Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22

Jurutera gapai bintang angkasa jaya

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Jurutera gapai bintang angkasa jaya

Oct 09, 2018 | 05:30 AM



Setiap daripada mereka menyimpan impian sejak kecil yang ingin dijadikan kenyataan, meskipun sibuk dengan tugasan harian. Banyak pengorbanan yang perlu dilalui tiga individu berikut dalam mengejar cita-cita sambil memburu ijazah, baik secara sambilan mahupun sepenuh masa. Wartawan HARYANI ISMAIL (haryani@sph.com.sg) melaporkan kisah tiga lulusan cemerlang SIM Global Education (GE)-Universiti RMIT.



SETIAP kali pergi ke Lapangan Terbang Changi sewaktu kecil bagi menghantar bapa yang ditugaskan ke luar negara, Encik Muhammad Syamil Shahul Hamid akan terpaku di balik jendela galeri.



Matanya menatap setiap pesawat yang berlepas dari landasan dengan penuh rasa teruja.



Itulah titik tolak cita-cita mahu menimba ilmu dalam bidang penerbangan tertanam di hati.



Encik Muhammad Syamil, 27 tahun, yang menggenggam Diploma dalam Kejuruteraan Aeroangkasa Politeknik Republic (RP), juga cenderung meneliti butiran siasatan mengenai pesawat terhempas yang dibongkar dalam dokumentari saluran National Geographic.



Maka, setelah ditawarkan bekerja sebagai jurutera bersekutu ST Engineering, tekadnya bulat ingin mengejar ijazah sambilan dalam bidang Sains Gunaan (Penerbangan) di SIM Global Education-Universiti RMIT pula.



Baru-baru ini, Encik Muhammad Syamil, kini jurutera kanan bersekutu Akademi ST Aerospace, tamat pengajian ijazah tersebut.



Malah, beliau menerima Anugerah Sekolah Kejuruteraan RMIT sebagai pelajar terbaik kursus.



Ketika ditemui di pejabat Berita Harian baru-baru ini, anak sulung dalam keluarga empat beradik itu berkata:



"Bapa sering membelikan model pesawat buat saya setiap kali bertugas di luar negara. Secara perlahan-lahan, minat saya terhadap dunia penerbangan bertambah.



"Semasa menjalani latihan bekerja sambil belajar, saya berpeluang membantu jurutera yang mengendalikan kerja penyenggaraan dan operasi simulator penerbangan di pusat latihan penerbangan yang ketika itu (pada 2012) baru dibuka.



"Minat saya kian bertambah. Majikan pada waktu itu melihat potensi saya dan menawarkan saya kerja sepenuh masa selepas tamat tempoh latihan bekerja sambil belajar itu."



Sebagai sebahagian pasukan jurutera perintis ketika itu, antara tugas Encik Muhammad Syamil adalah memastikan simulator penerbangan yang dikendalikan sejajar operasi pesawat sebenar.



Kini, sebagai kakitangan kanan, peranannya lebih rumit - melibatkan penyenggaraan simulator penerbangan dan helikopter yang digunakan dalam melatih juruterbang.



"Saya bersyukur kerana majikan memberi sokongan bagi saya meneruskan pengajian peringkat ijazah. Memandangkan saya bekerja syif 12 jam, saya perlu bijak membahagikan masa belajar dan bertugas.



"Ini bukan sesuatu yang mudah tetapi saya diberi kepercayaan melakukannya dengan baik, malah saya dinaikkan pangkat dalam tempoh pengajian.



"Kini, saya gembira dapat tutup tirai pengajian dengan markah cemerlang, bahkan dipilih sebagai pelajar terbaik kursus," kongsinya.



Ditanya tentang rahsia kejayaan, beliau berkata tiada formula khusus kecuali disiplin memenuhi sasaran atau matlamat yang ditetapkan setiap hari.



"Saya biasanya akan mempersiap diri dan merancang lebih awal ketika melakar sesuatu pelan pembelajaran. Dalam peperiksaan pun, saya tidak pernah belajar pada saat akhir. Biasanya, saya tahu apa yang diperlukan, misalnya topik atau bab yang perlu saya ulang kaji sebelum peperiksaan," ujarnya.



 Dengan mengambil kursus ijazah sambilan itu, Encik Muhammad Syamil juga lebih berupaya menajamkan kemahiran teknikal dan pengurusan.



Beliau mampu memahami cara mengurus operasi sistem pesawat yang digunakan dalam simulator penerbangan.



"Banyak yang saya belajar daripada segi pengurusan penyenggaraan pesawat, faktor kemanusiaan, kaedah operasi pesawat hingga perihal sistem pengurusan keselamatan.



"Saya kini lebih selesa dan yakin berhubung dengan jurulatih penerbangan menggunakan kosa kata teknikal yang mereka selalu utarakan," katanya.



Di sebalik jadual kerja dan kuliah yang sibuk, beliau tidak mengabaikan gaya hidup sihat. Pada masa lapang, beliau berlari-lari anak, berenang dan berbasikal sekurang-kurangnya empat kali seminggu.



"Saya juga rajin berlari maraton. Membaca tentang operasi pesawat dulu dan kini juga menambah ilmu saya tentang cabang tugas yang diceburi.



"Dengan pengetahuan yang dimiliki, saya juga lebih mengetahui tentang tugasan juruterbang, memandangkan itulah bidang kerjaya yang pernah saya fikirkan sebelum ini. Siapa tahu cita-cita itu boleh dicapai kelak?" katanya, sambil tersenyum.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >