Subuh
5:41
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

Ibu tunggal cekal besarkan 4 anak: 2 sakit ginjal, ada rendah IQ

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ibu tunggal cekal besarkan 4 anak: 2 sakit ginjal, ada rendah IQ

May 01, 2019 | 05:30 AM



Seramai 83 individu telah diiktiraf di bawah Anugerah Kemanusiaan Jagaan Kesihatan (HHA) kerana mempamerkan keberanian serta rasa ihsan kepada golongan memerlukan. HHA ditubuhkan pada 2004 di bawah Dana Keberanian. Ia menghargai dan mengiktiraf karyawan jagaan kesihatan yang menawarkan khidmat melebihi tugasan mereka. FARID HAMZAH (farid@sph.com.sg) menemu rumah dua penerima tahun ini.




SEJURUS sahaja suaminya meninggal dunia akibat nahas ngeri di jalan raya pada 2010, kehidupan Cik Rokiah Atnen berubah dalam sekelip mata.



Bukan sahaja beliau hilang tempat bergantung dari segi menampung perbelanjaan keluarga, malah ibu tunggal empat anak itu tiada lagi tunggak yang dapat membantunya menjaga dua anak mereka yang menghidap masalah kesihatan.



Anak pertamanya, Encik Mohd Nizam Ahmad, 30 tahun, dan anak keduanya Encik Mohd Nasir, 26 tahun, menghidap masalah buah pinggang yang memerlukan rawatan.



Sedang Encik Mohd Nizam memerlukan ubat yang perlu dimakan setiap hari, Encik Mohd Nasir pula, turut mengalami masalah rendah IQ (darjah kecerdasan otak), selain perlu menjalani dialisis tiga kali seminggu.



Anak ketiganya, Encik Mohd Rahmat, 22 tahun, yang pernah dimasukkan ke sekolah bagi golongan kurang daya intelek, bekerja sebagai penghantar barangan sementara yang bongsu, Khairul Nazri, 13 tahun, kini menuntut di Institut Pendidikan Teknikal (ITE).



"Dulu arwah suami jadi tempat bergantung. Bukan sahaja beliau pencari nafkah keluarga dan tempat mengadu, tapi beliau juga sama-sama bantu jaga anak-anak kami yang ketika itu masih kecil.



"Tapi bila beliau meninggal dunia, memang agak sukar juga buat saya sesuaikan diri dengan keadaan sebenar," jelasnya.



Kini tiga kali seminggu, Cik Rokiah akan menghantar Encik Mohd Nasir ke pusat dialisis di Tampines dengan setiap sesi mengambil masa sekitar empat jam lamanya.



Setiap kali ke sana dengan menaiki bas, beliau akan membawa bekalan makanan sebagai isi perut anaknya dan juga dirinya sendiri bagi menjimatkan perbelanjaan.



Menyingkap peristiwa ketika nahas meragut nyawa suaminya, Cik Rokiah berkata beliau meninggal dunia dalam kemalangan ngeri apabila kren sepanjang lima meter yang dipasang di belakang sebuah lori merempuh bahagian tempat duduk atas sebuah bas yang dinaikinya.



Allahyarham dilaporkan duduk di barisan paling belakang di tempat duduk atas bas tersebut apabila ia dirempuh.



Kesan nahas itu menyebabkan suaminya meninggal dunia di tempat kejadian.



Menurut Cik Rokiah, banyak bantuan yang dihulur selepas kejadian itu, namun kini beliau sekeluarga yang tinggal di Bedok North Road hanya menerima bantuan bulanan berjumlah $300 dari Masjid Al-Ansar, selain makanan kering daripada beberapa individu.



Beliau juga bergantung kepada pendapatan bulanan sekitar $600 yang diterima anak ketiganya.



"Alhamdullilah, pandai-pandailah kami jaga perbelanjaan. Memang sukar, tapi sejauh ini anak-anak saya masih dapat saya jaga," jelasnya yang tidak bekerja.



Di atas ketabahan dan tidak kenal erti penat, Cik Rokiah telah menerima Anugerah Kemanusiaan Jagaan Kesihatan (HHA) tahun ini.



Selain sijil, beliau turut menerima wang tunai sejumlah $1,500.



Seorang jurucakap Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) yang mencalonkan Cik Rokiah untuk anugerah itu berkata:



"NKF menghargai Cik Rokiah di atas semangatnya dalam menjaga keempat-empat anaknya.



"Perjalanan yang dilaluinya tidak mudah tapi kekuatannya menghadapi kesukaran patut dipuji.



"Kami ingin meyakinkannya yang beliau tidak akan melalui perjalanan ini seorang diri. Kami semua di NKF akan terus menyokongnya."



Memberikan komen mengenai anugerah yang diterimanya, Cik Rokiah yang menghabiskan kebanyakan masa di rumah di samping anak-anaknya berkata:



"Yang pasti, wang yang saya terima akan digunakan untuk kami sekeluarga.



"Tiada yang lebih penting daripada anak-anak saya."




"NKF menghargai Cik Rokiah di atas semangatnya dalam menjaga keempat-empat anaknya. Perjalanan yang dilaluinya tidak mudah tapi kekuatannya menghadapi kesukaran patut dipuji. Kami ingin meyakinkannya yang beliau tidak akan melalui perjalanan ini seorang diri. Kami semua di NKF akan terus menyokongnya."
- Jurucakap Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) yang mencalonkan Cik Rokiah Atnen untuk Anugerah Kemanusiaan Jagaan Kesihatan (HHA) tahun ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >