Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:06
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19

J.A. Halim pejuang seni sehingga akhir hayat

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BELASUNGKAWA

J.A. Halim pejuang seni sehingga akhir hayat

Ramai anak seni tua muda anggap pelakon veteran sebagai mentor penyayang
Dec 14, 2019 | 05:30 AM



ANAK kandungnya cuma dua orang, tetapi yang menggelarkan pelakon veteran J.A. Halim dengan panggilan "Ayah", begitu ramai.



Ayah Halim dianggap sebagai bapa yang di sebalik wajah seriusnya, jiwanya penuh kasih sayang terhadap anak-anak muda, yang begitu ramai menganggapnya sebagai mentor dalam menghasilkan kerja seni.



Dalam gurauan, pasti diselitkan pesanan-pesanan. Dalam marah-marahnya, pasti dilembutkan jiwa anak muda dengan usikan yang mententeramkan.



"Baru beberapa hari lalu jumpa Ayah masa makan malam... masa jumpa... dia konon marah-marah dan suruh saya duduk dekat dengan dia. Saya kata, sabarlah, apasal nak marah-marah... dia kata... marah sebab aku sayang," kongsi pelakon Rafaat Hamzah ketika ditemui di Unit Jagaan Rapi (ICU) Hospital Tan Tock Seng, kelmarin.



Kasih sayang itulah yang menyebabkan puluhan anak seni hadir menjenguk sang ayah apabila diberitakan beliau dalam keadaan kritikal setelah diserang angin ahmar.



J.A. Halim akhirnya menyambut panggilan llahi pada semalam pagi.



Beliau mendapat pendedahan awal dalam bidang seni menerusi penglibatan dengan kumpulan Sriwana.



Selain puluhan drama televisyen dan pentas yang pernah dijayakan, beliau juga pernah terlibat dalam beberapa pembikinan filem.



Antaranya termasuk Bukit Kepong arahan Allahyarham Jins Shamsudin dan filem pendek Parting arahan Boo Junfeng.



Dalam Parting beliau membawa watak lelaki berumur bernama Ismail yang mengalami penyakit demensia dan telah menaiki kereta api dari Malaysia ke Singapura kerana ingin mencari kekasih lamanya



"Sebenarnya, dalam apa jua watak yang saya jayakan, saya hanya memberi yang terbaik tanpa mengharapkan sebarang penganugerahan.



"Berlakon dari hati, ia akan menampakkan hasilnya. Jangan lokek berkongsi dengan anak-anak dalam dunia lakonan," katanya dalam satu wawancara dengan Berita Harian awal tahun ini.



Berkongsi pengalamannya berlakon dalam telefilem Gunting bersama Taufik Batisah, beliau berkata seorang jurukamera Cina mengakui betapa terkesannya dirinya dengan babak tersebut.



"Ia petanda bahawa meskipun beliau mungkin tidak memahami bahasa Melayu, daripada mimik muka kita sebagai pelakon sahaja, dia sudah dapat maksud yang cuba disampaikan."



Pada usia 71 tahun, beliau tetap bersemangat dalam melakukan kerja seni termasuk mengarah satu program di Sarawak yang melibatkan artis legenda yang hanya tinggal segelintir sahaja di Singapura dan Malaysia seperti seniwati Zaiton.



Apabila kumpulan Sriwana kembali aktif dalam pementasan teater sejak tahun lalu, beliau merupakan antara yang tampil membantu. Dilantik sebagai penasihat unit drama, beliau juga sempat berkongsi ilmu dengan anggota muda Sriwana menerusi bengkel lakonan yang dianjurkan.



Tahun ini tentunya merakamkan kenangan manis buat beliau sekeluarganya - apabila beliau dan keluarganya naik pentas Pesta Perdana 2019 dengan kemenangan dalam kategori masing-masing yang dicalonkan.



Sementara sang ayah menang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu (Drama Khas/Antologi) bagi telefilem Gunting, menantunya, Fizah Nizam, 33 tahun, meraih Anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam Watak Pembantu (Drama Bersiri) bagi Firasat (Musim Kedua).



By Apparatus, yang dipelopori anaknya Helmindra, menghasilkan telefilem Hari Ayah, Naluri Ayah, pula memenangi Anugerah Drama Khas Terbaik



Bahkan isterinya, pelakon Aminah Ahmad, dan anak sulungnya, Nina Halim turut dicalonkan dalam anugerah tersebut.



Sebelum itu, J.A. Halim, pernah memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Watak Pembantu bagi drama Segaris Sinar pada 2009.



Jiwa seni J.A. Halim berkobar sehingga akhir hayatnya dan beliau tidak pernah memperlekehkan sesiapa terutama anak-anak muda yang berkongsi jiwa seninya.



Bahkan pada saat sebelum beliau didapati lemah dan kemudian dikejarkan ke hospital pada Rabu malam lalu, beliau masih membincangkan soal perancangan program kesenian bersama teman-teman Sriwana.



Seperti yang dinyatakan teman baiknya, Sahfuddin Mahfudz, Allahyarham cukup prihatin dengan memastikan anak-anak seni muda mendapat bimbingan sewajarnya.



Rafaat dalam kiriman di media sosial, sempat berkongsi kata-kata hikmah Allahyarham J.A. Halim yang terpahat di benaknya: Yang tua menumpang tuah pada yang muda. Yang muda menumpang ilmu pada yang tua."



Salam takziah kepada keluarga Allahyarham. Moga rohnya dirahmati Allah swt.




"Sebenarnya, dalam apa jua watak yang saya jayakan, saya hanya memberi yang terbaik tanpa mengharapkan sebarang penganugerahan.

Berlakon dari hati, ia akan menampakkan hasilnya. Jangan lokek berkongsi dengan anak-anak dalam dunia lakonan."

- J.A. Halim, dalam satu wawancara dengan Berita Harian awal tahun ini.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >