Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19

Izyan terlantar di hospital sebulan

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

DUGAAN DATANG TANPA DIDUGA...

Izyan terlantar di hospital sebulan

Pelakon dikesan dengan jangkitan otak yang dipanggil 'fungal meningitis' selain hidapi penyakit lupus
Aug 04, 2019 | 05:30 AM



SAKIT kepala yang berdenyut-denyut awal Mei lalu disangka pelakon tempatan Izyan Mellyna Ishak hanya migrain biasa dek kurang tidur atau penat bekerja.



Namun keadaannya semakin membimbangkan hari demi hari sehingga melesukan tubuhnya meskipun ia sudah dimanjakan dengan urutan mahupun melalui rawatan akupunktur dan kiropraktor.



Tanpa diduga, bintang filem Banting itu dikesan doktor menghidap sejenis jangkitan otak yang dipanggil fungal meningitis.



Sejak 2016 pula, beliau menghidap penyakit lupus yang menjejas sendi-sendi, otot-otot serta bahagian lain di badan. Beliau mendapat rawatan daripada pakar reumatologi.



Lupus yang biasanya menyerang wanita sering disebut sebagai penyakit yang menjejas daya ketahanan tubuh di mana pesakit boleh mempunyai bahan antibodi yang menyerang tisu sihat dalam badan.



Kebiasaannya, antibodi melawan bakteria dan virus.



Doktor di Hospital Besar Singapura (SGH) mengesan jangkitan otak Izyan selepas satu ujian diagnostik yang dijalaninya menerusi proses punktur lumbar. Jarum disuntik pada salur spina bagi mengumpulkan cecair serebrospinal yang menjadi bahan ujian.



Menceritakan ujian perit yang perlu diharungi sehingga dirawat di SGH selama 29 hari sepanjang Ramadan dan Syawal lalu, Izyan, 32 tahun, yang dihubungi berkata:



"Awalnya, saya sangka makan Panadol sahaja sudah memadai bagi melenyapkan pening kepala itu.



"Tak sangka hari demi hari keadaan semakin meruncing sampaikan badan saya lemah longlai. Saya urut tak jalan...pergi akupunktur dan kiropraktor pun sama saja.



"Saya jumpa doktor di klinik dua kali bagi mendapatkan suntikan ubat penghilang kesakitan. Semua ini berlaku dalam tempoh dua minggu. Akhirnya, ibu dan adik saya terpaksa hantar saya ke hospital kerana saya tidak mampu bangun dan berjalan lagi."



Kesuraman benar-benar dirasakan dirinya yang diketahui ramai sebagai lincah dan cergas, baik di set penggambaran atau ketika mengendalikan bisnes hiasan majlis kahwin.



Sebelum lebih aktif dalam bidang seni, Izyan merupakan jururawat di SGH.



"Doktor beritahu rawatan di hospital mungkin makan masa sebulan. Risau bukan kepalang sebab saya terfikir apa lagi yang akan doktor temui seandainya jangkitan itu tidak diubati.



"Jarum panjang disuntik pada salur spina saya sebanyak lima kali bagi mendapatkan cecair serebrospinal. Itulah proses paling perit buat saya.



"Proses itu tidak mampu dielakkan kerana saya mengalami kadar tekanan yang tinggi pada otak dengan doktor ingin segera memastikan jangkitan itu dapat dilenyapkan," ceritanya lagi.



Ibu dua anak berusia empat dan dua tahun itu hanya mampu bersabar. Sepanjang tempoh terlantar di hospital, beliau menyalahkan dirinya kerana kurang peka tentang bahaya jangkitan sekitaran atau kurang berjaga-jaga terhadap kebersihan.



"Sebagai bekas jururawat, saya tidak ambil ringan perihal kesihatan. Saya tanya kepada doktor apakah penyakit saya ini boleh dicegah kalau saya lebih berjaga-jaga.



"Sayangnya, mereka kata tidak. Sistem imun saya terjejas teruk kerana perubatan yang diambil bagi penyakit lupus. Justeru, semuanya sudah suratan.



"Ujian ini mengajar saya tentang kesabaran, ketahanan dan kesyukuran. Saya harus cekal dalam menjalani rawatan berterusan yang diperlukan.



"Kesyukuran saya datang daripada kasih sayang dan sokongan keluarga yang ada di sisi saya setiap hari," tambahnya.



Tentunya sayu buat Izyan yang menyambut Hari Raya di katil hospital.



Beliau, yang memiliki bakat lawak menyerlah sehingga dinobatkan sebagai 'Pelakon Terbaik dalam Watak Komedi' di Pesta Perdana 2019, menambah:



"Tuhan sahaja tahu betapa sedihnya saya. Saya kemurungan seminggu selepas di hospital. Saya tak mampu berpuasa, apa lagi menyambut Lebaran.



"Saya juga tidak dapat meluangkan masa bersama anak-anak dan menjalankan perniagaan pakaian saya.



"Sebaliknya, saya di katil hospital dengan sakit kepala yang dahsyat. Telefon bijak yang sering menjadi teman pun saya ketepikan kerana enggan berbual dengan sesiapa.



"Alhamdulillah, di saat saya memerlukan, suami yang bertugas sebagai karyawan industri minyak dan gas di Arab Saudi pulang ke Singapura bagi menemani saya. Beliau bersama saya sehingga tamat rawatan saya selama hampir sebulan.



"Kalaulah beliau tiada, saya tak tahu apa akan jadi kepada saya. Jururawat di SGH pula banyak membantu dan bersabar melayan keperluan saya."



Di ambang Hari Raya Haji minggu depan, Izyan benar-benar dapat menghayati erti pengorbanan selepas ujian genting itu.



"Saya perlu korbankan masa bersama anak-anak buat sebulan agar saya pulih dan kembali sihat sepenuhnya untuk mengurus mereka. Bayangkan kesannya kalau saya minta pulang dan jangkitan otak itu belum pulih.



"Dengan masa yang ada kini, saya lebih banyak tumpukan perhatian pada anak- anak dan memperlahankan kerjaya seni buat sementara waktu. Saya tidak mahu menyesal di kemudian hari kerana tiada di sisi anak-anak ketika mereka memerlukan," katanya yang beransur pulih.




ANTARA SELEBRITI HOLLYWOOD YANG HIDAPI PENYAKIT KRONIK



MEREKA cekal berseni meskipun bertarung dengan penyakit kronik yang kerap kali mencetuskan tekanan dan kemurungan.



Malah, ketiga-tiganya lebih senang bersikap terbuka agar dapat memupuk kesedaran ramai tentang mereka yang menderita penyakit kronik tidak diduga ini, sebagaimana yang diceritakan kepada laman MedPage.



Penyanyi dan pelakon yang dikenali kerana fesyen ranggi dan gayanya yang gila-gila, Lady Gaga, 33 tahun, mengalami penyakit kronik Sindrom Fibromyalgia (FM).



Penyakit yang menimbulkan kekejangan otot seluruh badan dialami bintang filem A Star Is Born itu sehingga beliau terpaksa menundakan dan menyingkatkan kembaranya ke Eropah, beberapa kali dek kesakitan kronik.



"Seluruh badan saya terasa sakit dan lelah. Saya payah memberi tumpuan pada tugas saya dan mempunyai masalah tidur.



"Mungkin juga keadaan saya ini berpunca daripada gabungan kesan fizikal dan mental yang dihadapi setelah didera secara seksual oleh seorang penerbit muzik pada usia saya 19 tahun.



"Orang tak percaya akan kewujudan penyakit ini. Namun, saya katakan, kesakitan yang dirasakan sukar dijelaskan dengan kata-kata. Siapa tak sedih kalau perlu batalkan konsert?" katanya yang sering ditemani pakar terapi urutan sambil membiarkan tubuhnya disaluti plastik berisi air batu.



Di kala pelakon dan penyanyi Selena Gomez, kini 27 tahun, berada di puncak jaya, beliau dikesan menghidap penyakit lupus yang menjejas sistem imun di samping merosakkan ginjalnya, sekitar 2012.



Setelah menjalani bedah pindah ginjal (temannya Francia Raisa menderma ginjalnya) dua tahun kemudian, Gomez memberitahu meskipun berehat dari bidang seni, beliau akan memberitahu mereka tentang perkembangan kesihatannya.



Peragawati dan usahawan Kim Kardashian, 38 tahun, pula tidak segan berkongsi perjalanannya merawat wajah yang terjejas dengan alahan kulit kronik atau psoriasis.



"Kulit saya yang bersih dan licin tiba-tiba terkopek, gatal dan kering. Saya tidak segan menceritakan masalah saya kerana yakin ada wanita di luar sana yang bertarung dengan penyakit yang sama dan inginkan bantuan. Saya akan berkongsi panduan menggunakan bahan organik bagi merawat kulit saya. Jika ia didapati berkesan, mereka boleh cuba," jelasnya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >