Subuh
5:37
Syuruk
6:53
Zuhur
12:58
Asar
4:01
Maghrib
7:00
Isyak
8:08
Gaya Hidup

Jatt Ali 'kuasai' pentas Gegar Vaganza 6

Oct 15, 2019 | 05:30 AM

USAH perlekehkan kebolehan penyanyi mapan yang disifatkan 'enjin lama' dalam industri muzik Singapura. Walaupun merupakan peserta paling mapan pada usia 63 tahun, Jatt Ali membuktikan suaranya masih nyaring dan hebat seperti zaman kegemilangan band beliau, Black Dog Bone (BDB).

Apabila beliau tampil di pentas pembuka tirai program realiti Gegar Vaganza 6 yang disiarkan secara langsung dari auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kelmarin, Jatt, yang nama sebenarnya, Tahir Ali, bagaikan mengubah ruang pentas persis mengadakan konsert solonya sendiri.

Hasilnya, beliau yang mengejutkan ramai dengan melontarkan beberapa baris lagu popular BDB, Cahaya Aidilfitri sebelum menyanyikan lagu 'hit' Khayalan meraih markah tertinggi sebanyak 84.57 peratus dalam pusingan pertama.

Beliau meninggalkan jauh sebanyak 10 mata dua lagi penyanyi - seorang berasal dari Singapura, Hady Mirza dan seorang lagi yang sudah menetap lama di Singapura selepas berumah tangga, Wann.

Hady, 39 tahun, yang bergelar Idola Asia dan Wann, 49 tahun, yang popular dengan lagu Bossanova, berkongsi tempat kedua dengan mata 74.33 peratus.

Kumpulan One Nation Emcees berada di tempat ketiga disusuli Sham Visa, Roy, Nurfatima, Naqiu Boboy, Ameer Sofazr, Feeza, Kool, Noorshila Amin dan Mazleela.

Tiada penyingkiran dibuat dalam minggu pertama dengan konsert minggu kedua bakal berlangsung Ahad ini dengan sebilangan besar peserta diberi bonus menyanyikan lagu sendiri.

Pihak pengadil bagaimanapun menetapkan jangkaan lebih tinggi buat mereka yang diberi lagu sendiri untuk disisipkan dengan pengubahsuaian muzik lebih segar. Kelonggaran faktor pengadilan diberi pada minggu pertama sebagai memberi peserta keselesaan di pentas.

Mengulas persembahan Jatt, Datuk Ramli MS sebagai juri tetap berseloroh dengan pengacara Nabil Ahmad seraya bertanya:

"Tahun berapakah nenek anda berumah tangga? Rasanya, sewaktu nenek anda baru berkahwin, Jatt sudah mula menyanyi. Lihat ni...orang lama, pada usia sebegini (63 tahun), dia masih boleh menyanyi sebaik ini."

Dalam sidang akhbar yang disiar secara langsung menerusi YouTube, Jatt menjelaskan beliau tidak mahu menetapkan jangkaan tinggi bergelar juara dan bimbang kalau terus dipuji.

"Saya hanya mengekalkan pemikiran positif dan tidak merasakan penyertaan saya dalam peraduan ini sebagai merendahkan taraf legenda yang orang beri kepada saya. Yang legenda itu band BDB, bukan saya.

"Saya masih lagi aktif menyanyi di kelab dan menyertai acara hiburan di Singapura. Saya tidak hiraukan apa jua kata-kata negatif dan pandangan orang terhadap penyertaan saya. Mereka berhak meluahkan apa sahaja.

"Saya positif berkat sokongan isteri dan keluarga termasuk anak yang menetap di Kuala Lumpur. Anugerah yang Allah berikan kepada saya hanyalah suara. Saya hanya berikan yang terbaik. Ini mungkin rezeki buat saya," jelasnya.

Lagu Dulu dan Sekarang akan menjadi taruhan Jatt pada konsert minggu kedua, Ahad ini.

Hady yang mendendangkan lagu 'berhantunya' Angkasa pula menerima komen positif daripada pengadil yang nampaknya senang dengan intepretasi beliau dan tonasi suaranya tatkala ia dilontarkan tinggi.

"Kedengaran korus terakhir yang Hady dendangkan dalam Angkasa amat menakjubkan. Ia bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila suaranya perlu dilontarkan tinggi. Saya amat menyukainya," ujar Ramli.

Hetty pula menambah:

"Sebagai penyanyi yang bukan baru dalam industri hiburan, saya mengharapkan setiap peserta mengamati tempo lagu, penjiwaan dan klimaks yang baik. Ternyata, Hady memiliki semua itu.

"Diharapkan beliau dapat terus mempertahankan suaranya dan mencapai prestasi yang lebih baik lagi di minggu-minggu mendatang."

Hady, yang nama sebenarnya, Muhammad Mirzahady Amir, bakal menyanyikan lagu Ezad Lazim, Demi Cinta, Ahad ini.

"Saya mempunyai jangkaan tinggi bagi diri saya sendiri dan merasakan banyak lagi untuk diperbaiki dari segi mutu persembahan. Bagaimanapun, Alhamdulillah saya bersyukur diberi kesungguhan untuk bertanding dan merebut peluang keemasan sebegini.

"Sungguhpun begitu, penting bagi saya rasa selesa dan menikmati detik berada di pentas. Lebih penting lagi Angkasa adalah lagu saya sendiri yang diberi pengubahsuaian demi mewujudkan dinamismenya.

"Harapan saya dapat beri yang terbaik bagi Demi Cinta kerana jalan cerita lagu ini bermakna dan ada kaitan dengan diri saya. Saya ingin meluah jiwa raga saya," katanya ketika dihubungi.

Wann yang ditegur Hetty kerana sebutan yang kurang jelas dengan kedengaran lenggok nyanyi yang berbunyi 'ahak...ahak...' pula berkata:

"Begitulah teknik nyanyian saya. Saya akan cuba kurangkan. Peminat Wann akan tahu itu 'trademark' Wann tetapi bagi yang baru mendengar mungkin kedengaran aneh."

Video Baru

Ciri baru

Alat terjemah Berita Harian