APABILA sedang dalam proses merancang lirik rap bagi konsert Sing50, permintaan pertama yang diutarakan penyanyi rap terkenal negara, Sheikh Haikel, ialah sama ada beliau boleh menyelitkan penggunaan frasa Melayu dalam lirik yang perlu ditulisnya itu.
"Bak kata pepatah, bahasa menunjukkan bangsa. Jika orang Melayu lupa bahasa, maka boleh hilanglah bangsa nanti," ujar Haikel yang sering memastikan ada unsur bahasa atau budaya Melayu dalam albumnya meskipun beliau lebih dikenali masyarakat umum menyanyi lagu rap berbahasa Inggeris.