Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22

Kartun Mat Tocang tentang dunia telefon bimbit ke pameran antarabangsa

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Kartun Mat Tocang tentang dunia telefon bimbit ke pameran antarabangsa

Mar 26, 2019 | 05:30 AM



IMPIAN kartunis Encik Mohamad Idham Mokaron sejak dari dahulu adalah memasyarakatkan kartun sebagai wadah komunikasi yang mampu mencetus perubahan dalam diri manusia.



Ia bukan setakat bahan humor pengisi masa lapang yang mampu meredakan tekanan. Sebaliknya, kartun juga mampu dijadikan jentera penggerak minda dalam memikirkan masalah kemanusiaan yang berlaku di peringkat sejagat.



Baru-baru ini, Encik Mohamad Idham, 45 tahun, yang lebih dikenali dengan nama Mat Tocang di persada lukisan kartun Nusantara, rasa berbesar hati apabila diundang ke Pameran Kartun Antarabangsa di Balai Kartun Rossem di Kota Bharu, Kelantan.



Pameran tersebut berlangsung antara 20 Januari dengan 20 Mac lalu.



Beliau adalah satu-satunya kartunis Singapura yang terpilih dalam kalangan 150 kartunis dari 35 negara serata dunia termasuk Bulgaria, Cuba, Macedonia, Russia, Portugal dan Romania.



Kartunnya yang dipamerkan adalah mengenai dunia yang dikuasai telefon bimbit sehingga membuatkan manusia terleka lantas tidak melihat apa di hadapan mata.



Turut dipamerkan di balai kartun milik kartunis politik veteran Encik Rosidi Ismail atau Rossem adalah kerja seni kartunis tidak asing lagi, Datuk Mohammad Nor Mohammad Khalid (Lat).



Kartunis bebas FadiToon yang pernah menjalani kehidupan sebagai pelarian Syria di Norway serta banyak memenangi anugerah seni turut mengetengahkan karyanya bagi pameran itu.



Lewat tahun lalu, rezeki Encik Mohamad Idham juga terbentang luas dengan tawaran turut diterima baginya mempamerkan lakaran kartunnya di Pameran Kartun & Kita di Muzium Terengganu.



Pameran itu melibatkan kartunis Nusantara dari Singapura, Malaysia dan Indonesia.



Ketika dihubungi Berita Harian baru-baru ini, Encik Mohamad Idham, bapa dua anak berusia 12 dan 14 tahun, berkata:



"Saya sebenarnya rasa bertuah dan bersyukur dapat dilibatkan sama dalam pameran antarabangsa ini.



"Memandangkan saya adalah satu-satunya kartunis Singapura yang terlibat dalam pameran yang disertai nama-nama besar dalam dunia kartun, perasaan terharu itu lebih terasa.



"Undangan diterima daripada balai seni Rumah Kartun & Komik Malaysia di Taman Botani Perdana yang dirasmikan Datuk Lat sekitar dua tahun lalu."



Encik Mohamad Idham sudah mula melukis kartun sejak usia remaja. Bakatnya dipupuk oleh Kelab Coretan Remaja (KCR) Berita Harian, yang dipelopori mantan wartawan akhbar ini, Cik Dewani Abbas.



"KCR adalah batu loncatan buat saya berkarya dan mengasah bakat saya pada awalnya. Beberapa keratan kartun saya mendapat ruang di akhbar Berita Harian/Berita Minggu pada waktu itu.



"Saya banyak mendapat dorongan daripada Kak Dewani yang meyakini bakat saya. Jika tiada beliau, tidak tahulah bagaimana ingin tampilkan bakat seni lukis kartun saya itu.



"Dengan bakat yang ada, saya juga mampu merehatkan minda saya di luar kerjaya tetap saya sebagai penolong kanan jurutera," katanya lagi.



Ditanya tentang dunia kartun sejagat, Encik Mohamad Idham menjelaskan bahawa dunia lakaran kartun hari ini, sebahagian besarnya, sudah beralih kepada wadah digital.



"Kita menatap kartun dalam talian. Mujurlah, masih ada majalah humor Gila-Gila yang menjadi santapan bulanan saya sejak kecil, bagi mengetengahkan bakat kartunis," ujarnya.



Beliau juga melihat Datuk Lat sebagai Duta Kartun yang boleh dibanggakan dalam Dunia Melayu. Ini memandangkan buku kartunnya seperti The Kampung Boy sudah pun diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa bagi tatapan masyarakat dunia.



Apakah pula karikatur tokoh popular yang telah dihasilkan dan amat dibanggakan hingga ke hari ini?



Katanya:



"Karikatur Datuk M. Nasir telah beberapa kali saya lukiskan dan hadiahkan kepada tokoh muzik itu. Macam tak percaya saya yang melukis karikatur idola ramai itu!"



Encik Mohamad Idham yang pernah mengendalikan bengkel kartun bagi memperkenalkan teknik asas lukisan dari hujung rambut ke hujung kaki subjek yang dilukis berharap kemahirannya dapat dikongsi kepada ramai.



"Kepada anak-anak yang minat melukis kartun, saya nasihatkan agar minat mereka dikembangkan melalui pencarian ilmu dan secara berguru.



"Kalau kita tidak tanamkan semangat sebegitu malah melukis buat suka-suka sahaja, orang pun tak akan minat lukisan kita. Teruskan berlatih melukis sampailah lukisan itu tampak mantap dan disenangi ramai serta membawa impak buat diri orang sekeliling," jelasnya lagi.



Antara 1 April hingga 1 Mei ini pula, Encik Mohamad Idham bakal mempamerkan karikatur legenda dunia muzik, M. Nasir dan Datuk Ramli Sarip, di Pameran Karikatur yang diadakan sempena Hari Kartunis Malaysia. Ia berlangsung di Rumah Kartun & Komik Malaysia.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >