Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Impian Young Khalifa bergelar 'Perwira Rap'

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Impian Young Khalifa bergelar 'Perwira Rap'

Nov 16, 2019 | 05:30 AM



SETIAP impian bergelar 'rapper' yang ditebar anak muda Muhammad Iskandar Roswira pernah menerima kecaman daripada rakan sebaya yang menyangka beliau setakat berangan-angan.



Namun ibunya sering berpesan kepada Iskandar, 24 tahun, yang kini menggunakan nama pentas Young Khalifa, semangat tidak mudah putus asa itu harus menebal dalam dirinya bagi mencapai impian.



Nasihat itulah yang dipegangnya dengan dirinya kini sudah merakam 'single' ciptaan Syko G dengan konsep muzik reggaeton yang rancak lagi santai, Me Gusta/Aku Suka, di bawah label rakaman Malaysia, MAP Music.



Label tersebut adalah yang memajukan band fenomena anak muda, Projector Band, yang popular dengan lagu Sudah Kutahu.



Di Singapura, Young Khalifa yang pernah menghasilkan 'single' dalam bahasa Inggeris, Don't Let Go, bernaung di bawah syarikat pengurusan artis Voz Management.



Sebelum ini, beliau menyampaikan kata-kata nasihat dan luahan rasa positif menerusi wadah penstriman langsung Bigo Live, yang menjadi tumpuan golongan milenial.



Ketika ditemui di pejabat Berita Harian baru-baru ini, anak sulung tiga beradik itu, berkata:



"Alhamdulillah, setelah empat tahun mengasah kemahiran rap dan mendapat sambutan menerusi Bigo Live, kerja seni saya akhirnya menarik perhatian Voz Management.



"Saya membuat persembahan rap sebagai rencah pada lagu bakat Singapura Eriy Ryzale, Panas, dalam acara pelancaran lagu-lagu bakat Singapura, Serumpun.



"Saya bersyukur apabila MAP Music ingin mempromosikan lagu-lagu saya di Malaysia. Ia satu peningkatan daripada tempoh saya rasa teraniaya kerana diberi janji-janji kosong oleh penganjur tidak bertanggungjawab.



"Banyak yang dikorbankan tetapi akhirnya tiada hasilnya. Saya juga berusaha gigih mendapatkan peluang membuat persembahan di tempat awam malah dalam apa jua kesempatan termasuk di Bazar Geylang, saya tawarkan diri ingin jadi seniman jalanan dan berkongsi dendangan rap saya."



Young Khalifa lebih ingin memaparkan rap sebagai sajian muzik positif, jauh daripada takrifan ramai bahawa ia membawa pengaruh tidak baik dari segi gaya hidup bebas, sebagaimana yang diuar-uarkan dalam muzik rap Barat.



"Semasa saya mula tertarik pada wadah Bigo Live bagi berkongsi luahan rasa saya tentang kehidupan sebagai anak muda, saya terfikir nama apa nak digunakan sebagai nama pentas.



"Ibu saya yang menyarankan saya menggunakan nama Young Khalifa kerana merasakan ia lambang semangat pahlawan yang ibu ingin saya miliki dalam memperjuangkan contoh atau nilai baik menerusi lagu buat anak muda.



"Siapa tahu ada yang terkesan dengan lagu-lagu rap yang saya sajikan dan tergerak membuat perubahan dalam diri ke arah kebaikan," katanya lagi.



Beliau juga melihat Bigo Live sebagai wadah canggih serta luahan rasa anak muda yang gemarkan kespontanan menyampaikan rasa gembira, sedih mahupun marah.



"Kerana itu, saya menjadikannya tempat saya memberi galakan dalam proses saya juga menasihati diri saya tentang kehidupan," jelasnya.



Young Khalifa juga pernah mencuba nasib dalam peraduan realiti Asia's Got Talent tetapi terkandas di tengah jalan.



Sebagai sebahagian duo Last Minute Crew, beliau menyedari persiapan amat perlu meskipun kespontanan membuat persembahan dengan lirik rap mencurah-curah menjadi kekuatan dirinya.



Keserasian dengan rakan duet juga ditekankan bagi keharmonian sesebuah lagu.



Tatkala itu, beliau terharu apabila pengadil antarabangsa Asia's Got Talent, Jay Park, memuji dendangan rapnya yang disifatkan sebagai baik dan bertenaga.



"Sayang sekali, keserasian tidak wujud antara saya dengan rakan saya. Paduan suara kami kurang 'ngam'. Pengadil juga dapat rasakan kami kurang bersedia dan membuat persiapan di saat-saat akhir. Lihat sahaja nama kami, Last Minute Crew!



"Saya banyak belajar daripada pengalaman tersebut agar lebih serius dan buat seribu daya kalau benar-benar inginkan sesuatu menjadi kenyataan," katanya lagi.



Ditanya tentang Me Gusto/Aku Suka, beliau berkata:



"Ia adalah lagu santai tentang kemahiran menari seorang jejaka yang menarik perhatian si gadis.



"Dengan saya kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Voz Management, saya berharap dapat mempelajari lebih dalam lagi tentang persembahan dan proses rakaman.



"Kalau dahulu, saya rakam lontaran rap saya hanya dengan telefon bimbit, sekarang saya diberi panduan dari segi sebutan bahasa Melayu yang jelas dan panduan menjaga stamina atau meluah kreativiti.



"Segala kecaman orang tentang keadaan fizikal saya yang kurus atau tanggapan mereka bahawa saya hanya berangan-angan kosong mampu saya ketepikan.



"Segala kekecewaan apabila dibohongi atau dipermainkan mereka yang mendakwa diri mereka peka tentang bakat Singapura juga terubat kini. Saya hanya ingin beri lebih daripada 100 peratus terhadap bidang seni."



Kadangkala, Young Khalifa juga merasakan bahawa dirinya ibarat bermimpi di siang hari kerana berpeluang merakam lagu di studio rakaman Malaysia malah bertemu dengan beberapa karyawan muzik.



"Masih teringat jerih payah mencuba nasib, pergi dari satu tempat ke satu tempat ibarat minta belas penganjur 'gig' nak buat persembahan walau setakat sebagai seniman jalanan," katanya lagi.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >