dengan Pematah Hati dan nak tahu siapa Nabila Razali serta produk yang dihasilkan.



"Saya takkan lupakan bidang seni bina. Kalau pun tak banyak persamaan antara seni bina dengan seni nyanyian, tetap ada unsur seni bina atau ilmu seni bina yang boleh saya manfaatkan.



"Misalnya, bagaimana nak mencorak atau mereka bentuk sesuatu persembahan. Ini sama seperti melakar seni bina bangunan pada kertas atau layar komputer," kongsinya.



Ditanya bagaimana AF mengubah hidupnya, Nabila tersenyum seraya berkata bahawa persiapan emosi, mental, fizikal dan daya persembahannya berubah berkat pengalaman dalam peraduan itu.



"Kalau dulu saya terkesan dengan komen negatif yang orang sampaikan, sekarang saya lebih positif menangani ujian dunia hiburan.



"Sewaktu saya diberi peluang berlakon dalam drama bersiri Hikayat Cinta Si Pematah Hati bersama Alif Satar, terharu dibuatnya apabila respons penonton amat menggalakkan.



"Sebelum ini, memanglah ada cakap lakonan saya dalam telefilem dulu nampak macam kayu atau kaku.



"Saya perlu banyak dapatkan pandangan rakan dalam industri seperti Amira Othman yang menjayakan drama Abang Bomba I Love You.



"Tak boleh segan-segan. Mesti nak rajin dan berani bertanya dengan orang yang lebih berpengalaman agar kita tahu apa yang dijangkakan daripada diri kita," ujarnya.



Terharu dengan kepercayaan penerbit terhadap kebolehannya, Nabila turut 'dilamar' bagi watak pembantu dalam drama Cintaku Di Bumi Izmir.



Drama yang dijayakan Engku Ismail itu akan menjalani penggambaran di Turkey bulan depan.



Nabila melakonkan watak pelajar asing di Turkey yang ceria dan positif meniti kehidupannya.



"Rasanya macam bukan berlakon dalam drama ini. Sebabnya, wataknya positif dan ceria macam diri saya sendiri," dedahnya.



Dengan Pematah Hati menjadi lagu 'hit' di pelbagai stesen radio serantau termasuk di Singapura dan Brunei, Nabila akur sangat teruja bercampur takut.



"Saya tak tertekan tapi tentunya dalam mencari bahan selanjutnya, saya dan pihak pengurusan perlu pertingkat mutu lagu agar setanding Pematah Hati atau lebih baik daripadanya.



"Lagu tersebut memang mengubah 2017 saya dengan usaha kini giat dijalankan bagi memperkukuh dan menyegarkan semula jenama Nabila Razali," ujarnya.



Tentang tiga penyanyi lelaki yang menjadi pilihan jika berpeluang berpadu suara, beliau tanpa ragu-ragu menyebut:



"Alyph Sleeq, Hael Husaini dan Ismail Izzani. Alyph ada sentuhan tersendiri dalam menghasilkan lagu. Muziknya ada identiti.



"Hael pula sangat berbakat. Rasa saya dia tertelan piano semasa bayi! Sebab kalau kita lepak dengannya, dalam masa lima minit sahaja, dia dapat hasilkan satu lagu.



"Ismail pula generasi penyanyi muda Malaysia yang boleh disamakan seperti Justin Bieber dan Shawn Mendes. Dia dapat pikat hati penonton dan miliki aura tersendiri.



"Disebabkan saya sukakan irama ceria dan positif, maka seronok rasanya kalau dapat berduet di pentas dan rakam lagu bersama mereka."




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >