Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Syed Azmir jurulatih bola sepak

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Hiburan
39
0

Syed Azmir jurulatih bola sepak

Naib juara Anugerah 2005 buat keputusan tinggalkan kerjaya sebagai penyanyi selepas dapat galakan isteri agar kembali aktif dalam sukan bola sepak tatkala kerjayanya dalam dunia hiburan mulai suram
Feb 24, 2016 | 10:34 AM



SUDAH lima tahun bekas penyanyi Syed Azmir Syed Azman menggantung mikrofon.


Beliau kini kembali menyarung jersi dan turun ke padang bola sepak bagi menjalani latihan. Tetapi, Azmir bukan pemain, sebaliknya jurulatih bola sepak.


Syed Azmir, 32 tahun, yang pernah bergelar naib juara Anugerah 2005, kini jurulatih bola sepak Kelab Bola Sepak Home United (HUFC), satu jawatan yang beliau pikul sejak tiga tahun lalu.


Namun, mengapakah Syed Azmir atau lebih mesra dengan panggilan Azmir menukar haluan kerjayanya?


Soalan itu membuat Azmir tersenyum lebar semasa Berita Minggu menemuinya di pejabat HUFC.


Menurut Azmir yang tampil santai dan kelihatan cergas, isterinya telah memainkan peranan besar memberinya dorongan dan semangat agar kembali aktif dalam sukan bola sepak tatkala kerjayanya sebagai penyanyi mulai suram.


"Dia (isterinya yang ketika itu masih temanitanya) bersungguh-sungguh menyuruh saya ikuti kursus mendapatkan lesen sebagai jurulatih bola sepak.


"Saya rasa saya perlukan seseorang yang boleh memberitahu saya secara terus terang bahawa perjalanan saya sebagai penyanyi sudah tamat. Sudah tiba masanya saya mencari pekerjaan yang lebih mantap,'' kata Azmir yang telah bernikah pada 2012.


Jelasnya, beliau telah pulang ke Singapura pada 2011 selepas kontraknya bersama syarikat rakaman Wake The Baby, milik penyanyi dan penggubah lagu Ajai, tamat di Kuala Lumpur.


Sejurus pulang ke tanah air, beliau mendapat tawaran berlakon dalam drama bersiri seperti Putri Omera, Pinggiran Ramadan dan Kopi Bujang.


Beliau kemudian membuat keputusan mendengar nasihat isterinya kerana masih meminati bola sepak.


Sebelum menyertai pertandingan menyanyi Anugerah, beliau telah dipilih bermain bersama pasukan Akademi Bola Sepak Nasional bagi kategori bawah 18 tahun; pasukan Kelab Bola Sepak Sembawang Rangers; dan pasukan Angkatan Bersenjata Singapura (SAFSA).


Sudah menjalani latihan bola sepak secara serius sejak usia 13 tahun, Azmir telah membesar dengan pemain bola sepak nasional seperti Baihakki Khaizan, Hassan Sunny dan Shahril Ishak.


"Saya cekalkan hati dan menghubungi Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) walaupun hati berdebar-debar. Saya menyampaikan hasrat mahu mengikuti kursus menjadi jurulatih.


"Mulanya saya bimbang kerana saya khuatir FAS anggap saya tidak serius," kata Azmir.


Hatinya lega apabila beliau mendapat panggilan daripada jurulatih bola sepak veteran, Jita Singh, pada keesokannya.


Jurulatih veteran itu telah memberitahu Azmir tentang satu program yang membolehkan Azmir mendapatkan tajaan daripada Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) selepas beliau mengikuti Kursus Sijil Jurulatih 'C' AFC.


Tanpa berlengah, Azmir mendaftarkan diri mengikuti kursus tersebut.


Beliau terpilih mendapatkan tajaan itu dan dihantar ke luar negara seperti China dan Malaysia untuk menjalani latihan.


Pada 2012, beliau mendapat pekerjaan sebagai jurulatih di Kelab Bola Sepak Geylang International bagi membimbing pasukan bawah 14 tahun.


Pasukan itu berjaya memenangi tempat kedua.


Selepas itu, beliau mendapat pasukan HUFC bagi kategori bawah 15 tahun.


"Menyertai HUFC adalah satu peluang keemasan kerana ia dianggap kelab bola sepak yang baik dari segi pengurusan dan perkembangan jurulatih.


"Tapi, saya tahu saya perlu bekerja keras bagi membuktikan bahawa saya boleh menggilap bakat pemain saya," kata Azmir.


"Bagaimanapun, tahun pertama agak sukar," ujar Azmir yang kini mempunyai lesen jurulatih 'B' AFC dan berharap dapat mendapatkan lesen jurulatih 'A' tahun ini.


Selain itu, beliau juga dilantik membimbing pasukan bola sepak di Sekolah Menengah Coral.


"Pemain belia masih melihat saya sebagai penyanyi. Saya perlu membina kepercayaan mereka dan menunjukkan bahawa saya serius terhadap latihan bola sepak sehinggakan saya pernah memarahi mereka jika tidak serius menjalani latihan,'' kata Azmir.


Titik perubahan pemainnya timbul selepas pasukan bola sepak Sekolah Menengah Coral memenangi Kejohanan Bola Sepak Antara Sekolah Zon Timur pada 2013.


Ia satu pencapaian besar buat pasukan bola sepak sekolah itu.


Kini, selepas tiga tahun menjadi jurulatih, Azmir gembira dengan kehidupannya.


Bapa dua anak lelaki berusia setahun dan dua tahun itu berkata:


"Saya selesa dengan suasana pekerjaan di HUFC dan gembira mempunyai isteri dan anak yang penyayang."


Pernahkah beliau kesal menceburi bidang nyanyian suatu ketika dahulu?


"Ada rasa kesal tapi bekas jurulatih saya, Vincent Subramaniam, pernah menasihatkan saya supaya jangan kesal dengan masa lalu saya. Beliau minta saya fokus jika saya benar-benar serius ingin menjadi jurulatih. Itu membakar semangat saya mahu menjadi jurulatih yang baik," kata Azmir.


Tahun ini, beliau melatih pasukan HUFC bagi kategori bawah 17 tahun.


Matlamatnya sebagai jurulatih ialah melihat kemahiran pemainnya meningkat dan melihat seramai mungkin pemainnya layak dipilih untuk Liga Prime.


"Saya gembira menjadi jurulatih bersama HUFC sebab kelab bola sepak ini memberi tumpuan pada belia dan mahu membawa mereka ke tahap seterusnya. Ini memberi saya motivasi agar kekal bersama kelab ini selama mungkin," kata Azmir.



"Ada rasa kesal tapi bekas jurulatih saya, Vincent Subramaniam, pernah menasihatkan saya supaya jangan kesal dengan masa lalu saya. Beliau minta saya fokus jika saya benar-benar serius ingin menjadi jurulatih. Itu membakar semangat saya mahu menjadi jurulatih yang baik.''


- Syed Azmir Syed Azman ketika ditanya adakah beliau kesal menceburi bidang nyanyian suatu ketika dahulu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >