Subuh
5:34
Syuruk
6:58
Zuhur
1:05
Asar
4:29
Maghrib
7:09
Isyak
8:24
Gaya Hidup

Jumlah penghuni Casa Raudha bertambah tahun lalu

Mar 18, 2018 | 05:30 AM

Rumah Wanita Casa Raudha menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-10 menerusi satu majlis makan malam amal yang dihadiri Presiden Halimah Yacob, baru-baru ini. Bagaimanakah penghuni dan benefisiari rumah ini memanfaatkan program-program yang dijalankannya? Apakah rancangan baru rumah tersebut dalam jangka masa terdekat? FARID HAMZAH (farid@sph.com.sg) melaporkan.

LEBIH ramai penghuni yang menumpang di Rumah Wanita Casa Raudha tahun lalu berbanding semasa ia mula menerima penghuni pada 2012.

Tahun lalu terdapat seramai 166 penghuni yang mendapatkan perlindungan sementara di rumah tersebut, berbanding 87 enam tahun lalu.

Ini dinyatakan pengasas dan presiden rumah perlindungan itu, Encik Hamzah Abdul Mutalib, semasa ditemui wartawan baru-baru ini.

Menurut Encik Hamzah, jumlah sebenar penghuni yang mendapatkan perlindungan di rumah tersebut berubah setiap masa.

Beliau menganggarkan pada masa ini sekitar 50 peratus penghuni merupakan orang Melayu/Islam kerana ia membuka pintunya kepada bangsa lain juga, katanya.

"Di sini kami amalkan sikap empati atau ihsan.

"Selagi mereka dirujuk oleh Pusat Khidmat Keluarga (FSC) kerana menjadi mangsa penderaan, kami akan menerima mereka," katanya lagi.

Casa Raudha ditubuhkan pada 2008 dan mula beroperasi setahun kemudian dengan menawarkan program seperti kaunseling dan program memperkasa.

Namun, Rumah Wanita Casa Raudha hanya mula menawarkan tempat perlindungan krisis pada 2012 di tempat barunya itu.

Secara keseluruhannya, sejak 2008 sehingga kini, ia menawarkan khidmat kepada sekitar 860 wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan domestik dan sedang atau pernah menjadi penghuni dan benefisiarinya.

Berusia seawal dalam kandungan sehingga 70 tahun, kesemua mangsa itu diberi perlindungan di sebuah bangunan yang tidak diketahui umum.

Antara penghuni termasuk ibu, isteri, adik, kakak atau anak yang menjadi mangsa keganasan domestik - terdiri daripada warga Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan warga asing.

Encik Hamzah yang merupakan sukarelawan di rumah itu menambah:

"Permintaannya terus bertambah seganda apabila kes pembuangan kerja bertambah," katanya.

Selain ekonomi, punca lain di sebalik keganasan domestik itu termasuk masalah komunikasi, kehadiran orang ketiga (seperti selingkuh atau mentua), cemburu dan isu mental.

"Bayangkan ada suami atau anak yang berkerusi roda yang sanggup membelasah mangsa meskipun perlukan khidmat mangsa dalam kehidupan hariannya."

Pada masa ini, rumah itu mampu menempatkan sehingga 50 penghuni pada satu-satu masa - sehingga tiga bulan lamanya - dan sekitar 50 peratus daripada penghuni itu merupakan orang Melayu/Islam.

"Khidmat yang kami sediakan bukan sahaja untuk masyarakat Melayu, malah bukan Melayu.

"Meskipun ramai dalam kalangan mereka berpendidikan rendah, ada juga yang merupakan lulusan ijazah termasuk yang mempunyai ijazah sarjana."

Rumah tersebut pula dikendalikan 10 kakitangan sepenuh masa yang terdiri daripada kaunselor dan pegawai program, termasuk mereka yang mempunyai latar belakang dalam bidang kejururawatan.

Bagi memastikan keselamatan penghuni, alamat sebenar Rumah Wanita Casa Raudha tidak didedahkan kepada umum dan tidak tercatat dalam direktori alamat.

Selain itu, terdapat pintu dan pagar keselamatan bagi menghalang penceroboh daripada memasuki kawasan larangan itu.

"Ini bagi memastikan penghuni benar-benar berasa selamat.

"Kami juga mengingatkan yang mereka tidak sepatutnya memberitahu sesiapa, walaupun ibu bapa mereka sendiri kedudukan mereka yang sebenar," tambahnya.

Dalam ucapannya sempena sambutan ulang tahun Rumah Wanita Casa Raudha baru-baru ini, Encik Hamzah memberitahu bahawa ia telah menubuhkan sebuah pertubuhan khidmat sosial baru yang akan menyokong dan meluaskan perkhidmatan rumah tersebut.

Diberi nama Casa Raudha Ltd (CRL), pertubuhan amal itu akan mengambil pendekatan tiga serangkai dalam menangani masalah keganasan domestik dan keluarga yang berantakan menerusi program pencegahan, perlindungan dan pemulihan.

Sempena ulang tahun ke-10 itu, Rumah Casa Raudha bakal mengadakan beberapa acara termasuk seminar dan persidangan yang merupakan sebahagian daripada program pendekatannya dengan butirannya akan diumumkan kemudian.