Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:18

Idola pop berbangsawan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Idola pop berbangsawan

Nov 05, 2017 | 05:30 AM



KUALA LUMPUR: Sedang teman mereka, Muhammad Ridzuan Sharifuddin (One), memperjuang suara lunak merdunya di Indonesia menerusi peraduan D'Academy Asia 3, tiga jejaka tampan Forteen yang lain pula teruja keluar daripada zon selesa menyanyi, dan berlakon dalam drama kontemporari.



Teater bangsawan Bahara Emas malah menjadi 'singgahsana eksperimen' bagi Mohammad Izzul Islam Mazlan (Izzue Islam), Saiful Ridzuan Abdul Hamid (Ariz) dan Mohamad Arif Ameerais Azhar (Ameer) antara 19 dan 22 Oktober lalu.



Sedang Izzue membawa watak sebagai Tun Busu, Ariz pula adalah Raja Ahmad. Ameer membawa watak sebagai lelaki Portugis, Suzer.



Jika kebiasaannya mereka merupakan idola pop, Izzue, Ariz dan Ameer kini perlu mengembara masa dan menyesuaikan tutur kata dengan konteks zaman raja-raja dahulukala.



Pementasan percuma di auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur itu diarah Dekan Fakulti Teater Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara), Rosminah Mohd Tahir.



Penerbitnya pula ialah Siti Rohayah Attan daripada CTRA Production. Beliau menerbitkan beberapa pementasan teater yang bermain di bibir ramai seperti Ombak Rindu, Muzikal Tun Mahathir dan Lantai T. Pinkie.



Bahara Emas, yang turut dijayakan pelakon bukan calang-calang, Esma Daniel, Farahdhiya, Amar Asyraf, Datuk Jalaluddin Hassan dan Norzizi Zulkifli, diadakan sebagai salah satu program sempena ulang tahun ke-50 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Ia juga memberi peluang kepada SPRM mendekatkan diri dengan masyarakat melalui kaedah seni.



Secara umum, Bahara Emas mengetengahkan tentang bahaya rasuah yang boleh meruntuhkan kerajaan hebat seperti Kesultanan Melayu Melaka.



Ketika ditemui Gah! selepas tamat pementasan, Izzue, 27 tahun, berkata:



"Dunia teater memang sesuatu yang baru buat saya. Saya pernah terlibat dalam pementasan teater Ombak Rindu, Maduku Kalut dan Projek Kahwin.



"Lantaran itu, saya gementar bercampur teruja apabila ditawarkan peranan sebagai Tun Busu dalam Bahara Emas.



"Mana nak fikir tentang lenggok bahasa istana, adegan bersilat dan juga pergerakan tubuh dalam sesuatu babak?



"Tapi, saya gembira dan bersyukur kerana pihak penerbitan memberi kepercayaan kepada pelakon muda seperti saya, Ariz dan Ameer agar menjayakan bangsawan ini. Ia satu peluang merebut ilmu baru dalam bidang seni."



Izzue menambah bahawa peluang sama-sama berteater dengan dua rakan karibnya itu merupakan satu peluasan pada kerjaya seni mereka.



"Sebilangan anak muda dah kenal Forteen sebagai band pop. Ia juga satu cara kami menarik generasi muda ini ke pementasan bangsawan. Lagipun, ini bukan setakat kisah orang dahulukala tanpa sebarang pesanan tertentu. Ada mesej antirasuah yang boleh dihadam," jelasnya.



Yang menariknya, anggota Forteen bergerak bebas memajukan projek individu masing-masing walaupun masih aktif secara berkumpulan.



Izzue menjayakan filem XX Ray 3 arahan Aziz M. Osman, selain giat mempromosikan single Forteen, Apa Ini Cinta, dan lagu solonya, Sahabat, yang dicipta bersama isteri dan pengurusnya, Awin.



Ariz, 28 tahun, menganggap peluang menghidupkan watak Raja Ahmad itu membawanya menjelajah identiti dan budaya Melayu yang sebenar.



"Saya tertarik pada bahasa istana yang digunakan kerana kehalusan budi bicaranya dan susunan katanya yang jauh beza daripada perbualan harian kita.



"Kalau dulu dalam teater Ombak Rindu saya diuji jadi samseng, kini saya jadi orang berketurunan raja pula. Tentu ia membawa pengajaran yang berbeza," katanya.



Ameer, 27 tahun, yang pernah tersenarai sebagai antara '50 Bujang Trang-Tang-Tang Paling Top' majalah Cleo Malaysia pula akur banyak lagi aspek lakonan perlu diperbaiki.



"Kami bermula sebagai penyanyi dari 2010 sampailah sekarang. Baik buat penyanyi cuba menjayakan teater sebab ia akan meniup kesegaran dalam kerjaya seni kami.



"Peluang berlakon bersama Ariz dan Izzue di bawah satu bumbung merupakan rezeki. Kami bergandingan dengan pelakon teater dan drama lebih mapan.



"Sedang One sibuk timba ilmu berdangdut di Indonesia, kami pula sibuk berbangsawan!" kongsinya.



Kalau nak difikirkan, dalam dunia hiburan Barat, ramai penyanyi yang 'terjun botol' terlibat dalam dunia teater muzikal.



Mereka meraih kepuasan berbeza apabila berdepan dengan penonton dalam pementasan spontan secara langsung.



Antara yang pernah mencuba muzikal Broadway termasuk penyanyi rok, Sebastian Bach, daripada kumpulan Skid Row; penyanyi irama conga, Gloria Estefan; dan pasangan duet adik-beradik, Donny Osmond dan Marie Osmond.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >