Subuh
5:43
Syuruk
7:06
Zuhur
1:12
Asar
4:36
Maghrib
7:17
Isyak
8:31
Gaya Hidup

BUAL LEGENDA

Isteri bakar semangat Jatt gagahi cabaran lagu 'rap'

Dec 30, 2019 | 05:30 AM

SUARA nyaring penyanyi band legenda Black Dog Bone (BDB), Jatt Ali, berkumandang setiap munculnya Lebaran dengan Cahaya Aidilfitri.

Tatkala mendengar lagu balada Leo Sayer, When I Need You, teringat pula versi BDB, Bila Rindu, yang didendangkan Jatt penuh syahdu.

Setiap pencinta damai pula akan terkesima dengan lagu solonya, Merpati Putih.

Pendek kata, tak terkira bilangan lagu ikonik dan 'hit' yang dinyanyikan bintang kecil molek berambut keriting ini.

Sejak beberapa bulan lalu, Jatt, yang nama sebenarnya Tahir Ali, 63 tahun, menjadi nama yang bermain di bibir ramai penggemar seni khususnya penonton rancangan realiti Astro, Gegar Vaganza 6 (GV6).

Jumlah pengikut Instagramnya juga sudah mencecah 25,400 orang.

Di sebalik dirinya akur berbelit lidah menyanyikan lagu rap Ahli Fiqir, Angguk Angguk Geleng Geleng, sebagai pertarungan bersama Sham Visa di pentas akhir GV6 tempoh hari, Jatt tetap pilihan bagi menduduki tangga ketiga peraduan.

Jatt yang saya kenali cukup disiplin dari segi masa. Dalam janji temu awal kami bagi siaran podcast Berita Harian, #NoTapis, di pejabat kami, beliau datang setengah jam lebih awal daripada yang dijadualkan.

Beliau santai, selamba, jujur dan tidak banyak berahsia seperti sebilangan artis lain. Saya kira prinsipnya, 'Berani kerana benar... Buat apa nak takutkan kisah yang sudah berlalu?'

Sewaktu ditemui pada sesi jamuan GV6 di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), beliau tampak seronok makan sate.

"Lama dah pantang makan benda-benda ni. Kalau tidak, diet saya hanya terbatas pada salad, ayam panggang dan udang," jelasnya.

Saya dan ramai lagi bangga dengan pencapaian Jatt kerana beliau satu-satunya peserta GV melepasi usia 60 tahun yang berada di tiga tangga teratas peraduan peringkat akhir.

Malah, bagi beberapa minggu pula, beliau pernah dinobatkan sebagai peserta dengan markah tertinggi.

"Saya sebenarnya tidak sangka... macam mimpi pula dapat tempat ketiga. Seperti yang saya katakan dahulu, semua peserta GV6 bagus.

"Saya ni mati kutu apabila dapat lagu rap. Berbelit lidah. Apabila saya katakan, lagu rap ni tak kena dengan jiwa saya dan tak nak berlatih, 'Madam' (panggilan buat isterinya Norimah Zaini atau Ree Zaini) pula merajuk!

"Saya bukan tak nak belajar rap tapi macam tak boleh nak lancarkan lidah lontar lirik rap. Tapi tak apalah, saya beritahu Sham, 'Kita enjoy sahaja, beri yang terbaik... jangan risau," kongsinya.

Melihat pengadil tetap, Hetty Koes Endang, berdiri selepas tamat lagu Without You yang didendangkan merupakan satu kesyukuran buat Jatt. Ketua pengadil, Datuk Ramli MS, pun nampak gembira dengan menyatakan itulah tonasi asal suara Jatt yang merdu.

Mengulas perkara itu, Jatt berkata:

"Without You adalah lagu yang biasa saya sampaikan dahulu di kelab malam. Bezanya cuma dahulu, saya boleh tarik suara tinggi. Sekarang ni, kuranglah sedikit daya menariknya sebab faktor usia."

Pada tahap kepopularan dan mutu seni serta nyanyiannya yang dipanggil legenda, Jatt memang seorang penghibur yang merendah hati dan bertanding bukan kerana ganjaran yang ditawarkan.

"Saya sebenarnya tak 'ambil pot' soal hadiah. Dapat pergi Jakarta iaitu hadiah keenam pun, saya sudah cukup bersyukur. Sekali tu, dapat pergi Shanghai dan Disneyland.

"Ingatkan dapat RM10,000 ($3,277), rupa-rupanya ada rezeki raih RM30,000 ($9,832) dan hadiah lain seperti ubah elok dan kelengkapan rumah.

"Selepas Tahun Baru 2020 nanti, saya akan usahakan kenduri kesyukuran. Saya nak jamu makan penyokong dan anak-anak yatim sebagai tanda terima kasih saya kepada kesungguhan mereka memberi saya dorongan dan mendoakan saya," jelasnya.

Dalam kami berbual, kelihatan pula isterinya Norimah yang lebih mesra dengan panggilan Ree, 44 tahun, mencari sang suami.

Kerana sebelum ini kerap diberitahu betapa beliau menjadi pembangkit semangat bagi Jatt berjuang di GV6, maka ditanyakan soalan ini kepada beliau:

"Streskah menjadi isteri seorang legenda yang bertanding bagi GV6?"

Kata Ree seraya tertawa:

"Sebenarnya memanglah stres sebab Abang Jatt ni degil. Agaknya sebab beliau sudah biasa menyanyi, maka beliau tu selalu perlu diingatkan walau apa pun, kena berlatih!

"Kita sebagai isteri nak kan yang terbaik buatnya. Sebab itulah, soal berlatih ni pun boleh buat kita bertekak juga. Marah-marah sayanglah kata orang.

"Sudah menjadi tanggungjawab saya memastikan beliau tidak abaikan latihan. Memang Abang Jatt sudah lama berkecimpung dalam bidang seni.

"Namun, semangat atau api menghiburnya dalam satu pertandingan kadangkala dirasakan kurang. Saya tahu beliau mampu dan tidak harus patah sayap atau putus asa hanya kerana tugasannya sukar."

Kerana jarak usia 19 tahun yang jauh beza antara mereka, Ree, yang pernah menyanyi di kelab malam selama 10 tahun sebelum ini, menganggap Jatt ibarat kawan baik sehingga terlupa suaminya sudah melepasi usia 60 tahun.

"Kadangkala saya macam hairan, mengapa Abang Jatt susah nak hafal lirik! Sebab kami macam kawan baik sebaya, lupa pula pada usia emasnya tu, memang susah nak hafal lirik.

"Lagi-lagi kalau diberi lagu rap... alahai tak dapat-dapat! Semasa sesi raptai, saya sampaikan marah dengan diri saya sendiri kerana gagal pastikan beliau boleh hafal lagu rap tu. Alhamdulillah, selepas Sham datang, kami berbincang agar bekerjasama. Akhirnya, semuanya berjalan lancar.

"Pesan saya kepadanya, walau apa pun acara, janganlah kerana beliau sudah bertahap legenda, beliau tak perlu buat apa yang menjadi rutin penyanyi yang baik iaitu berlatih. Beliau juga harus terus merendah hati. Seni tetap seni. Legenda ataupun belum lagi harus hormat pada seni.

"Yang penting juga, jaga makan dan jaga tidur. Abang Jatt tak boleh stres sedikit. Namun, yang saya hargai tentangnya adalah beliau jaga hati peminat dan orangnya 'sempoi' dan sederhana. Walau beliau bukan juara, dengan beliau mampu menghiburkan peminatnya 11 minggu berturut-turut, itu dah kira juara buat saya!" tambah Ree.


"Saya ni mati kutu apabila dapat lagu rap. Berbelit lidah. Apabila saya katakan, lagu rap ni tak kena dengan jiwa saya dan tak nak berlatih, 'Madam' (panggilan buat isterinya Norimah Zaini atau Ree Zaini) pula merajuk!
Saya bukan tak nak belajar rap tapi macam tak boleh nak lancarkan lidah lontar lirik rap. Tapi tak apalah, saya beritahu Sham, 'Kita enjoy sahaja, beri yang terbaik... jangan risau."

- Jatt Ali.

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian